Penyertaan Amiruddin Ke PPBM Gambaran Betapa Bercelarunya Pembangkang - Shaiful Hazizy

Penyertaan Amiruddin Ke PPBM Gambaran Betapa Bercelarunya Pembangkang - Shaiful Hazizy


Penyertaan Ketua Pembangkang Kedah dari Pas, Datuk Amiruddin Hamzah yang menyeberang ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebenarnya memperlihatkan bukti bahawa pembangkang memang cukup bercelaru apabila berlakunya senario ‘tikam belakang’ antara satu sama lain.

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata berdasarkan kepada apa yang berlaku di Pulau Pinang serta beberapa negeri lain termasuklah di Sabah apabila wakil rakyat Dap bertindak keluar parti dan sebagainya lagi, tidak peliklah dengan apa yang berlaku di Kedah itu kerana jelas pembangkang ini kesatuan mereka yang pudar dan cukup longgar.

Menurut beliau mengambil contoh di Pulau Pinang berhubung isu pengagihan bantuan banjir yang menimbulkan polemik antara ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR dengan sekutunya Dap, itulah budaya mereka yang tidak sehaluan dan penyertaan Amirudin ke dalam PPBM bukan perkara yang memeranjatkan.

“Cuma yang menjadi persoalan kenapa PPBM menjadi pilihan beliau…kenapa tidak menyertai PAN atau PKR atau sekutu yang lain kerana hari ini telah menjadi bualan masyarakat umum PPBM berdepan dengan pelbagai kemelut kepimpinan dan juga pendaftaran mereka dengan RoS yang menimbulkan sedikit masalah baru-baru ini.

“Apa pun itu hak dan pendirian Amirudin untuk memilih menyertai mana-mana parti namun pada masa yang sama bagaimana pula dengan pendirian Datuk Mahfuz Omar. Bila pula mahu mengikut jejak langkah Amirudin?,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Ketua Pembangkang Kedah dari Pas, Datuk Amiruddin Hamzah yang menyertai PPBM.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir selepas menerima borang keahlian Amiruddin.

Shaiful seterusnya menambah tindakan berkenaan bukan menjadi tumpuan dan perhatian Pemuda UMNO negeri berkenaan sebaliknya mereka bertekad untuk terus memberi tumpuan dan perhatian kepada rakyat khususnya pelaksanaan Bajet Kedah 2018.

Begitu juga tambahnya lagi soal pelaksanaan Bajet Persekutuan 2018 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini agar segala perancangan yang terkandung di dalamnya dapat dilaksanakan dan dirancang dengan berkesan untuk rakyat.

“Bagi Pemuda Kedah kita bukan terus-menerus untuk meletakkan garam…bukan mahu meletakkan ‘ajinomoto’ berhubung apa yang berlaku itu. Terpulang kepada Amirudin untuk memilih parti yang sarat dengan masalah tersendiri kerana kita hanya ingin menumpukan tumpuan kepada rakyat.

“Soal bajet cukup penting untuk dirangka dan dilaksanakan sebaik mungkin khususnya daripada soal penyampaian supaya hasrat kerajaan dapat dinikmati oelh rakyat khususnya daripada kumpulan sasaran. Ini yang utama dan yang amat penting bagi Pemuda Kedah,” katanya. - MediaUMNO
Tengku Sarafuddin Badlishah Pakar Dalam Bidang Perundangan

Tengku Sarafuddin Badlishah Pakar Dalam Bidang Perundangan


ALOR SETAR - Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin yang dimasyhur sebagai Raja Muda Kedah ke-20, hari ini dikenali sebagai seorang yang bijak dan mempunyai kepakaran dalam bidang perundangan.

Tengku Sarafudin, 50, yang memiliki Ijazah Undang-Undang (Kepujian) dari Brunel University, Uxbridge Middlesex United Kingdom, turut memiliki Barrister at Law (Inner Temple), United Kingdom dan pernah menjadi peguam bela dan peguam cara di Mahkamah Tinggi Malaysia pada 1994.

Anakanda sulung kepada Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tenku Ariff ini mempunyai seorang adinda, Datuk Tunku Shazudin Arif Badlishah.

Baginda turut pernah menjawat pelbagai jawatan di beberapa agensi dan syarikat antaranya pengarah perundangan dan sekretariat di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) pada 1999.

Baginda kini adalah pengarah dan juga Anggota Lembaga Pentadbir di Asiamet (M) Sdn Bhd, Pengerusi Thong Fuan Industries Berhad, selain menjadi rakan kongsi di Kamil Hashim Raj & Lim Advocates and Solicitors.

Diputerakan pada 2 Mac 1967 di Alor Setar, Tengku Sarafudin bertemu jodoh dengan Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Arif dan melangsungkan perkahwinan pada 2003 serta dikurniakan dua cahaya mata iaitu Tunku Zara Bahiyah, 14; dan Tunku Sulaiman Badlishah, 10.


Pada waktu lapang, baginda gemar membaca, bermain golf dan melakukan aktiviti eksplorasi.

Isteri baginda, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff, 46, dari Ipoh, Perak juga adalah lulusan Ijazah Undang-Undang (Kepujian) dari University of Wales College, Cardiff dan mendapat Certificate in Legal (Hons) daripada Legal Qualifying Board of Malaysia.

Beliau kini berkhidmat sebagai Ketua Bahagian Perundangan dan Kesetiausahaan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan turut menjawat jawatan sama di Kumpulan Darul Ehsan Berhad.

Sementara itu, Tunku Shazudin yang diisytiharkan sebagai Tunku Laksamana Kedah hari ini, adalah seorang yang berkepakaran luas dalam bidang reka bentuk serta memiliki kelulusan Reka Bentuk dan Pemasaran dari Kansas Wesleyan University, Amerika Syarikat.

Baginda dilahirkan di Alor Setar 47 tahun lalu dan masih belum mendirikan rumah tangga.

Tunku Shazuddin memulakan kerjaya bersama Johan Design Associates selama lima tahun dan pernah ditugaskan mengurus pelbagai projek untuk beberapa syarikat terkemuka seperti Petronas F1, Malaysia Airlines, RHB Bank Northport dan pelbagai kementerian di negara ini.

Bayi Setahun 11 Bulan Dari Alor Setar Perlukan Bantuan

Bayi Setahun 11 Bulan Dari Alor Setar Perlukan Bantuan



ALOR SETAR - Seorang bayi berusia setahun 11 bulan yang bergantung kepada mesin oksigen untuk bernafas memerlukan bantuan kewangan untuk membiayai kos perubatannya.

Ibu kepada bayi terbabit, Nor Hidayu Halim, 28, berkata, anak bongsunya, Ieman Fayruzz Mikhail Abdul Rahim memerlukan RM1,000 sebulan bagi menampung keperluannya.

“Dalam sebulan, saya kena tambah empat ke lima kali ubatan khas dalam mesin oksigen Ieman. Bayangkan, satu kali kena RM70.

“Itupun belum masuk beberapa tin susu khas yang perlu diminum anak lelaki saya itu setiap bulan untuk membolehkan dia mendapat zat secukupnya,” ujarnya.

Tambahnya lagi, tidak dinafikan, dia menerima bantuan kewangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.

"Tapi duit itu tak cukup nak tampung kos keperluan Ieman yang makin tinggi, ditambah kesihatannya tak menentu.

"Masalah kewangan dialami makin serius sejak dua bulan kebelakangan ini menyebabkan kami sekeluarga buntu," katanya yang dipetik Sinar Online.

Menurut Nor Idayu, demi menampung kos kehidupan mereka, dia kini berniaga sambilan secara dalam talian bagi mendapatkan wang tambahan.

“Dengan berniaga dalam talian, dapatlah wang sikit-sikit, bagaimanapun ia hanya cukup-cukup untuk Ieman, sedangkan saya memiliki tanggungan lain termasuklah seorang anak kurang upaya (OKU)," jelasnya.

Sebelum ini, kisah adik Ieman yang terpaksa bergantung hidup untuk meneruskan hidup dengan memakai mesin oksigen sudah dilaporkan media.

Bagi orang ramai yang mahu menghulurkan sebarang sumbangan boleh dibuat melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama ibunya Nor Hidayu Halim (0210029000677695).
66 Sekolah Tahfiz Kedah Tidak Patuhi Aspek Keselamatan

66 Sekolah Tahfiz Kedah Tidak Patuhi Aspek Keselamatan


ALOR SETAR - Pemeriksaan yang dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati sebanyak 66 sekolah tahfiz di negeri Kedah tidak mematuhi aspek keperluan keselamatan kebakaran seperti yang ditetapkan.

Pengarah JBPM negeri, Abdul Razak Muda berkata, jumlah tersebut hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan oleh pasukan petugas khas secara komprehensif agar kejadian kebakaran yang membabitkan sekolah tahfiz dapat dielakkan.

“Pemeriksaan yang berakhir 15 Oktober lalu mendapati ramai pengusaha sekolah itu gagal menyediakan alat pemadam api yang mencukupi, tiada tangga kedua, tiada pili bomba, dan menggunakan jeriji tingkap yang tidak mengikut spesifikasi bomba.

"Kita baru sahaja habis buat pemeriksaan di 66 buah sekolah tahfiz di Kedah,..agak malang kerana daripada kesemua sekolah tersebut tiada satu pun sebenarnya yang memenuhi keseluruhan aspek keselamatan kebakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi dan Perhimpunan Bulanan JBPM Kedah 2017 di Alor Setar, kelmarin.

Bagi mengelakkan kejadian kebakaran di pusat tahfiz berulang, pihak berkenaan perlu mengambil langkah menepati segala peraturan yang ditetapkan.

“Bomba dan pihak kerajaan tidak berhasrat untuk tutup sekolah tahfiz kerana kita faham masalah kewangan yang dihadapi, tetapi mereka cubalah memenuhi syarat kita beri itu.

"Insya-Allah...kita juga akan membantu menerusi program NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan) untuk menyelenggara semula sistem pendawaian elektrik dan bangunan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB), Giat Mara serta Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.

Tambah Abdul Razak, selain sekolah tahfiz, pihaknya juga sedang melakukan pemeriksaan di sekolah-sekolah agama rakyat yang lain di seluruh Kedah.

“Kita sebenarnya masih lagi dalam proses pemeriksaan di sekolah-sekolah agama yang lain...Insya-Allah pada 2018 dan 2019 ini kita akan perluaskan di sekolah-sekolah agama rakyat lain yang banyak lagi beroperasi,” katanya.

Mengikut rekod sejak 2014 hingga kini, hanya terdapat lapan kes kebakaran yang membabitkan sekolah tahfiz di Kedah.
Mukhriz Cuba Raih Populariti Songsang - KP UMNO Kedah

Mukhriz Cuba Raih Populariti Songsang - KP UMNO Kedah


Gesaan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir supaya kerajaan mengembalikan subsidi petrol di negara ini, tidak lebih daripada percubaannya untuk meraih populariti songsang.

Ketua Pemuda UMNO ne­geri, Datuk Shaiful Hazizy Zai­nol Abidin berkata, tindakan Mukhriz yang menabur maklumat separa benar berhubung perkara itu menunjukkan yang beliau cuba bermain politik di peringkat ‘kedai kopi’.

“Cadangan ini yang dikemukakan tanpa memberi jalan keluar konkrit terhadap masalah sebenar boleh diibaratkan sebagai tindakan politik tidak bertanggungjawab.

“Hakikatnya sehingga kini beliau masih belum memberi penjelasan dan penyelesaian mengenai kehilangan RM40 bi­lion pendapatan negara akibat penurunan harga minyak dunia selain gagal memberi jawapan sama ada perbelanjaan berhemah yang dilaksanakan mampu menangani situasi ekonomi dunia yang berada di luar kawalan kita?” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Dalam laporan akhbar hari ini, Mukhriz mendakwa kerajaan masih boleh mengekalkan subsidi petrol dan diesel sekiranya mengamalkan pengurusan kewangan berhemah tanpa perlu merujuk kepada harga minyak dunia.

Tanpa memberi sebarang cara penyelesaian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam itu mendakwa sepatutnya ada kaedah yang membolehkan subsidi minyak dikekalkan demi ke­sejahteraan rakyat tanpa perlu melakukan mekanisme harga minyak mingguan.

Mengulas lanjut, Shaiful Hazizy berkata, tindakan kerajaan menstruktur kembali subsidi dengan memulangkan sejumlah penjimatan tersebut kepada golongan sasar adalah pendekatan terbaik dan lebih berpandangan jauh.

“Apabila Mukhriz menuduh kerajaan tidak mengamalkan perbelanjaan berhemah, beliau kelihatan seolah-olah tidak mempunyai tanggungjawab politik. Perlu diingatkan, negara ini paling banyak berhutang pada zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

“Di zaman itu, hutang negara setinggi 103 peratus daripada pendapatan kasar berbanding cuma 50 peratus pada masa ini. Maka jelas, kerajaan hari ini mengamalkan tanggungjawab politik lebih tinggi apabila ber­usaha menurunkan defisit selain sentiasa mengkaji keperluan subsidi tertentu,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut meluahkan rasa kesal terhadap kenyataan Mukhriz yang masih menggunakan modal politik basi terutamanya berhubung isu 1Malaysia Deve­lopment Berhad (1MDB) untuk menghasut rakyat.

“Niat murni dan tanggungjawab politik yang tinggi ditunjukkan kerajaan dengan menstruktur semula subsidi serta sistem percukaian sering digambarkan untuk membayar hutang 1MDB,” ujarnya.


Bajet Kedah 2018 Umum 'Durian Runtuh' Menarik - Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman

Bajet Kedah 2018 Umum 'Durian Runtuh' Menarik - Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman


Rakyat Kedah bakal terima 'durian runtuh' apabila kerajaan negeri umum insentif dan ganjaran menarik dalam pembentangan Bajet 2018. Bajet Kedah 2018 bertemakan 'Menerus Kemajuan, Menzahir Impian' membuktikan kerajaan negeri mempunyai iltizam dan cara tersendiri mengurus negeri.

Ia juga menunjukkan kerajaan negeri terus mengutamakan rakyat dan cakna kepada isu kos sara hidup. Bajet kali ini meliputi RM855.22 juta perbelanjaan mengurus dan RM532.2 juta peruntukan dan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan untuk perbelanjaan pembangunan. Selain memperuntukkan perbelanjaan keseluruhan RM1.38 bilion dengan kadar defisit RM75.72 juta atau 9.71 peratus berbanding defisit 10.28 peratus dan 14.95 peratus pada 2017 dan 2016.

Bajet Kedah 2018 buat julung kalinya memperuntukkan pengecualian caj bekalan air bagi penggunaan maksimum 20 meter padu sebulan mulai Januari tahun depan membabitkan 38 peratus atau 221,000 pengguna domestik. Pengumuman ini sudah tentu dapat memberi manfaat buat rakyat segenap lapisan bagi mengurangkan beban setiap isi rumah.

Malahan kerajaan negeri akan menanggung kos pengguna domestik yang memiliki bil bulanan tidak melebihi RM10 dianggar RM1.5 juta sebulan atau RM18 juta setahun. Buat kali pertama juga mendahului Kerajaan Pusat dengan pemberian khas RM2,000 kepada kakitangan awam di Kedah membabitkan peruntukan keseluruhan RM14 juta.

Bajet juga memberi bantuan am bagi penerima Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dinaikkan daripada RM150 sebulan kepada RM200, memberi faedah kepada 4,000 penerima merangkumi orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan fakir miskin, membabitkan pembiayaan keseluruhan RM2.5 juta.

Dari aspek pendidikan dan modal insan pula kerajaan negeri memberi dana khas secara one off kepada 20 pondok dan 64 maahad tahfiz berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Kedah membabitkan biaya keseluruhan hampir RM1 juta. Kerajaan negeri juga meneruskan pemberian dana pengurusan RM2,000 sebulan kepada 11 pondok yang bernaung di bawah Yayasan Pembangunan Pondok 1Malaysia.

Geran RM1.7 juta diteruskan
Begitu juga geran berdasarkan bilangan pelajar di sekolah agama rakyat (SAR) berjumlah RM1.7 juta diteruskan, manakala dana tambahan disediakan bagi pembelian kitab kepada seluruh pondok dan maahad tahfiz di Kedah.

Seramai 30,000 pelajar Tahun Satu yang akan memasuki persekolahan sesi 2018 bakal menerima bantuan RM100 melalui Dana Warisan Pendidikan Anak Kedah. Sejumlah RM4 juta pula disalurkan bagi menaik taraf Maktab Mahmud dan Maahad Tahfiz Sains Kedah. Kerajaan Negeri juga terus utamakan usaha memperkasa institusi masjid dengan pelbagai program dan aktiviti, selain meningkatkan elaun bulanan imam daripada RM800 kepada RM1,200. Begitu juga elaun bilal RM750 kepada RM900 sebulan dan elaun siak RM475 sebulan kepada RM700 sebulan.

Pemberian sagu hati kepada setiap jemaah haji Kedah - RM500 akan diteruskan. Manakala insentif khas guru kampung dan guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) dinaikkan daripada RM450 sebulan kepada RM600 babit peruntukan RM2.6 juta.

Selaras bencana banjir dialami di Kedah baru-baru ini, bantuan segera bagi banjir dan bencana alam dinaikkan daripada RM100 kepada RM200. Kerajaan Kedah membuktikan usaha memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi agenda utama.

Rakyat Kedah seharusnya berterima kasih dan bersyukur terhadap usaha murni ini yang membuktikan bahawa Kerajaan Negeri memahami denyut nadi dan kemaslahatan rakyat. Semoga bajet ini dapat melonjakkan pembangunan dan memberi manfaat buat rakyat Kedah yang akan muncul sebagai sebuah negeri maju sebelah utara Semenanjung Malaysia.

Penulis ialah Felo Australian Academy of Business Leadership, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) - BH Online
Taman Tema Air Fantasia Janji Pengalaman Menyeronokkan

Taman Tema Air Fantasia Janji Pengalaman Menyeronokkan


KUBANG PASU - Bagi golongan ibu bapa yang mahu melihat kegembiraan dan senyuman lebar di wajah anak-anak, anda disyor­kan untuk membawa keluarga berseronok di Taman Tema Air Fantasia yang baru dibuka di Tasik Darul Aman, Jitra, dekat sini.

Berkeluasan kira-kira 1.2 hektar, taman tema air tersebut yang dimiliki sepenuhnya oleh Bina Darulaman Berhad (BDB), menjanjikan suasana ceria dalam persekitaran yang selamat de­ngan rata-rata permainan dan tempat mandi direka khas untuk memenuhi imaginasi kanak-kanak serta mendatangkan kese­ronokan kepada remaja.

Menurut Pengarah Urusan Kum­pulan BDB, Datuk Izham Yusoff, tarikan pelancongan terbaru di utara negeri Kedah itu sehingga kini menerima sambutan cukup menggalakkan daripada orang ramai.

“Kami baru memulakan operasi pada 2 November lalu dan dalam tempoh tidak sampai 10 hari, dianggarkan seramai 7,000 pengunjung sudah hadir ke sini.

“Angka itu merupakan petanda yang baik dan kami sememangnya mengharapkan untuk menarik kehadiran lebih ramai pengunjung ke sini pada masa akan datang,” katanya.

Berpeluang berkunjung ke taman tema air itu baru-baru ini, sesuatu yang menarik untuk dilihat adalah usaha BDB membina banyak permainan air seperti gelongsor serta meriam air yang boleh dimainkan secara selamat oleh kanak-kanak termasuk mereka yang berada di bawah usia tujuh tahun.

Keadaan itu membantu me­ngelakkan rasa kecewa dalam kalangan anak-anak yang tidak dibenarkan bermain permainan tertentu, hanya disebabkan oleh saiz tubuh mereka yang kecil seperti pernah dialami di taman-taman tema air lain.

Selain itu, antara penekanan yang diberi adalah berhibur sambil belajar di mana beberapa persembahan berbentuk informatif disediakan buat para pe­ngunjung dalam tempoh masa tertentu.

Antara yang menarik perhatian adalah bagaimana kisah seorang kanak-kanak lelaki bernama Adam yang tersesat dalam koloni haiwan-haiwan comel sehingga membolehkannya belajar banyak perkara mengenai kehidupan dan alam sekitar.

Di situlah anda akan lihat bagaimana anak-anak kecil berasa teruja untuk bertemu empat maskot utama Taman Tema Air Fantasia iaitu Rara (ladybird), Beebee (lebah), Emut (semut) dan Ram (rama-rama) yang bersedia melayan kehendak pe­ngunjung untuk bergambar.

Mengenai bayaran masuk pula, pihak BDB mengenakan harga yang cukup berpatutan iaitu dewasa hanyalah RM15 sementara untuk kanak-kanak (RM12) dan warga emas (RM10).

Begitu juga dengan kos menyewa almari penyimpanan barang iaitu serendah RM5. Selain itu, penjualan makanan di 'Kafe Rara' turut disediakan secara 'kombo' bagi memberi lebih nilai kepada pembeli.

Buat mereka yang berhajat untuk mengadakan sebarang majlis seperti hari keluarga atau sambutan hari lahir, terdapat ruang makan khas eksklusif untuk anda disediakan di tingkat atas sekali gus membolehkan anda memantau keadaan anak-anak yang sedang bermain di seluruh kawasan taman tema air tersebut.

Sementara itu Izham memaklumkan, pihaknya bercadang untuk menambah lebih banyak permainan di taman tema air tersebut dalam tempoh dua tahun lagi.

“Apa yang anda lihat hari ini adalah fasa pertama di mana tumpuan lebih diberikan kepada permainan untuk kanak-kanak dan remaja.

“Untuk fasa kedua, sebanyak lima lagi gelongsor akan dibina yang memberi lebih keseronokan kepada golongan dewasa," katanya.

Tambahnya, kewujudan Taman Tema Air Fantasia itu membantu menambahkan lagi pilihan kepada pengunjung yang memi­lih untuk beriadah di Tasik Darul Aman.

“Setelah puas bermandi-manda, para pengunjung boleh terus menikmati keindahan tasik sambil melakukan aktiviti santai seperti berkayak, berbasikal atau menaiki kereta buggy,” jelasnya.










Kerajaan Kedah Menerima Manfaat Besar Hasil Pelaksanaan Tiga Projek Mega - EXCO Kedah

Kerajaan Kedah Menerima Manfaat Besar Hasil Pelaksanaan Tiga Projek Mega - EXCO Kedah


ALOR SETAR - Kerajaan Kedah menerima manfaat besar hasil pelaksanaan tiga projek mega, khususnya dengan pendapatan baharu melalui hasil cukai melebihi RM500 juta.

Selain projek Rubber City di Padang Terap, dua lagi projek meliputi pembangunan Bandar Bebas Cukai (BBC) serta Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) di Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, YB Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, berkata manfaat lebih RM500 juta itu diterima Kedah melalui hasil cukai.

Katanya, cukai dibayar bukan sahaja kepada kerajaan negeri, tetapi juga pihak berkuasa tempatan (PBT) kawasan projek terbabit.

Untuk Bandar Bebas Cukai, nilai cukai dijangka dikutip adalah RM352.48 juta, meliputi RM336.78 juta kepada kerajaan negeri dan baki RM15.7 juta lagi oleh Majlis Daerah Kubang Pasu.

Jumlah itu tidak termasuk RM81.35 juta pendapatan cukai melalui KSTP yang dikutip kerajaan negeri dan PBT sama.

Bagi projek Rubber City pula, pendapatan cukai bagi kerajaan negeri dianggar RM61.9 juta dan Majlis Daerah Padang Terap pula RM13.8 juta dengan nilai keseluruhan RM76 juta," katanya.

Beliau menjawab soalan lisan Ahmad Lebai Sudin (BN-Bukit Lada) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Katanya, selain pendapatan baharu melalui kutipan cukai projek mega, kedudukan kewangan negeri turut diperkukuhkan melalui caj bayaran komitmen dikenakan kepada projek pembangunan di Kedah bermula 2016 sebagai hasil baharu.

Oleh kerana banyak bakal pelabur datang dengan pelbagai bentuk cadangan dan kerajaan negeri meluangkan banyak masa dan tenaga, sedangkan selepas dua atau tiga tahun projek berkenaan tak jadi, kita kenakan bayaran komitmen kepada pelabur.

"Ini (bayaran komitmen) bukan nak bebankan pelabur, tetapi nak tentukan mereka betul-betul serius. Ia berhasil apabila kita terima RM10 juta bayaran komitmen daripada pelabur pada 2016.

Untuk 2017 sehingga kini, kita dapat RM7.955 juta dengan RM10 juta lagi dianggar dikutip pada 2018," katanya.

Kepasa soalan lisan Mohd Azam Abd Samat (PAS-Sungai Limau) berhubung pendapatan hasil caj bekalan air mentah kepada Pulau Pinang, Ku Abdul Rahman berkata, ia tidak dimasukkan dalam Bajet Kedah 2018.

Ini kerana kedudukannya masih belum dimuktamadkan. Untuk pampasan pemuliharaan hutan negeri sebanyak RM39 juta, kita sedang mengusahakannya dengan Kerajaan Pusat.

Ia juga dibangkitkan kepada YAB Datuk Seri Najib Razak, ketika mesyuarat bersama kerajaan negeri sewaktu lawatan Perdana Menteri ke Kedah baru-baru ini.

Kita positif pampasan itu akan diluluskan dan berharap nilainya juga bertambah kerana RM39 juta adalah nilai yang dibangkitkan ketika ia mula disebut pada 2003," katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Amiruddin Hamzah (PAS-Anak Bukit), beliau berkata, kerajaan negeri mengakui potensi Kedah sebagai hab automotif mampu terus dilonjak, terutama dengan kemampuan pemain utama industri di Gurun serta Padang Meha di Kulim untuk terus mengembangkan operasi masing-masing.
Mangsa Banjir Kedah Di Pusat Pemindahan Banjir Meningkat

Mangsa Banjir Kedah Di Pusat Pemindahan Banjir Meningkat


KUBANG PASU - Bilangan mangsa banjir di daerah ini meningkat dengan tiga lagi pusat pemindahan sementara dibuka petang semalam, menempatkan keseluruhan 496 mangsa daripada 109 keluarga.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa, berkata selain Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, tiga pusat pemindahan baharu yang dibuka ialah Surau Kampung Betong, Surau Kampung Tebing dan di Kampung Lahar.

Di SMK Changlun, katanya, bilangan mangsa turut meningkat iaitu 235 orang membabitkan 59 keluarga berbanding hanya 210 orang semalam.


Peningkatan jumlah mangsa banjir ini berikutan hujan petang semalam, selain paras air yang masih meningkat di kawasan yang berisiko rendah.

Bagi pusat pemindahan baharu, Surau Kampung Betong yang dibuka jam 2.30 petang semalam kini menempatkan 94 mangsa daripada 18 keluarga.

Pusat pemindahan di Surau Kampung Tebing menempatkan 67 mangsa daripada 17 keluarga manakala di Kampung Lahar menempatkan 100 mangsa membabitkan 22 keluarga," katanya.

Kamarulzamal berkata, pihaknya menasihatkan penduduk di kawasan berisiko supaya lebih berhati-hati dengan lebih peka terhadap keadaan persekitaran.

Mereka boleh menghubungi pasukan penyelamat atau penghulu dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berhampiran untuk membolehkan mereka berpindah dengan segera," katanya.- BH Online
Peluang Strategik Usahawan Tani Tembusi Pasaran Dunia -  EXCO Kedah

Peluang Strategik Usahawan Tani Tembusi Pasaran Dunia - EXCO Kedah


ALOR SETAR - Para usahawan tani di seluruh negeri ini dipelawa untuk merebut peluang dan menjayakan Kedah Food Valley, sebuah program yang bakal melonjakkan nama negeri Kedah sebagai hub industri makanan negara.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, KFV merupakan inisiatif Kerajaan Negeri yang diambil bagi meningkatkan keupayaan dan menggalakkan pertumbuhan industri makanan ke tahap yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Sehingga kini, Kedah mempunyai seramai 43,611 usahawan tani yang berdaftar di bawah agensi dan mereka menjana hasil jualan kira-kira RM641.8 juta pada tahun lalu. Itu belum lagi termasuk usahawan yang belum berdaftar.

Justeru itu, kita melihat ini merupakan peluang baik bagi mereka. Saya berbesar hati menjemput semua para usahawan khususnya di negeri Kedah untuk bersama kita merebut peluang keemasan untuk memeriakan program Kedah Food Valley ini.

Program berimpak tinggi yang inklusif ini bukan saja dilihat mampu melonjak nama Kedah sebagai hub makanan utama negara, malah ia juga dalam meningkatkan lagi daya saing dan sosio-ekonomi terutama bagi golongan B-40," katanya kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kedah Food Valley telah menjalin kerjasama strategik dengan pemain utama industri pertanian utama dunia seperti Japan International Cooperation Agency (JICA), Chiang Mai Chamber of Commerce dan Obihiro Chamber of Commerce and Industry yang bakal menyediakan kepakaran serta khidmat teknikal.

Selain itu, penyertaan dari pelbagai agensi utama tempatan yang memain peranan penting dalam sektor pertanian, usahawan-usahawan, persatuan, koperasi dan syarikat-syarikat swasta dalam program tersebut juga bakal memberikan sentuhan "ajaib" yang menyeluruh kepada program jangka masa panjang itu.

Jika kita lihat kepada penyertaan dari pakar-pakar yang berpengalaman luas dan terkenal dalam industri pertanian, usahawan-usahawan kita yang menyertai Kedah Food Valley akan menerima manfaat dalam banyak perkara.

Bukan saja dari sudut teknologi dan teknikal, Kedah Food Valley ini menyediakan eko-sistem sokongan industri makanan yang sempurna termasuk research & develoment (R&D), pengumpulan dan pengedaran (CDC), pengurusan kewangan, agensi pembangunan dan peraturan yang efektif.

Dengan penyediaan pasaran tersedia (ready market) yang strategik, usahawan-usahawan kita ini tidak lagi hanya bergantung kepada pasaran domestik, malah amat berpotensi untuk berkembang agresif menembusi pasaran antarabangsa yang lebih luas," ujar beliau.

Menurut Suraya, Kedah Food Valley juga merangkumi program AgroFoodPrenuers di mana para usahawan yang terlibat berinteraksi secara terus antara pembekal, pengilang, pakar-pakar industri makanan dan pelbagai agensi terlibat.

Penglibatan Mardi, KBiocorp, Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Agro Bank juga bakal menyediakan khidmat nasihat serta kepakaran yang dimiliki untuk membantu para usahawan membangunkan perniagaan masing-masing.

Kita juga mewujudkan piawaian standard produk-produk makanan yang dihasilkan mengikut standard antarabangsa di bawah penjenamaan Kedah Food Valley dan kita juga akan membantu mempromosikan produk-produk berkenaan.

Maksudnya, Kedah Food Valley ini boleh dikatakan lengkap. Bermula dari pembekal bahan mentah, pengilang, pembekal, pemasaran, penjemaan, pengiklanan, R&D, khidmat nasihat, teknikal, semuanya terangkum di dalamnya hinggalah kepada end user (pengguna).

Exco Kerajaan Negeri itu juga menjelaskan bahawa program Kedah Food Valley juga akan menyediakan insentif-insentif seperti "double tax deduction", "investment tax allowance", pengecualian cukai korporat" dan sebagainya bagi menggalakkan usahawan melabur.

Kerana itulah kita yakin bahawa Kedah Food Valley ini bakal memberi transformasi besar kepada usahawan-usahawan tani di negeri Kedah untuk pergi lebih jauh, dalam masa yang sama memakmurkan lagi sektor pertanian, penternakan dan nelayan.

Kita amat positif dalam hal ini dan saya secara peribadi menyeru kepada semua usahawan supaya tidak melepaskan peluang yang disediakan Kerajaan Negeri ini. 

Kedah Food Valley bakal menjadi program ikonik kita yang bakal melonjak nama Kedah bukan saja di negara kita, malah ke persada antarabangsa," ujarnya bersemangat memberikan yang terbaik kepada rakyat Kedah.

Suraya berkata demikian ketika ditembual Kedahnews.com dalam satu wawancara eksklusif berhubung Kedah Food Valley, antara program utama yang tersenarai di dalam Bajet Kedah 2018 yang dibentang oleh Menteri Besar, Dato' Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah.
Jual Tiket Dalam Talian Bagi Mengelakkan Masalah Berlaku #VIDEO

Jual Tiket Dalam Talian Bagi Mengelakkan Masalah Berlaku #VIDEO


ALOR SETAR - Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mahu Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) menjual tiket untuk semua perlawanan akhir secara dalam talian bagi mengelak berlakunya masalah ketika penjualan dibuat di stadium.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan negeri, Datuk Aminuddin Omar berkata, langkah tersebut akan menyelesaikan masalah penjualan tiket tidak teratur di stadium atau peminat menyalahkan persatuan apabila gagal mendapat tiket seperti yang berlaku ketika final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 4 November lalu.


“Kami akan merayu kepada FMLLP untuk mempertimbangkan cadangan ini.

“Kami akan menggesa FMLLP untuk menjual semua tiket bagi perlawanan akhir secara dalam talian,” katanya dalam ucapan penggulungan pada sesi debat Bajet 2018 di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.

Aminuddin yang juga Setiausaha Kehormat KFA, akan meminta mesyuarat majlis eksekutif KFA untuk membincangkan cadangan itu sebelum mengemukakannya kepada FMLLP untuk dipertimbangkan.

Beliau berkata ribuan peminat yang marah telah menyerbu pejabat KFA untuk melepaskan kemarahan dan menuduh persatuan tidak telus dalam isu jualan tiket selepas gagal mendapatkan tiket untuk final Piala Malaysia baru-baru ini.

Aminuddin menegaskan, KFA telus dalam penjualan tiket perlawanan it, malah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri ada menempatkan pegawainya di kaunter bagi mengelakkan penipuan berlaku.

“KFA terima kuota 30,000 tiket dan 8,000 daripadanya dijual di kaunter kepada peminat. Bakinya pula dijual melalui tempahan membabitkan 400 bas dengan jangkaan 44 peminat di setiap bas, selain kepada pertubuhan bawah KFA, “ katanya.
Pertimbang Pelabur Lain Untuk KIFT - EXCO Kedah

Pertimbang Pelabur Lain Untuk KIFT - EXCO Kedah


ALOR SETAR - Kerajaan negeri sedang mempertimbang kemasukan pelabur baharu bagi meneruskan projek Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) yang dirancang di Kuala Tebengau, Kuala Kedah, dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, berkata kesediaan itu bagaimanapun tertakluk kepada perkembangan komitmen syarikat pelabur asal, iaitu Lu Hai Feng Ltd.

Beliau berkata, Lu Hai Feng Ltd berpangkalan di Qingdao, China yang ingin membangunkan KIFT, masih gagal membayar yuran komitmen sebanyak RM5 juta hingga projek itu tertangguh.

"Kerajaan negeri sudah membuat segala persediaan termasuk mendapatkan kelulusan daripada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN), namun kita terpaksa menangguhkan projek ini sebab syarikat (pelabur) masih belum membayar yuran komitmen yang kita perkenalkan, iaitu RM5 juta bagi fasa pertama.

"Ada juga syarikat lain yang datang berminat untuk meneruskan KIFT tetapi kita lihat dulu perkembangannya. Jika masih tiada penamatnya kita akan melihat proposal lain, " katanya menjawab soalan tambahan Datuk Phahrolrazi Zawawi (PAN-Pengkalan Kundor) ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini.

KIFT yang membabitkan kos kira-kira RM3 bilion akan tertumpu kepada pembinaan pelbagai kemudahan penangkapan dan pemprosesan ikan tuna, dengan sasaran melonjak Kedah sebagai hab perikanan moden antarabangsa.

Ia dijangka membabitkan penyediaan kemudahan perikanan moden seperti taman industri makanan laut, kemudahan sejuk beku dan pusat lelongan ikan tuna seperti yang terdapat di Pasar Tsukiji di Tokyo, dengan sasaran menyediakan kira-kira 50,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Mengenai status beberapa projek mega di Kedah, Ku Abd Rahman berkata, kerajaan negeri terpaksa membatalkan projek Bandar Sains dan Perubatan Kedah yang dijadual dibangunkan di Bandar Baharu berikutan tiada pelabur berminat.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri memberi jaminan bahawa projek pembangunan Hospital Pendang akan diteruskan.

"Kelewatan pembangunan projek Hospital Pendang yang dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) sebelum ini disebabkan oleh penambahan bajet sebanyak RM20 juta yang menjadikan kos keseluruhannya sebanyak RM220 juta.

"Kos asal pembinaan Hospital Pendang yang diluluskan ialah RM200 juta dengan kapasiti 120 katil, namun kini ia dimuktamadkan kepada RM220 juta dengan kapasiti 126 katil.

"Mengikut perancangan proses tender akan dibuka pada bulan ini dan kerja pembinaan akan mengambil masa selama 36 bulan sebelum ia dijangka siap pada 2021. Projek ini pastinya berjalan, " katanya.
Kerajaan Disaran Beri Peluang GLC Laksana Projek Pembangunan Di Bukit Kayu Hitam - ADUN BN Kedah

Kerajaan Disaran Beri Peluang GLC Laksana Projek Pembangunan Di Bukit Kayu Hitam - ADUN BN Kedah


ALOR SETAR - Kerajaan disaran memberi peluang kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Kedah untuk turut sama melaksanakan projek pembangunan zon bebas cukai di Bukit Kayu Hitam.

Datuk Ahmad Zaini Japar (BN- Bukit Kayu Hitam) ketika membuat cadangan itu berkata, ini secara tidak langsung dapat membantu anak syarikat kerajaan negeri menjana pendapatan hasil daripada projek tersebut.

Sementara itu, kata Ahmad Zaini, tanah di kawasan Bukit Kayu Hitam kini meningkat harga berikutan pegumuman kerajaan untuk membangunkan zon bebas cukai dan projek lain berhampiran pintu masuk utama di sempadan Malaysia - Thailand itu.

"Sehubungan itu saya menyokong Bajet 2018 yang dibentang oleh Menteri Besar dan Perdana Menteri kerana ia ternyata memberi faedah kepada rakyat di Kedah khasnya penduduk Bukit Kayu Hitam", kata semasa mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet 2018 di Sidang Dewan Undangan Negeri di sini semalam.

Pada Bajet 2018, kerajaan juga mengumumkan pemasuhan tol di Bukit Kayu Hitam.
Ahmad Zaini yakin pemansuhan tol itu membuktikan suara rakyat diambil kira oleh kerajaan Persekutuan. 

Image may contain: 6 people, people sitting and indoor

Sementara itu, Nor Saidi Nanyan (BN- Kuah) ketika mencelah perbahasan Datuk Phahrolrazi Zawawi ( PAN- Pengkalan Kundur) menafikan ekonomi Malaysia merudum hingga rakyat berada dalam kesusahan.

Kata Nor Saidi, rakyat Malaysia mempunyai banyak pilihan jika ekonomi teruk, tetapi ramai rakyat Malaysia kini masih melancong di dalam dan luar negara di samping berbelanja di gedung membeli belah.

"Ini membuktikan rakyat masih ada wang dan saya berharap pembangkang perlu adil dalam membuat perbandingan, " kata Nor Saidi.
ADUN Bukit Lada 'Bimbang' Mukhriz Tiada Lagi Dalam Dewan Selepas PRU14

ADUN Bukit Lada 'Bimbang' Mukhriz Tiada Lagi Dalam Dewan Selepas PRU14


ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin'menyuarakan kebimbangan' kemungkinan ramai ADUN pembangkang termasuk Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PPBM- Ayer Hitam) tiada lagi pada persidangan dewan selepas Pililhan Raya Umum yang dijangka tahun depan.

" Inilah perbahasan terakhir saya sebelum pilihan raya dan saya bimbang ramai rakan saya di sebelah sana yang berbahas hari ini juga tidak ada lagi dalam mesyuarat akan datang, " katanya semasa berbahas pada sidang DUN semalam.

Beliau yang sering membuat dewan 'kecoh' menyatakan perkara itu berikutan keghairah anggota pembangkang menyuarakan keyakinan BN tidak lagi menjadi kerajaan selepas PRU14.

Sementara Ahmad juga menyifatkan Mukhriz tiada lagi taring ketika berbahas kerana gagal mendapat sokongan dan menarik anggota PAS.


Sidang DUN semakin gamat apabila beberapa ADUN pembangkang bangkit mencelah dengan bertanya sama ada Datuk Ali Yahya (BN-Pantai Merdeka) dipilih semua sebagai calon pada PRU akan datang.

Ali berkata, ADUN BN mempunyai prinsip, jika tidak dipilih lagi pucuk pimpinan mereka akan kekal menyokong parti dan bukannya meninggal parti untuk menyertai pembangkang seperti yang berlaku di dalam PAS apabila ADUNnya menyertai PAN dan PPBM.

Pembangkang Ditempelak Dakwa Bajet 2018 Masih Tidak Cukup - Ali Yahya

Pembangkang Ditempelak Dakwa Bajet 2018 Masih Tidak Cukup - Ali Yahya


ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang hari ini ditempelak kerana menyifatkan Bajet 2018 sebagai 'gula-gula' PRU14 tetapi dalam masa yang sama mereka juga mendakwa peruntukan yang disediakan masih tidak mencukupi.

Sindiran dan perlecehan anggota pembangkang mengenai Bajet 2018 negeri Kedah itu bagaimanapun dipatahkan semasa sesi perbahasan oleh Datuk Ali Yahya (BN-Pantai Merdeka), Datuk Ahmad Lebai Sudin (BN - Bukit Lada), Datuk Ahmad Zaini Japar (BN-Bukit Kayu Hitam), Nor Saidi Nanyan (BN Kuah) dan Mahadhir Abdul Hamid (BN-Jeneri).
.
"Inilah bajet yang terbaik dalam tempoh lima tahun, " kata Ali ketika menyokong Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada Sidang Dewan Undangan Negeri Ahad lalu.

Menurut Ali, beliau hairan bagaimana pihak pembangkang tidak begitu ghairah untuk menilai wang ringgit yang diperuntukkan dalam Bajet 2018.

"Mereka (pembangkang) hanya tahu menyatakan kenaikan RM100 tidak cukup, bayaran khas kepada kakitangan awam negeri ini sebanyak RM2,000 juga tidak cukup, " kata Ali lagi.

Menurut beliau nilai wang ringgit dalam bajet ini amat tinggi bagi rakyat.Ia bukan sahaja untuk melaksanakan projek pembangunan rakyat tetapi juga memberi manfaat secara langsung kepada semua pihak termasuk di peringkat bawahan.

Sepatutnya pihak pembangkang turut menyokong Bajet 2018 dan mengambil peranan serta memahami tentang cara kerajaan menguruskan perbelanjaan kerana mereka (pembangkang) juga pernah menjadi kerajaan, katanya.

"Sedang rakyat tertunggu dengan Bajet 2018, anggota pembangkang pula yang memperlecehnya sebagai 'gula-gula' dan 'dedak' PRU14, " kata Ali.

Beliau juga menjelaskan kerajaan memerlukan satu kebijaksanaan untuk menguruskan kewangan kerana manfaatnya adalah untuk semua rakyat.

Kata Ali lagi, Bajet 2018 adalah satu penawaran terbaik kepada rakyat Kedah untuk mempertahankan kerajaan Barisan Nasional kerana secara kebetulan PRU bakan dilaksanakan tidak lama lagi..

"Jadi.. bukan senang untuk mengalah BN dan bukan mudah untuk pembangkang untuk menang PRU14," kata Ali.

Image result for HAJI ZAINI ADUN BUKIT KAYU HITAM

Sementara itu Ahmad Zaini (BN - Bukit Kayu Hitam) menjelaskan, biarlah pembangkang menyifatkan Bajet 2018 sebagai bajet PRU atau gula-gula, yang penting rakyat mendapat manfaatnya.

Beliau merujuk langkah kerajaan Pusat memansuhkan tol Bukit Kayu Hitam dan pelaksanaan zon bebas cukai di sempadan yang diumumkan pada Bajet 2018.
Pembiayaan Kompleks Pendidikan Pondok Moden Tak Jejaskan Asnaf - EXCO Kedah

Pembiayaan Kompleks Pendidikan Pondok Moden Tak Jejaskan Asnaf - EXCO Kedah


ALOR SETAR - Pembinaan Kompleks Pendidikan Pondok Moden oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) tidak akan sesekali mendatangkan kesan kepada pengagihan bantuan dan zakat yang diperuntukkan khusus kepada golongan asnaf di Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan dan Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid, berkata pembinaan kompleks berkenaan sememangnya menjadi hasrat LZNK dalam usaha membiayai keperluan pendidikan termasuk sekolah aliran Arab di negeri ini, yang terbukti memberi kesan besar kepada umat Islam.

"Berkenaan kos pembiayaan (kompleks pendidikan), saya tak dapat maklumat lagi, namun melalui perbualan bersama mereka, LZNK sememangnya teringin membiayai (pendidikan) kerana ia adalah benda besar (untuk Islam).

"Bagaimanapun sama ada golongan asnaf terkesan apabila membuat projek besar begini, saya rasa agihannya (kepada pembiayaan kompleks pendidikan) tidak akan menidakkan bantuan terhadap mereka (asnaf)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Yahya (PAS - Alor Mengkudu) ketika Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-13, di sini, hari ini.

Mohd Rawi, berkata selain mengambil kira pembiayaan projek yang memberi manfaat kepada umat Islam, LZNK turut yakin usaha itu berupaya menarik minat pembayar zakat, sekali gus membantu meningkatkan kutipannya.

Mengenai pungutan zakat di Kedah, Mohd Rawi berkata LZNK mensasarkan kutipan sebanyak RM300 juta pada tahun hadapan.

"Pungutan zakat pada 2015 adalah RM140,388,446, manakala pada 2016 adalah RM148,185,655 dan 2017 pula sehingga kelmarin (13 November) kutipan direkod berjumlah RM132 juta.

"Bagi 2017 sehingga semalam jumlahnya meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu RM111 juta. LZNK sentiasa melakukan penambahbaikan dalam sistem pungutan termasuk mengadakan kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk laksana pembayaran zakat melalui kaedah pemotongan gaji," katanya.
15,000 Hektar Sawah Luar Perairan Muda Disyor Ditadbir Oleh MADA - Mahadzir

15,000 Hektar Sawah Luar Perairan Muda Disyor Ditadbir Oleh MADA - Mahadzir


ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid mencadangkan kerajaan agar seluruh 15,000 hektar sawah di luar perairan Muda ditadbir urus oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Katanya, pesawah di luar kawasan MADA juga seharusnya menerima manfaat yang sama seperti juga pesawah di dalam kawasan perairan Muda.

Saya berharap kerajaan tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk menimbangkan perkara ini, "katanya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Baget 2018 negeri di sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Sementara itu, Mahadzir juga mencadangkan agar bantuan kepada mangsa banjir diselaraskan agar penduduk yag tidak tinggal di pusat pemindahan banjir juga mendapat manfaat yang sama.

Katanya, ada di antara mangsa banjir yang tidak berpindah ke pusat pemindahan juga mengalami kerugian yang lebih besar.

Selain mangsa banjir, mangsa ribut juga harus diberi bantuan yang sama sama, " kata Mahadzir lagi.

"Bagaimanapun saya berterima kasih kepada kerajaan yang menaikkan bantuan kepada mangsa banjir daripada RM100 kepada RM200," kata Mahadzir.

Sementara itu, ADUN Kupang, Dato' Harun Aziz ketika membahaskan Bajet 2018 memohon kerajaan menaik taraf padang dan stadium mini di setiap daerah.

Katanya, kemudahan padang dan stadium sukan di daerah itu akan dimanfaat oleh anak-anak muda dan mampu melahirkan ahli sukan di peringkat negeri.

Menerus Kemajuan Menzahir Impian
#BajetKedah2018
#MuafakatKedah
Jemaah Haji Kedah Terima Manfaat - EXCO Kedah

Jemaah Haji Kedah Terima Manfaat - EXCO Kedah


ALOR SETAR - Kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM2.6 juta bagi keperluan jemaah haji Kedah tahun ini, meliputi pemberian sagu hati dan penyediaan penerbangan khas ke Jeddah.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan serta Kerja Raya negeri, YB Datuk Mohd Rawi Abd Hamid, berkata peruntukan disediakan itu membawa manfaat kepada 4,564 jemaah haji, termasuklah 2,785 yang berlepas melalui penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di sini.

Beliau berkata, untuk penerbangan terus kerajaan negeri menyediakan 10 penerbangan khas dari LTSAH ke Jeddah, sejak diperkenalkan pada 2013.

Jumlah perbelanjaan RM2.6 juta itu membabitkan pemberian sagu hati kepada jemaah haji Kedah RM2.375 juta, serta perbelanjaan penyediaan dan keperluan sebanyak RM212,593.50.

Pemberian sagu hati ini membabitkan wang tunai serta peralatan seperti kain pelikat, kain batik dan beg yang diberikan terus kepada jemaah di LTSAH, manakala yang berlepas dari lokasi lain wang tunai dimasukkan melalui akaun bank mereka," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan YB Dato' Abu Hasan Sarif (BN-Kota Siputeh) ketika Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Melalui Bajet Kedah 2018 yang dibentangkan Menteri Besar, YAB Dato' Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah, Ahad lalu kerajaan negeri mengumumkan pemberian sagu hati RM500 kepada setiap jemaah haji Kedah, akan diteruskan tahun depan.
KUIN Kemuka Nama Baharu Kepada UniSHAMS - EXCO Kedah

KUIN Kemuka Nama Baharu Kepada UniSHAMS - EXCO Kedah



ALOR SETAR - Kolej Unversiti Insaniah (KUIN) akan mengemukakan permohonan untuk pendaftaran sebagai Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua'adzam Shah (UniSHAMS) pada Januari 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Dato' Tajul Urus Mat Zain, berkata permohonan itu antara usaha untuk membolehkan status KUIN selaku institusi pendidikan tinggi di bawah kerajaan negeri, dinaik taraf sebagai universiti.

Beliau berkata, KUIN sudah memenuhi empat daripada lima syarat yang ditetapkan untuk didaftarkan sebagai universiti yang akan dikenali dengan nama UniSHAMS.

"Syarat yang dipenuhi KUIN ketika ini termasuklah berkaitan pengekalan status akreditasi penuh bagi kursus yang mengalami masalah pematuhan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), serta tahap kebolehpasaran graduan mencapai 70 peratus.

Dua lagi syarat membabitkan 80 peratus kakitangan akademik berkelulusan sarjana dan 30 peratus daripada kos pengoperasian ditempatkan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D)," katanya menjawab soalan lisan Md Zuki Yusof (PAS-Kuala Ketil).

Mengenai baki satu lagi syarat yang wajib dipatuhi KUIN, Tajul Urus berkata, membabitkan bilangan pelajar antarabangsa yang harus mencapai 20 peratus seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Pada masa ini, KUIN mempunyai enam peratus pelajar antarabangsa dan memerlukan kira-kira 300 pelajar antarabangsa lagi bagi mencapai tahap 20 peratus yang ditetapkan.

Selepas memenuhi semua syarat ditetapkan, kita jangkakan KUIN akan mengemukakan permohonan pendaftaran UniSHAMS pada awal Januari depan," katanya.

Beliau berkata, untuk mencapai tahap 20 peratus jumlah pelajar antarabangsa, KUIN kini menjalankan beberapa langkah termasuklah meluluskan pakej penawaran istimewa dengan kadar diskaun 50 peratus yuran bagi sembilan program pasca siswazah.

Pakej penawaran istimewa itu hanya terbuka sehingga 300 orang pelajar antarabangsa dari Thailand dan Indonesia sahaja, sehingga KUIN memperoleh kelulusan pendaftaran UniSHAMS.

KUIN juga mempromosi ke selatan Thailand dan Indonesia pada hujung Oktober lalu dan awal November ini.

Setakat ini, KUIN menerima 115 pelajar dari selatan Thailand serta 108 pelajar dari Indonesia bagi program peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD)," katanya.
5 Pekerja Kilang Ditahan Cuba Bawa Keluar Gula Padang Terap

5 Pekerja Kilang Ditahan Cuba Bawa Keluar Gula Padang Terap


PADANG TERAP - Sekumpulan lima lelaki ditahan pihak polis kerana dipercayai cuba mencuri sejumlah gula tanpa kebenaran di Kilang Gula Padang Terap, pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, DSP Noh Idris berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 21 hingga 55 tahun ditahan pada jam 10.45 pagi dan mereka merupakan pekerja di kilang gula terbabit.

Kegiatan kotor mereka disedari seorang penjaga stor setelah satu urusan pengeluaran gula dari kilang berkenaan menggunakan lori, disyaki terdapat unsur kecurian.

Seorang penjaga stor mendapati alat penimbang gula pada lori itu tercatat 61,210 kilogram, sedangkan dalam tiket timbangan hanya tercatat 49,540 kilogram.

Ekoran itu, dilakukan pengiraan semula dan mendapati kuantiti sebenar gula yang diisi dalam lori itu melebihi kuantiti sebenar yang patut dihantar dalam nota penghantaran," katanya.

Siasatan mendapati 11,670 kilogram gula bernilai kira-kira RM30,000 cuba dicuri secara bersama oleh kelima-lima suspek itu.

Suspek masing-masing bekerja sebagai operator penimbang, pemandu lori, penjaga stor dan dua pemandu jentera pengangkut di kilang berkenaan.

Berikutan itu, beliau berkata kelima-lima lelaki berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 381/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri. 

Sebelum ini terdapat kes seumpama itu di kilang berkenaan, tetapi tidak mengesyaki siapa yang melakukannya dan hari ini kesemua suspek berjaya diberkas," katanya.
Kedah Mohon Bina Pusat Jagaan Harian Di Hospital Sungai Petani - EXCO Kedah

Kedah Mohon Bina Pusat Jagaan Harian Di Hospital Sungai Petani - EXCO Kedah


ALOR SETAR - Kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan untuk membina satu Pusat Jagaan Harian enam tingkat yang dianggarkan bernilai RM200 juta di tapak Hospital Sungai Petani lama.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Kesihatan dan Perpaduan negeri, Datuk Leong Yong Kong berkata, langkah ini adalah antara usaha mengurangkan masalah kekurangan katil di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

Beliau berkata, kertas kerja yang disediakan Jabatan Kesihatan Negeri telah dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).

"Dengan ini sebahagian pesakit tidak perlu dimasukkan ke wad untuk menjalani pembedahan minor, rawatan kemoterapi bagi pesakit kanser serta rawatan talasemia iaitu pemindahan darah," katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.
Advertisement

Beliau menjawab soalan Dr. R. Krishanmoorthy (PKR-Bukit Selambau) yang mahu tahu adakah terdapat cadangan untuk menaik taraf hospital tersebut ekoran kekurangan katil untuk menampung jumlah pesakit yang ramai.

Yong Kong berkata, terdapat juga cadangan untuk menambah satu wad baharu di Hospital Sungai Petani lama pada tahun hadapan dan satu wad lagi pada 2019 setelah kerja-kerja naik taraf dijalankan di bangunan sedia ada.

Beliau menjelaskan, melalui projek Hospital Kluster yang bermula tahun ini membabitkan HSAH bersama Hospital Sik dan Yan, ia turut dilihat mampu mengurangkan masalah kesesakan tersebut apabila sebahagian besar pesakit dari Yan dan Sik tidak perlu lagi dimasukkan ke HSAH.

"Ini kerana pakar perubatan pelbagai bidang di HSAH akan melawat dan memberi perkhidmatan kepakaran serta menjalankan prosedur di Hospital Yan dan Sik.

"Di samping itu, mutu penyampaian perkhidmatan di kedua-dua hospital daerah ini dapat ditingkatkan dengan latihan berterusan kepada pegawai perubatan dan kakitangan paramedik serta pertambahan alatan perubatan dan kelengkapan dewan bedah," katanya.


Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) Bantu Mangsa Banjir

Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) Bantu Mangsa Banjir


ALOR SETAR - Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) mengagihkan sumbangan hampir RM50,000 kepada 10 daerah yang terbabit dengan bencana banjir, bagi menampung kos kerja membaik pulih rumah.

Pengurus Besarnya, Misbah Abdul Hamid, berkata sumbangan terbabit diberikan kepada pegawai daerah bagi membolehkan ia disalurkan kepada mereka yang layak.

Katanya, sumbangan itu diserahkan secara berperingkat-peringkat menerusi tiga fasa, iaitu fasa pertama pada Ogos, kedua pada September dan ketiga pada hari ini.

"Fasa pertama membabitkan daerah Baling sebanyak RM10,000 manakala, fasa kedua diserahkan kepada daerah Kota Setar sebanyak RM5,000, diikuti fasa ketiga hari ini, iaitu lapan daerah sebanyak RM33,000.

"Lapan daerah itu ialah Kuala Muda, Kulim, Kubang Pasu dan Pendang masing-masing sebanyak RM5,000; daerah Bandar Baharu, Yan dan Langkawi masing-masing RM3,000 manakala daerah Pokok Sena menerima sebanyak RM4,000," katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Bencana Alam di Gunung Keriang, di sini hari ini.

Terdahulu, Tunku Temenggong Kedah selaku Pengerusi YSB, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim perkenan menyampaikan sumbangan terbabit kepada lapan pegawai daerah.

Misbah berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memberi sumbangan makanan dan minuman serta perkakasan mencuci rumah kepada mangsa banjir di setiap daerah.

"Kami juga bekerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memantau banjir dan membawa makanan ke tempat yang sukar dilalui oleh kenderaan biasa," katanya.

Kedah dilanda banjir sebanyak tiga kali iaitu pada Ogos membabitkan daerah Baling, September di daerah Kota Setar disusuli kali ketiga membabitkan lapan daerah lagi.
Kedah Dijangka Mampu Peroleh RM601 Juta Tahun ini - EXCO Kedah

Kedah Dijangka Mampu Peroleh RM601 Juta Tahun ini - EXCO Kedah


ALOR SETAR - Kerajaan negeri dijangka mampu memperoleh pendapatan menyamai tahun lalu iaitu sebanyak RM601 juta atau 83 peratus daripada anggaran.

EXCO Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, berkata pendapatan itu disumbang oleh peningkatan semasa kutipan hasil dalam sektor tertentu termasuk premium tanah, selain cara kerja efisien dilaksanakan pentadbir, pegawai dan kakitangan kerajaan negeri.

"Sehingga 12 November (semalam), pendapatan kerajaan negeri untuk tahun ini melebihi RM485 juta atau 66.1 peratus daripada anggaran RM734 juta yang ditetapkan untuk 2017.

"Sehubungan itu bagi tahun ini, kita yakin mampu mencapai perolehan tinggi seperti tahun lalu melalui pembayaran premium tanah oleh Kerajaan Persekutuan yang kebiasaannya dibuat pada hujung tahun serta pelbagai kutipan sektor lain yang masih dilakukan, " katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini.

Beliau menjawab soalan Mohd Azam Abd Samat (PAS-Sungai Limau) yang ingin mengetahui pendapatan keseluruhan kerajaan negeri untuk 2017.

Pada masa sama, Ku Abd Rahman, berkata pendapatan kerajaan negeri disumbangkan oleh lima sektor utama iaitu cukai tanah berulang yang mencatat perolehan lebih RM177 juta diikuti pemberian Kerajaan Persekutuan sebanyak RM158 juta.

"Tiga lagi sektor utama yang menyumbang kepada pendapatan kerajaan negeri adalah premium tanah sebanyak RM53 juta, premium hutan RM44 juta serta tunggakan cukai tanah berjumlah RM21 juta.

"Kelima-lima sektor ini menyumbang lebih 454 juta atau 93.6 peratus daripada jumlah perolehan hasil kerajaan negeri untuk tahun ini sehingga semalam," katanya.

Beliau berkata, bagi perbelanjaan pula, sebanyak RM131.4 juta dibelanjakan untuk emolumen sementara RM122.66 juta dibelanjakan bagi sektor perkhidmatan dan bekalan.

"Perbelanjaan paling tinggi dibuat dalam sektor pemberian dan kenaan bayaran tetap iaitu RM159.49 juta, selebihnya RM80.36 juta membabitkan aset manakala RM15.38 juta adalah untuk lain perbelanjaan," katanya.

Ku Abd Rahman berkata, kerajaan negeri sememangnya mengamalkan perbelanjaan berhemah dengan jumlah defisit semasa hanyalah berjumlah RM30 juta berbanding anggaran dimasukkan dalam Bajet 2017 iaitu sebanyak RM75 juta.

"Saya yakin, dalam tempoh sebulan setengah ini menuju ke akhir tahun, tak mungkin kita akan berbelanja terlalu banyak sehingga menyebabkan defisit bertambah ke tahap itu," katanya menjawab soalan tambahan Mohd Azam mengenai trend perbelanjaan kerajaan negeri.

Menerus Kemajuan Menzahir Impian
#BajetKedah2018
#MuafakatKedah
Isu Air: Harap Bersabar, 2 Tahun Lagi Orang Kedah Akan Tersenyum Lega - EXCO Kedah

Isu Air: Harap Bersabar, 2 Tahun Lagi Orang Kedah Akan Tersenyum Lega - EXCO Kedah


ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah memerlukan masa kira-kira dua tahun untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang menghantui pengguna di seluruh negeri ini sejak lebih 30 tahun yang lalu.

Exco Kerajaan Negeri, Dato' Badrol Hisham Hashim berkata, peruntukan besar hampir RM1 bilion dari Bajet Kedah 2018 menjelaskan Kerajaan Negeri amat serius menamatkan masalah bekalan air yang sering menjadi rungutan ramai pihak.

"Dengan peruntukan hampir RM1 bilion yang kita peroleh ini, ianya adalah untuk menaik taraf loji-loji air di lima kawasan yang merangkumi semua daerah keseluruhannya.

"Kita cuma memerlukan masa jangkaan selama dua tahun untuk menaik taraf loji-loji berkenaan hingga selesai sepenuhnya. Maknanya, kita tender kontrak naik taraf tersebut pada awal tahun 2018, maka insyaAllah akan selesai semuanya pada tahun 2020.

"Selepas sempurna semua naik taraf loji-loji air ini, maka air terawat ini akan dapat memenuhi permintaan bekalan air di seluruh daerah di negeri kita, khususnya di kawasan-kawasan yang kita kenal pasti bermasalah," katanya ketika ditemubual Kedahnews.com di sini, hari ini.


Berhubung daerah Merbok yang sebelum ini dikenal pasti sebagai kritikal terjejas akibat masalah bekalan air ekoran hanya bergantung kepada sumber air bawah tanah, beliau menjelaskan bahawa kawasan itu menjadi tumpuan pihak Kerajaan Negeri.

Menurut Exco Kerajaan Negeri itu, masalah di kawasan itu dijangka akan selesai sepenuhnya selepas projek menaik taraf Loji Rawatan Air Jenun Baru siap sepenuhnya dan air terawat akan terus disalurkan kepada pengguna di daerah berkenaan.

"Kita beri perhatian khusus pada kawasan Merbok. Kita naik taraf Loji Rawatan Air Jenun Baru dan kita akan pasang paip yang disalurkan terus ke Merbok. InsyaAllah, selepas itu semuanya akan senyum. Buka pili, ada air bersih dan laju," katanya.


Badrol Hisham turut menzahirkan keyakinan beliau untuk Kerajaan Negeri menyelesaikan masalah air secara holistik sebelum meneruskan pelan pemulihan bekalan air di negeri ini dengan menggantikan paip-paip air lama di seluruh daerah.

"Secara keseluruhan, saya yakin kita akan dapat selesaikan masalah ini pada tahun 2020, setelah itu barulah kita akan memberi tumpuan kepada proses menggantikan paip-paip lama. Kita perlu lakukan semua ini langkah demi langkah.

"Kita tahu masalah bekalan air ini sudah berlaku sekian lama. Mungkin kerajaan-kerajaan negeri sebelum ini pernah merancang, namun gagal menyelesaikan masalah ini.

"Tapi kita sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kita komited selesaikan meskipun menerima pelbagai sindiran dan hinaan dari pihak tertentu.

"Hanya selepas komitmen dari Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang mengambil tanggungjawab mengemudi Kerajaan Negeri dan dengan sokongan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak, kita dapat cari peruntukan dan akan menyelesaikan masalah ini demi kepentingan rakyat kita," ujar beliau.


Exco Kerajaan Negeri itu turut menjelaskan bahawa dengan sempurnanya projek menaik taraf Loji Air Pokok Sena yang dilawati Perdana Menteri baru-baru ini, ia bakal menyelesaikan masalah bekalan air bagi pengguna di sekitar Pokok Sena, Pendang, Padang Terap dan Kota Setar.

"Baru-baru ini juga saya ada ke Kulim Hi-Tech Park dan dapat menyelesaikan sedikit masalah di sekitar kawasan di sana. Jadi saya optimis dapat menyelesaikan masalah air di negeri kita, cuma kita perlukan sedikit masa sahaja," katanya lagi.

Justeru itu, beliau berharap agar rakyat Kedah dapat memahami usaha Kerajaan Negeri itu dan bersabar dalam tempoh tersebut, apatah lagi Najib sendiri telah memberi jaminan untuk memberi fokus khusus untuk membantu menangani masalah bekalan air di negeri ini.

Badrol Hisham turut memahami perasaan marah dan kecewa rakyat Kedah yang terjejas mengalami gangguan bekalan air sehingga menghamburkan pelbagai caci maki serta carutan kesat kepada Kerajaan Negeri.

Namun sebagai Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab, pihaknya terpaksa menerima cercaan itu secara terbuka dan bersabar, serta terus bekerja keras berusaha menangani masalah tersebut bagi tempoh jangka pendek dan panjang.


"Jika kita perhatikan, kali ini Sidang Dun kita tidak lagi kecoh membicarakan tentang isu bekalan air. Sebelum ini, isu inilah mereka serang dulu. Saya yakin, Adun pembangkang pun dapat melihat kesungguhan kita dalam menyelesaikan masalah bekalan air ini.

"Kita tidak boleh lari tanggungjawab, kita kena terimalah. Saya minta maaf dan saya harap sangatlah agar rakyat yang terjejas dapat memahami bahawa usaha ini memerlukan masa dan perancangan yang teliti

"Yang penting, kita yakin dan akan pastikan rakyat Kedah bebas dari terus dibelenggu masalah bekalan air ini secara keseluruhan pada tahun 2020 nanti," ujar beliau dengan rasa rendah diri.

Adun Kuala Nerang itu turut menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri juga sudah mempunyai pelan jangkamasa panjang kira-kira 40 tahun akan datang ekoran pelbagai pembangunan infrastruktur dan prasarana yang dirancang pada masa hadapan.


"Untuk jangka panjang sebagai contoh Loji Air di Pelubang, kita naik taraf kapasitinya melebihi 100,000 mld adalah juga untuk pelan jangkamasa panjang.

"Maksudnya, kita bangunkan kawasan 'Special Special Border Economic Zone' di Bukit Kayu Hitam. Begitu juga dengan kawasan-kawasan lain yang dirangka perancangan dengan teliti untuk jangkamasa panjang, kira-kira 40 tahun yang akan datang," ujar beliau lagi.

Badrol Hisham ditemubual secara eksklusif oleh Kedahnews.com petang ini, berhubung masalah bekalan air di negeri ini sejurus selepas Sidang Dun Kedah yang berlangsung hari ini ditangguh esok pagi.
Perkasa Pendidikan Agama - EXCO Kedah

Perkasa Pendidikan Agama - EXCO Kedah



ALOR SETAR: Kedah berhasrat menjadikan Kompleks Pendidikan Pondok Moden, di sini, setanding dengan Pondok Moden Darussalam Gontor, Indonesia (PMDG) dalam melahirkan pelajar yang berkebolehan dalam bidang agama dan akademik.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan serta Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid, berkata pihaknya bersama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Jabatan Pendidikan negeri amat berpuas hati dalam lawatan kerja ke PMDG, pada 28 Oktober lalu, dalam mendapatkan perkongsian yang mampu memberi manfaat bersama.


Katanya, pihaknya mengagumi sistem diguna pakai PMDG, sejak 92 tahun lalu apabila ia dilihat antara sekolah pondok yang disegani dan kaedah pembelajaran menepati kehendak penduduk negeri ini.

"Ibu bapa di Kedah suka menghantar anak ke sekolah agama, dengan menggunapakai sistem itu sudah pasti, kita dapat melahirkan pelajar mampu berbahasa Arab tanpa perlu ke negara Arab dan berbahasa Inggeris tanpa perlu ke luar negara.

"Kita berpendapat sistem terbabit perlu dibawa dan diserap ke dalam sistem pendidikan agama di kompleks terbabit, malah ia dipersetujui Pengarah Pendidikan negeri.

"Sudah pasti apabila ia dilaksanakan, kompleks terbabit mampu memperkasakan sistem sedia ada dan melahirkan lebih ramai pelajar berwibawa.

"Malah pembiayaan membabitkan kompleks terbabit juga yang akan dibiayai sepenuhnya oleh LZNK," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mahadzir Abdul Hamid (BN - Jeneri) dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini hari ini.

Mahadzir ingin mengetahui mengenai penubuhan Kompleks Pendidikan Pondok Moden di bangunan lama Kolej Universiti Insaniah di Mergong, di sini, termasuk komponen dan kaedah pembiayaan sama ada ditanggung LZNK sepenuhnya atau perkongsian dengan kerajaan negeri.

Ketika menjawab soalan tambahan dibangkitkan Ahmad Yahya (PAS - Alor Mengkudu) mengenai syarat utama pendaftaran sekolah agama dan pondok di negeri ini, Mohd Rawi berkata, pihaknya merekodkan 18 pusat tahfiz persendirian masih belum berdaftar dan 14 daripadanya, sudah mengemukakan permohonan.

"Permohonan akan diproses dengan meletakkan syarat yang perlu dipatuhi ialah status jemaah sekolah, pendaftaran wakaf tanah, pengurusan sumber kewangan, memiliki minimum 20 pelajar dan kemudahan sekolah.

"Pegawai pendidikan juga melakukan lawatan ke atas empat sekolah yang belum memohon dan didapati ada perkara yang belum dipenuhi perlu dikemaskini sebelum tindakan lanjut boleh dilakukan," katanya.

Menerus Kemajuan Menzahir Impian
#BajetKedah2018
#MuafakatKedah