" GENDANG PERANG PRU14 DIPALU - STRATEGI KUKUHKAN PARTI BERTERASKAN MUAFAKAT "

" GENDANG PERANG PRU14 DIPALU - STRATEGI KUKUHKAN PARTI BERTERASKAN MUAFAKAT "



Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggariskan beberapa strategi kukuh yang perlu digerakkan jentera UMNO demi menjamin kemenangan parti pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Strategi itu terkandung dalam karya naib presiden UMNO itu yang kini menjalankan tugas-tugas timbalan presiden yang bertajuk ‘Gendang Perang PRU-Strategi Kukuhkan Parti’.

Buku setebal 101 muka surat itu yang dihasilkan bersandar pengalaman dan pengamatan peribadi Ahmad Zahid terhadap senario yang berlaku dalam UMNO, memaparkan 10 masalah utama yang membelenggu anggota dan parti serta langkah menanganinya.

Permasalahan itu disusun di bawah 10 tajuk utama iaitu Kuasa Rakyat, Serentak Sederap, Kesatuan Kelip-kelip, Politik Sate, Berkongsi Tanggungjawab, Turun Padang, Cah Keting, Hipster, Semangat Burung Helang dan Budaya Selesa.

Menurut Ahmad Zahid, apa yang dipaparkan bukan permasalahan luar biasa, tetapi perlu diselesaikan bagi menzahirkan perpaduan dalam kalangan anggota parti, seterusnya memastikan parti dalam keadaan sedia untuk berjuang dan memastikan kemenangan UMNO pada PRU14.

Di bawah tajuk Politik Sate, misalnya, Ahmad Zahid mengupas sikap negatif segelintir anggota parti UMNO mengamalkan ‘politik sate’ atau ‘politik tukang kipas’ hingga sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan kedudukan dalam parti.

Budaya politik sedemikian, tegas beliau bukan sahaja menyebabkan perpecahan dalam kalangan anggota parti malah mampu menyebabkan pemimpin yang benar-benar bekerja untuk parti dan rakyat, dianiaya sehingga gagal dalam proses pemilihan.

Bagi mengatasi koflik itu, beliau menggariskan sembilan langkah antaranya menggesa anggota parti mengikis amalan politik tukang kipas dan suka melaga-lagakan sesama anggota dan pemimpin.

Terdahulu, Ahmad Zahid merasmikan Laman Media bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 selama lima hari bermula semalam, yang menghimpunkan 1,193 petugas media daripada 48 agensi termasuk tiga agensi antarabangsa.-Bernama
Kemudahan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) Untuk Manfaat Masyarakat Luar Bandar - Noorsabrina

Kemudahan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) Untuk Manfaat Masyarakat Luar Bandar - Noorsabrina



KULIM - Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) perlu memainkan peranan bagi membantu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat melalui kemudahan disediakan di situ.

Exco Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, Datuk Noorsabrina Mohd Nor berkata, PI1M disaran membantu masyarakat setempat untuk mengembangkan ekonomi mereka dengan menggunakan kemudahan komputer dan internet yang disediakan.

“Kita harap PI1M dapat bantu masyarakat terutama di luar bandar untuk mempromosikan produk yang mereka hasilkan.

“Contohnya, kalau di Kampung Kemunting ini ada kuih 10 sen, boleh ambil video atau gambar dan muat naik di Facebook PI1M. Ini dapat bantu mempromosikan kuih mereka. Seluruh dunia boleh tahu,” katanya dalam ucapan perasmian PI1M Karangan, baru-baru ini.

Menurut Noorsabrina, masyarakat setempat juga perlu mengambil peluang disediakan kerajaan untuk rakyat.

“Sudah banyak pusat internet dibina di Kedah untuk kemudahan rakyat terutama di luar bandar. Kalau tak ambil peluang untuk belajar, rugilah.

“Bukan setakat boleh layari internet, malah pelbagai kemudahan turut disediakan termasuk mencetak dan membuat salinan. Kita percaya kakitangan di sini dapat bantu sesiapa sahaja yang mahu belajar,” katanya.

Tambah Noorsabrina, terbaharu, PI1M turut menyediakan kemudahan Myshop untuk usahawan mempromosikan produk mereka.

Selain itu katanya, PI1M turut membantu meningkatkan pendapatan masyarakat di negeri ini melalui e-usahawan dan e-rezeki.

“Sekarang kita ada Myshop, masyarakat setempat boleh ke sini untuk pelajari dan memuat naik produk mereka. Ini dapat membantu usahawan baru yang mahu meluaskan pasaran.

"Selain itu, lebih 658 daripada 1,300 orang berjaya menjana pendapatan melalui e-rezeki, manakala lebih 3,000 usahawan berjaya setelah mendapatkan ilmu menerusi aplikasi e-usahawan hingga memperoleh pendapatan mencecah RM1 juta. Justeru, kerjasama PI1M diperlukan bagi meningkatkan lagi penyertaan orang ramai,” katanya.-SinarHarian
#KONVENSYEN UMNO KEDAH 2016: 4 PERKARA TERAS UTAMA, PERKUAT UMNO KEDAH HADAPI PRU14.

#KONVENSYEN UMNO KEDAH 2016: 4 PERKARA TERAS UTAMA, PERKUAT UMNO KEDAH HADAPI PRU14.


SUNGAI PETANI - Seluruh kepimpinan dan akar umbi UMNO Negeri Kedah sebulat suara memberikan solidariti sokongan tidak berbelah bagi kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Mahadzir Khalid yang merumuskan hasil perbahasan para perwakilan dari keseluruhan 15 UMNO Bahagian mengumumkan ketetapan pertama yang diputuskan dalam Konvensyen UMNO Kedah, di sini, semalam.

"Hasil perbahasan hari ini, saya merumuskan lima perkara iaitu pertamanya, Muafakat Kedah memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO," kata beliau ketika memberi ucapan penutup konvensyen berkenaan, petang semalam.

Beliau menegaskan bahawa adalah menjadi tradisi parti keramat bangsa itu sejak ditubuhkan sebelum merdeka dahulu untuk memberi kesetiaan penuh kepada Presiden parti dan ia perlu dijelaskan bagi memastikan institusi UMNO terus teguh di negara ini.

Selain itu, Mahadzir turut mengumumkan bahawa setiap UMNO Bahagian di negeri ini perlu saling bantu-membantu memperkukuhkan bahagian masing-masing termasuk mensiap-siagakan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

"Keduanya, setiap daripada kita mesti membantu UMNO Bahagian masing-masing untuk memperkukuhkan jentera parti menjelang PRU," tegas beliau, bagaikan memalu gendang perang pilihan raya.

Ketiga, Mahadzir yang juga merupakan bekas Menteri Besar Kedah itu mengingatkan seluruh warga UMNO supaya mengenepikan pertelingkahan yang berlaku sebelum ini, sebaliknya mengelakkan diri dari terlibat dari sebarang perkara yang memecah-belahkan perpaduan parti.

"Keempat, UMNO Kedah akan terus bersama dan bekerjasama dengan rakan-rakan parti komponen di semua peringkat, sama ada negeri atau bahagian," kata beliau dalam ucapan tersebut.

Sementara itu, ketetapan kelima yang dirumuskan dalam Konvensyen UMNO Kedah itu adalah untuk memastikan setiap anggota parti mempunyai semangat dan disiplin yang tinggi untuk membentuk pasukan menghadapi PRU pada setiap masa bermula semalam.

Mahadzir dalam ucapan beliau turut memberi kata dua kepada seluruh pejuang UMNO di Kedah supaya menggunakan "module PRU 2013" untuk memenuhi matlamat memperoleh majoriti dua pertiga Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya mengambil iktibar dari "Module PRU 2008" yang memberikan sejarah pahit bagi parti tunjang itu sebelum ini.

UMNO Kedah semalam menganjurkan Konvensyen UMNO Negeri Kedah 2016 menyaksikan lebih 1,000 kepimpinan UMNO Bahagian, ketua-ketua sayap dan perwakilan dari 15 UMNO Bahagian di Kedah berkampung di sini dengan penuh semangat dan jatidiri parti.

Menuju matlamat mengekalkan kemenangan bergaya dan mensasarkan majoriti dua pertiga DUN Kedah pada PRU ke-14 nanti, percaturan UMNO dilihat sebagai paling stabil berbanding pepecahan dan kontroversi terkini yang terus menghantui di kalangan parti-parti pembangkang di negeri ini. 
Menteri Besar Kedah Ketepikan Protokol Semasa Membantu Mangsa Kemalangan

Menteri Besar Kedah Ketepikan Protokol Semasa Membantu Mangsa Kemalangan


ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengetepikan protokol untuk bergegas membantu dua beranak yang cedera selepas motosikal mereka kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat berdekatan Plaza Tol Alor Setar Utara, di sini, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu betul-betul di hadapan kereta dinaiki Ahmad Bashah ketika beliau dalam perjalanan menghadiriKonvensyen UMNO Kedah di Sungai Petani, yang dijadual bermula jam 9.30 pagi. Ahmad Bashah membantu dua beranak berkenaan yang terbaring, manakala pengiring beliau,


Sarjan Azizi Hussain menghubungi ambulans. Yang turut berada di lokasi ialah Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang kebetulan menggunakan laluan sama untuk ke Sungai Petani. Menurut polis, kedua-dua mangsa yang cedera ringan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan.



 



















LEBIH RAMAI CENDIAKAWAN DISARAN TULIS BUKU SEJARAH.

LEBIH RAMAI CENDIAKAWAN DISARAN TULIS BUKU SEJARAH.



ALOR SETAR: Lebih ramai cendekiawan disaran terbabit dalam penulisan buku genre sejarah terutama mengenai Kedah, berikutan negara kini ketandusan buku kategori itu lebih-lebih lagi yang diterbitkan penulis tempatan. 

Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim, bertitah sudah tiba masanya untuk penulis tempatan menghasilkan buku berhubung sejarah negara dengan sudut pandangan sendiri dan bukannya berpandukan penulisan dari kaca mata orang Barat. 

"Saya sarankan lebih ramai cendekiawan kita menulis buku sejarah mengenai Kedah dengan menggunakan dokumen surat Sultan Abdul Hamid sebagai rujukan utama mereka. 

"Usaha ini dapat menyebar luas ilmu terkandung di dalamnya dan dimanfaatkan untuk kesejahteraan bersama. 

"Secara tidak langsung, penerbitan buku, seminar dan pameran ini juga menyokong kepada usaha melahirkan masyarakat yang cintakan ilmu pengetahuan," titah baginda pada Majlis Pelancaran Buku, Seminar dan Pameran Berkaitan Surat Almarhum Sultan Abdul Hamid di sini,. 

Pada majlis itu, Tunku Puteri Intan Safinaz yang juga Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, berkenan melancarkan dua buku iaitu 'Surat-Menyurat Sultan Abdul Hamid; Warkah Agung Warisan Dunia' hasil tulisan Allahyarhamah Dr Badriyah Salleh dan 'Surat-surat Sultan Abdul Hamid 1881 hingga 1895, Gambaran Penggunaan Bahasa dan Masyarakat Kedah Akhir Abad ke-19' hasil tulisan Prof Datuk Dr Asmah Omar. 

Pada masa sama, baginda bertitah penerbitan buku itu disifatkan tepat pada masanya, malah usaha Arkib Negara Malaysia dalam mengumpul, memelihara dan menyimpan khazanah warisan sejarah negara perlu mendapat sokongan semua pihak. 

"Pihak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) melalui Program Memory of the World mengiktiraf surat Sultan Abdul Hamid sebagai Warisan Agung Dunia yang disenarai dalam 'Memory of the World Register' pada 4 September 2001. 

"Bagi negara kita, rekod ini adalah satu-satunya rekod bertulis kerajaan yang lengkap mendapat pengiktirafan itu. Ia antara lain menyentuh mengenai surat kiriman Sultan Abdul Hamid dan pembesar negeri, surat perjanjian pajakan hasil negeri dan penyata kewangan Kedah. 

"Banyak pengajaran yang boleh diambil daripada dokumen ini untuk dijadikan rujukan kerana ia mempunyai fakta yang cukup kaya untuk menjawab sebahagian soalan mengenai sejarah politik, ekonomi mahupun sosial bagi mengabadikan keindahan budaya Melayu," titah baginda.
12 Sekolah Di Kedah Terima Bantuan Peralatan Sukan Melalui Inisiatif MILO.

12 Sekolah Di Kedah Terima Bantuan Peralatan Sukan Melalui Inisiatif MILO.


ALOR SETAR: Sejumlah 12 Sekolah Kebangsaan (SK) di Kedah terpilih menerima bantuan dalam program Majlis Penyampaian Peralatan Sukan melalui inisiatif MILO 'Sokong Demi Sukan'. 

Semua 12 sekolah itu adalah antara 184 sekolah dari seluruh negara yang dipilih menerusi program berkenaan untuk menerima sumbangan peralatan sukan membabitkan nilai keseluruhan RM1.5 juta. 

Selain tiga sekolah di sini iaitu SK Taman Uda, SK Taman Rakyat dan SK Bukit Pinang, baki sekolah lain ialah di Kulim iaitu SK Ulu Tawar dan SK Taman Kenari, SK Jeneri di Sik, SK Sungai Pasir di Sungai Petani, SK Jitra di Jitra, SK Kelibang di Langkawi, SK Perik di Kuala Nerang, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mah Wah di Gurun dan SK Paya Mak Insun di Pendang. 

Ketua Sektor Pengurus, Pembangunan Manusia, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Mohamed Rafed Ismail, berkata sumbangan terbabit adalah langkah terbaik dalam membantu usaha melahirkan dan mengembangkan bakat muda yang mampu bergelar juara dalam bidang sukan. 

"Sokongan bantuan peralatan sukan kepada sekolah ini secara langsung dapat membantu meningkatkan usaha dalam melahirkan lebih ramai bakat dari akar umbi, khususnya dari Kedah untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi untuk negeri dan negara. 

"Pemilihan penerimaan bantuan kepada 12 sekolah di Kedah ini dilakukan berdasarkan sekolah yang mempunyai kemudahan asas, seperti jurulatih serta pihak pengurusan yang berminat serta memerlukan bantuan. Saya berharap sumbangan ini dapat memajukan lagi dan seterusnya melahirkan bakat yang diharapkan," katanya. 

Sementara itu, Penolong Pengurus Pemasaran Sukan MILO Malaysia, Kerwin Lim berkata, pihaknya bersedia mengagihkan sumbangan peralatan sukan kepada semua negeri membabitkan 12 set peralatan sukan untuk badminton, bola sepak bola keranjang, olahraga dan bola jaring. 

"Sebagai contoh untuk sukan bola sepak, kita beri dua set tiang gol, 12 biji bola, pam bola, bip dan kon untuk kegunaan pada sesi latihan, di mana dengan kelengkapan diberikan ini membolehkan mereka melengkapkan latihan secara lebih berkesan. 

"Dengan program dan kerjasama Kementerian Pendidikan serta JPN Kedah seperti hari ini, kami berharap lebih ramai pelajar terutama di Kedah mampu mengambil bahagian dalam acara sukan diminati dan usaha membangunkan sukan dari akar umbi sebegini, diharap mampu melahirkan lebih ramai juara di masa depan," katanya.-bh
KAPASITI TRAFIK INTERNET DI LANGKAWI AKAN DIPERTINGKATKAN - DATO' NORSABRINA

KAPASITI TRAFIK INTERNET DI LANGKAWI AKAN DIPERTINGKATKAN - DATO' NORSABRINA


ALOR SETAR : Kerajaan negeri Kedah akan terus memberi tumpuan kepada usaha menaik taraf fasiliti komunikasi dan jalur lebar di Langkawi bagi memperkasa hasrat menjadikan destinasi pelancongan itu sebagai sebuah pulau digital.

Pengerusi Jawatankuasa Sains,Inovasi dan Teknologi Maklumat,Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia Kedah, YB Dato' Norsabrina Mohd Nor, berkata usaha itu meliputi penyediaan infrastruktur menyeluruh untuk menyokong keupayaan kapasiti trafik di Langkawi.

Menjawab soalan lisan Nor Saidi Nanyan (BN-Kuah), Beliau berkata,sejak komitmen Projek Digital Langkawi digerakkan pada 2013,pelbagai fasiliti disediakan,termasuk penyediaan 10 menara telekomunikasi baharu di Langkawi.

"Sebanyak RM124 juta diperuntukkan bagi tujuan itu,antaranya penyediaan kabel dasar laut berkelajuan tinggi yang dinaik taraf daripada 40 gigabit sesaat (Gbps) kepada 90 gigabit sesaat (Gbps) serta pemasangan 152 kilometer (km) kabel gentian oleh penyediaan perkhidmatan,Celcom untuk meningkatkan kelajuan dan liputan".

Penyediaan Infrastruktur -"Berikutan usaha ini, kapasiti trafik internet di pulau pelancongan itu kini mampu mencapai 2.1 terabit," katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke13, disini semalam.

Menjawab soalan tambahan Nor Saidi berhubung realiti Projek Digital Langkawi, Norsabrina berkata, kelebihan penyediaan infrasruktur terbabit dizahirkan berdasarkan peningkatan penduduk Langkawi melalui pemerkasaan e-keusahawanan dan e-rezeki.

"Data ini cukup penting dan ia turut disokong pertambahan langganan kepada pakej internet kompetitif daripada pihak telco kepada penduduk Langkawi.

"Berdasarkan kajian, penggunaan internet di Langkawi paling tinggi direkodkan di Kuah yang mana kami percaya ia ada kaitan dengan demografi pekerjaan di kawasan itu yang dipenuhi sektor swasta dan usahawan, manakala paling rendah di Ayer Hangat," katanya.

Mengenai status Langkawi sebagai pulau bebas karbon pula, Norsabrina berkata, pihaknya bersama Kementerian Tenaga,Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) sedang menjalankan satu kajian dengan menjadikan Pulau Jeju di Korea Selatan sebagai tanda arus perbandingan.

"KeTTHA juga sudah adakan bengkel khusus untuk tujuan itu dengan pembabitan semua pemegang taruh yang meliputi pelbagai agensi kerajaan negeri untuk memastikan hasrat itu tercapai" katanya.


Jual Saham Bukan Tanda Kerajaan Negeri Hadapi Masalah Kewangan -  Datuk Dr Ku Abdul Rahman

Jual Saham Bukan Tanda Kerajaan Negeri Hadapi Masalah Kewangan - Datuk Dr Ku Abdul Rahman



ALOR SETAR - Keputusan kerajaan negeri menjual sahamnya tahun lepas sebanyak 10 peratus yang berjumlah kira-kira RM10 juta bukan disebabkan masalah kewangan dihadapi kerajaan negeri.

Sebaliknya, Exco Pelaburan Kedah Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata tindakan itu dilakukan dengan menjual saham pada harga tinggi dan hasilnya akan digunakan untuk membeli saham lain yang berkredibiliti pada harga yang lebih rendah.

Saham itu membabitkan saham Petronas Dagangan Berhad dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), katanya kepada pemberita selepas sesi soal jawab pada Sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

“Jumlah saham Petronas Dagangan yang dijual ialah 200,000 unit dengan keuntungan RM6.116 juta manakala 359,500 unit saham MAHB dijual dengan keuntungan RM3.198 juta. Kesemua wang jualan masih disimpan,” katanya.

Terdahulu beliau menjawab soalan Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul (PAS-Tokai) yang mahu tahu senarai unit saham yang masih dipegang kerajaan negeri dan nilai sewaktu ia dibeli serta nilai semasa.

Menurut Ku Rahman, saham Petronas Dagangan Berhad itu berjumlah 1.8 juta unit dengan nilai pasaran RM41.94 juta, MAHB pula sebanyak 3.74 juta unit bernilai RM24.35 juta dan Amanah Saham Kedah Berhad sebanyak 16.94 juta unit dengan nilai RM4.184 juta.

Beliau berkata bagi tempoh tiga tahun iaitu bermula 2014, saham Petronas Dagangan telah membawa keuntungan dividen sebanyak RM2.16 juta manakala saham Malaysia Airports Holding Berhad sebanyak RM1.05 juta.
#STADIUM DARUL AMAN NAIK TARAF

#STADIUM DARUL AMAN NAIK TARAF



Sebanyak RM12.42 juta telah diperuntukkan bagi menyediakan kemudahan dan prasarana sukan termasuk kerja-kerja menaik taraf Stadium Darul Aman.
Selain itu, peruntukan yang sama melalui Bajet Negeri Kedah 2017 turut disalurkan bagi naik taraf Pusat Akuatik Gunung Keriang dan Kompleks Sukan Hijau Kuning.


Kedah memenangi Piala Malaysia musim ini dengan mengalahkan pasukan Selangor di Shah Alam baru-baru ini dan ia memberi momentum positif kepada sukan bola sepak di negeri itu.
Menteri Besar Kedah, YAB. Dato' Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, secara keseluruhannya anggaran peruntukkan pembangunan bagi sektor pentadbiran, sukan dan lain-lain dikhususkan sebanyak RM87.69juta atau mewakili 34.20 peratus dari keseluruhan belanja pembangunan.
Selain itu, Kedah juga akan menghidupkan semula sukan mini olimpik iaitu Sukan Kedah Darul Aman (SUKDA).
"Kira-kira 14 tahun yang lalu, Kedah terkenal dengan sukan mini olimpik peringkat negeri iaitu SUKDA.
"(Ia) platform yang membekalkan atlet kepada skuad Sukan Malaysia (SUKMA)," ujarnya semasa membentangkan bajet negeri tahun 2017 di sini hari ini.
Menurut Ahmad Bashah, melalui SUKDA, lapan jenis sukan dipertandingkan di empat buah daerah dan pada tahun hadapan acara trek dan balapan turut dipertandingkan.
#BAJETKEDAH2017 : MUAFAKAT MEMACU EKONOMI MENGGILAP POTENSI NEGERI KEDAH

#BAJETKEDAH2017 : MUAFAKAT MEMACU EKONOMI MENGGILAP POTENSI NEGERI KEDAH






ALOR SETAR: Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, hari ini membentangkan Bajet Kedah 2017, kali pertama sebagai Menteri Besar, membabitkan peruntukan keseluruhan RM1.06 bilion. Bajet bertemakan Muafakat Memacu Ekonomi Menggilap Potensi Negeri itu merekodkan pengurangan defisit 4.63 peratus iaitu daripada 14.9 peratus pada tahun lalu kepada 10.27 peratus tahun ini. Ahmad Bashah berkata, pengurangan defisit tinggi itu membuktikan kerajaan negeri berhemah, bertanggungjawab dan menekankan soal perolehan hasil yang cekap

Beliau berkata, empat strategi utama menjadi paksi kepada Bajet Kedah 2017 iaitu Meningkatkan Perolehan dan Perbelanjaan Hasil Secara Cekap dan Berhemah, Menambah Nilai Selain Meneroka Potensi Ekonomi Baharu, Mencergaskan Aktiviti Ekonomi Rakyat dan Menangani Isu Kebajikan Rakyat Berbilang Kaum Melalui Langkah Betul.

"Untuk Bajet 2017 sejumlah RM810,232,362 diperuntukkan khusus untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM256,436,825 lagi untuk perbelanjaan pembangunan.

"Bajet dilancarkan ini memancarkan sinergi baharu dalam pemetaan pembangunan ekonomi negeri untuk memastikan Kedah dapat duduk sama rendah dan berdiri setara dengan negeri lain," katanya.

Sementara itu, beliau turut menghargai peranan Kerajaan Persekutuan yang mempertimbangkan pinjaman bagi baki pembayaran tertangguh projek pembangunan kampus induk Kolej Universiti Insaniah (KUIN) berjumlah RM266 juta, dengan tempoh bayaran balik selama 20 tahun. 

"Menerusi kaedah ini tanggungan kerajaan negeri bagi bayaran pinjaman KUIN dapat diturunkan dari RM44.5 juta setahun kepada RM19.6 juta. Ini memberi kelebihan kepada negeri untuk terus merancang program pembangunan pada masa hadapan," katanya.

#BajetKedah2017
#KedahCentric

Klik YouTube BH :


Klik YouTube MBO.com






#BAJETKEDAH2017 BERJAYA KURANGKAN DEFESIT

#BAJETKEDAH2017 BERJAYA KURANGKAN DEFESIT


Bajet kerajaan negeri Kedah 2017 berjaya mengurangkan defisit sebanyak 4.63 peratus berbanding bajet yang sama tahun lepas.
"Ini berbeza dengan Bajet 2016 yang mencatatkan defisit sebanyak 14.9 peratus dengan jumlah RM107.8 juta. Bermakna untuk Bajet 2017, defisit telah berjaya dikurangkan sebanyak 4.63 peratus," kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata itu berkata demikian semasa membentangkan Bajet 2017 bertemakan Muafakat Memacu Ekonomi Menggilap Potensi Negeri di Dewan Undangan Negeri Kedah di sini hari ini.
Bajet Kedah pada tahun ini menjadi tumpuan ramai ekoran pertama kali Ahmad Bashah membentangkannya selepas mengambil tampuk pemerintahan negeri daripada Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang kini menjadi wakil rakyat pembangkang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang baharu ditubuhkan.
Menurut Ahmad Bashah, Bajet 2017 berjumlah RM1.06 bilion dengan defisit RM75.5 juta berbanding anggaran kutipan hasil sebanyak RM734.7 juta. Menurutnya, kerajaan negeri memperuntukan RM810.1 juta sebagai perbelanjaan mengurus dan RM256.4 juta perbelanjaan pembangunan.
Menteri Besar Kedah itu juga mengumumkan berita baik iaitu bayaran khas sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam negeri dan ia akan dibuat pada akhir tahun ini melibatkan 6,090 kakitangan kerajaan dengan kos RM3.045 juta.
"Bagi menjadikan perbelanjaan pembangunan 2017 memenuhi sasaran terutama mengisi keperluan sebenar masyarakat B-40, maka sasaran perbelanjaan dijangka dapat dicapai sekurang-kurangnya 90 peratus daripada keseluruhan anggaran untuk 2017," katanya.
Bajet itu, katanya berpaksikan empat strategi utama iaitu meningkatkan perolehan dan perbelanjaan hasil secara cekap dan berhemah, menambah nilai selain meneroka potensi ekonomi baharu, mencergaskan aktiviti ekonomi rakyat dan menangani isu kebajikan rakyat berbilang kaum melalui langkah yang betul.
Bagi menyempurnakan keperluan negeri, Bajet 2017 dilaksana berdasarkan dua indikator, katanya.
Pertama, kemampuan kewangan semasa negeri dan keduanya, penumpuan terhadap keperluan sebenar rakyat.
"Untuk tahun 2017, kerajaan Negeri menganggarkan kutipan hasil sebanyak RM 734,726,857. Dari jumlah ini, hasil cukai masih menjadi penyumbang terbesar dengan anggaran kutipan sebanyak RM 472,872,407 atau mewakili 64.36%.
"Di samping itu, terimaan Bukan Hasil dijangka menyumbang sebanyak RM 188,938,220 atau 25.72 peratus manakala kutipan sebanyak RM72,916,230 atau 9.92 peratus adalah dianggarkan dari Hasil Bukan Cukai.
Menurut Menteri Besar, penyediaan anggaran kutipan hasil negeri untuk tahun 2017 menunjukkan peningkatan secara keseluruhan sebanyak 1.82 peratus berbanding tahun 2016.
"Ini dibuat dengan mengambil kira prestasi kutipan semasa dan tahun-tahun sebelumnya. Ditambah dengan prinsip realistik dan rasional," ujar Ahmad Bashah.
Menurutnya, sasaran itu mampu dicapai dengan daya usaha, produktiviti dan kesungguhan jabatan negeri dalam menguatkuasakan undang-undang.
"Selain kecekapan pengurusan kutipan hasil supaya tidak berlaku ketirisan yang nyata. Setakat ini, prestasi hasil negeri menunjukkan peningkatan yang ketara sebanyak 9.07 peratus atau perbezaan sebanyak RM37 juta berbanding tahun lepas.
"Sasaran kutipan hasil sehingga 70 peratus menjelang akhir tahun ini mampu dicapai dari jumlah anggaran Bajet tahun lalu," katanya lagi.
Menurutnya, peningkatan perolehan hasil adalah kesan dari penguatkuasaan dan semakan hasil tanah dan kutipan premium tanah.
Berkat usaha semua pihak, perolehan hasil sehingga akhir tahun 2016 dan unjuran untuk tahun 2017 dapat mencapai sasaran yang ditetapkan, katanya.
Beberapa segmen perolehan hasil negeri perlu disemak bagi mengelakkan ketirisan hasil yang berterusan. Untuk itu, semakan ke atas Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1997 diteruskan. Pada masa yang sama, Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menguatkuasakan Akta Duti Hiburan 1953 juga ditambahbaik.
"Berasaskan anggaran semasa, jika kesemua SOP diikuti dan semakan semula dilakukan ke atas kadar cukai hiburan dan lesen hiburan, Kerajaan Negeri optimis hasilnya dijangka melebihi anggaran yang dibajetkan pada tahun 2017.
"Lantas, kesemua Pejabat Daerah perlu meneliti aturan penguatkuasaan, cukai semasa serta kaedah kutipan ke atas semua pusat-pusat hiburan yang beroperasi. Langkah ini penting untuk mengelakkan wujudnya penipuan dan ketirisan dalam kutipan hasil yang sepatutnya," katanya.
Bajet 2017 memperuntukkan sebanyak RM 810,232,362 untuk perbelanjaan mengurus dan mencadangkan daripada jumlah itu, sebanyak RM 177,936,795 diperuntukkan sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan bertujuan menampung defisit pembangunan.
Selain melengkapi usaha kerajaan melaksanakan pelbagai projek pembangunan yang sudah dirangka, jumlah ini adalah berdasarkan kemampuan semasa kewangan kerajaan negeri.
DAKWAAN MAHATHIR TIDAK RELEVAN DAN BERASAS - MB KEDAH

DAKWAAN MAHATHIR TIDAK RELEVAN DAN BERASAS - MB KEDAH


Menteri Besar Kedah tidak bersetuju dengan pandangan Tun Dr. Mahathir yang mendakwa kemenangan Barisan Nasional (BN) bergantung kepada perpecahan pembangkang.
Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, walaupun perpecahan pembangkang memberi kelebihan kepada BN namun kemenangan juga mengambilkira kerjasama dalam parti.
"Siapa pun kalau berpecah, BN kalau berpecah orang lain menang tapi kita bekerja..mesti ada teamwork, jadi dia (Tun M) kata lemah saya tidak setuju," ujarnya pada sidang media selepas membentangkan Bajet Negeri Kedah 2017 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Tun M semasa Konvesnyen Pakatan Harapan di Shah Alam semalam yang kemenangan calon BN termasuk dirinya semasa dalam UMNO banyak berpunca daripada perpecahan pembangkang.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu berkata, sekiranya pembangkang bersatu, BN akan kalah.
Ahmad Bashah yang juga Ahli Dewan Undangan Bakar Bata seterusnya memberitahu, sekiranya BN tidak kuat, ia tidak akan menang di banyak negeri dalam pilihan raya umum lalu.
"Sokongan dapat dilihat pada jumlah kerusi negeri dan parlimen, memang ada perubahan sokongan tapi keseluruhan rakyat masih yakin dengan BN," katanya lagi.
Seperti Kedah, katanya, pada Pilihanraya Umum (PRU) Ke-12, BN kalah namun merampasnya semula pada PRU-13 kerana rakyat dapat membezakan pemerintahan pembangkang dan BN.
"Ketika itu rakyat ada hakisan keyakinan dan dia bagi kepada BN. Akan datang rakyat menilai. Apa yang penting jentera parti terus berjuang dan meneruskan tradisi dan (sokongan) BN dapat dipertingkatkan (pada PRU-14," katanya.
Mengenai kehadiran parti politik baru seperti PPBM, ia perkara biasa dalam sistem demokrasi dan yakin rakyat akan membuat keputusan bijak.- MalaysiaGazzete
#BARAKAH ANAK MUDA : MAJLIS WALIMATULURUS PERDANA PERINGKAT NEGERI KEDAH 2016

#BARAKAH ANAK MUDA : MAJLIS WALIMATULURUS PERDANA PERINGKAT NEGERI KEDAH 2016


 



ALOR SETAR: Seramai 86 pasangan dari sembilan daerah di negeri ini sah menjadi suami isteri dalam satu majlis akad nikah sempena Majlis Walimatulurus Perdana Peringkat Negeri Kedah, hari ini. 

Majlis diadakan di Dewan Seri Mentaloon, di sini, membabitkan 80 pasangan Islam serta enam pasangan bukan Islam yang turut didaftarkan perkahwinan mereka. 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim, berkata seramai 59 jurunikah termasuk lima daripadanya Pegawai Agama Daerah menyempurnakan majlis itu. 

Katanya, program itu julung kali diadakan dengan tajaan bersama kerajaan negeri dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) termasuk pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 

"Majlis akad nikah hari ini dihadiri ahli keluarga terdekat dengan sesi nikah diadakan secara tiga peringkat iaitu sesi pertama dan kedua masing-masing seramai 30 pasangan dan sesi ketiga seramai 20 pasangan yang bermula jam 10 pagi hingga 1 petang ini.

"Program dianjurkan bagi mengelak berlakunya pergaulan bebas dalam kalangan anak muda, perkahwinan sempadan serta membantu mengurangkan beban kewangan setiap pasangan," katanya. 


Badrol Hisham yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata pasangan terbabit hanya perlu membayar RM500 sebagai yuran komitmen bagi menyertai program itu. 

Katanya selain majlis akad nikah, kerajaan negeri turut menaja majlis persandingan yang akan diadakan pada sebelah malam di Dewan Wawasan di Jitra yang dijangka dihadiri kira-kira 5,000 ahli keluarga pasangan terbabit.




  MAJLIS RESEPSI SEBELAH MALAM DI DEWAN WAWASAN, JITRA



JITRA: Sebanyak 83 pasangan pengantin malam tadi diraikan dalam Majlis Resepsi Walimatulurus Perdana Peringkat Negeri Kedah yang julung kali diadakan di negeri ini. Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata majlis itu merupakan kesinambungan inisiatif Program Barakah Anak Muda iaitu kursus praperkahwinan secara percuma yang diadakan di seluruh negeri. 


"Kursus ini adalah sebahagian daripada aku janji dan dianjurkan kerajaan negeri bersama Jabatan Agama Islam Negeri dan inisiatif ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban anak-anak muda. "Kerajaan negeri amat prihatin atas permasalahan anak-anak muda dalam soal perkahwinan," katanya ketika berucap pada majlis yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim. 

Sementara itu, Rohani berkata majlis itu diadakan bertepatan dengan aspirasi kerajaan dalam memastikan pengukuhan keluarga melalui institusi perkahwinan selain bulan November juga merupakan Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia. 

"Institusi keluarga adalah komponen sosial yang amat penting dalam masyarakat Malaysia. Ia adalah asas kepada pembangunan insan yang bahagia ke arah membina sebuah negara yang maju, bermaruah dan dihormati," katanya. 

Apa yang menarik, daripada 83 pasangan pengantin itu, dua daripada mereka adalah berbangsa India dan satu pasangan berbangsa Siam. Bagi Tiew Saw Shian Hai, 41, dan isterinya Mani Chai, 33, kedua-duanya berbangsa Siam, mereka merasakan sangat beruntung dapat menyertai majlis yang sangat besar ertinya kepada mereka. 

Katanya, mereka mendapat tahu mengenai program itu daripada rakan dan memohon untuk menyertai majlis berkenaan setelah mencapai kata putus untuk berumah tangga. "Hanya RM500 kami dapat menyertai majlis yang sangat gemilang ini," kata Mani seorang suri rumah dan suaminya yang juga seorang buruh. 

Thanakumar Subbiah, 40, dan isterinya Navavebhiam Linggam, 33, mengharapkan majlis berkenaan dapat diadakan beberapa kali setahun kerana selain dapat membantu meringankan beban kewangan golongan muda, ia juga dapat memupuk perpaduan kaum. "Saya gembira atas keprihatinan kerajaan dan kami dapat abadikan dalam majlis perkahwinan untuk seumur hidup," katanya






#SIARAN LANSUNG PEMBENTANGAN BAJET KEDAH 2017

#SIARAN LANSUNG PEMBENTANGAN BAJET KEDAH 2017






Assalamualaikum dan Salam Muafakat Kedah.#BajetKedah2017 nanti pihak MBO.comm Official akan memancarkan secara langsung di Page Ahmad Bashah Md Hanipah, Page Muafakat Kedah, Page MBO Kedah, Youtube MBO CHANNEL MUAFAKAT KEDAH dan penyiar radio rasmi dari Radio Kedah FM.
Jangan ketinggalan dan selamat menonton pembentangan #BajetKedah2017 yang julung kalinya dipancarkan secara langsung tiada suntingan yang akan dibentangkan oleh Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada 13/11/2016 jam 9 pagi.
Direct dari Blog ini juga boleh di Tonton secara 'LIVE"
Sila hebahkan kepada seluruh rakyat Kedah.Terima Kasih.

PERLAKSANAAN SISTEM CAJ (RC) DI BUKIT KAYU HITAM PERLU DISEGERAKAN - MB KEDAH

PERLAKSANAAN SISTEM CAJ (RC) DI BUKIT KAYU HITAM PERLU DISEGERAKAN - MB KEDAH


SUNGAI PETANI: Kerajaan Persekutuan digesa mempercepatkan pelaksanaan sistem caj jalan raya (RC) ke atas semua kenderaan persendirian asing yang memasuki Malaysia menerusi sempadan Thailand. 
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata gesaan terbabit berdasarkan terlalu banyak kenderaan yang keluar masuk di Bukit Kayu Hitam. 

"Kita dah berhasrat lama apabila banyak kenderaan yang masuk dan dari pelaksanaan RC, sekurang-kurangnya Kedah memperoleh sedikit sumber kewangan untuk dimanfaatkan dalam pembangunan negeri. 

"Sekiranya, Kerajaan Persekutuan mahu melaksanakannya, kita alu-alukan dan bersedia membantu jika dipinta. Lebih bagus, ia dilaksanakan awal atau pertengahan tahun depan berbanding cadangan asal akhir tahun depan," katanya selepas merasmikan projek Bukit Banyan Hillpark, di sini, sebentar tadi. 

Semalam, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi mengumumkan akan memperluaskan pelaksanaan RC di sempadan Malaysia-Thailand selewat-lewatnya akhir tahun depan. 

Kadar yang akan dikenakan bagi sempadan Malaysia-Thailand adalah RM20 iaitu sama seperti di Johor dan kerajaan negeri akan menerima 25 peratus atau RM5 daripada caj berkenaan.
#KUIN Mengorak Langkah Menjadi Universiti Pengajian Insaniah 2017

#KUIN Mengorak Langkah Menjadi Universiti Pengajian Insaniah 2017


ALOR SETAR - Kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah menyatakan komitmen penuh dan memohon untuk menaiktaraf Kolej Universiti Insaniah (KUIN) sebagai sebuah universiti penuh bermula tahun depan, 2017.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, Sultan Kedah, Tuanku Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah sudah memberi perkenan dan mandat baginda untuk menaiktaraf KUIN yang merupakan sebuah universiti milik penuh kerajaan negeri itu.

"Komitmen ini adalah selari dengan iltizam kerajaan negeri untuk melihat Islam dan tradisi keilmuan dimartabatkan di negeri ini.

"Ia adalah sejajar dengan hasrat dan titah Sultan Kedah pada konvokesyen KUIN ke-18 Sept lalu," jelas Ahmad Bashah yang melancarkan misi menaiktaraf universiti berkenaan dan memperkenal hashtag #UniversitiPenuh2017 untuk tujuan tersebut.

Mengulas lanjut, Menteri Besar itu turut menjelaskan bahawa KUIN sudah memenuhi semua syarat dan keperluan yang ditetapkan untuk dijadikan universiti penuh termasuk melibatkan modal berbayar, jumlah tenaga pengajar, jumlah pelajar dan sebagainya.

"KUIN sudah pun memenuhi kriteria yang ditetapkan seperti jumlah tenaga pengajar, jumlah pelajar luar negara dan modal berbayar," kata beliau dalam satu sidang akhbar yang diadakan selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah di Wisma Darul Aman, petang semalam.

Ahmad Bashah dalam kenyataannya turut berharap agar misi Kerajaan Negeri itu disokong penuh rakyat Kedah demi memastikan kesinambungan penghasilan tokoh-tokoh ilmuan yang bakal menabur bakti di negeri Jelapang Padi itu.

Cetusan idea menubuhkan KUIN bermula pada 1993 oleh bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Allahyarham Datuk Ahmad Basri Mohd Akil dan Pengurus Besar Yayasan Islam Negeri (YIK), Sukri Hashim, yang kemudian dilulus serta direalisasikan oleh bekas Menteri Besar, Tan Sri Osman Arof.

KUIN yang kemudiannya ditubuhkan pada 15 Mei 2006 bertempat di kampus sementara di Mergong, Alor Setar sebelum bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak mengambil inisiatif membina kampus tetapnya di Kuala Ketil.

Walau bagaimanapun, selepas Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mengambil alih jawatan Menteri Besar, KUIN hampir diswastakan kepada beberapa pihak yang berminat termasuk Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Aimst dan Universiti Antarabangsa Al-Bukhary (AiU).

"Rundingan masih berjalan. Penjualan ini didakwa ada kaitan dengan beban kewangan negeri berhubung pinjaman RM330 juta dengan Bank Islam bagi menampung kos pembinaan kampus induk Insaniah di Kuala Ketil," kata sumber berkenaan, memetik laporan Sinar Harian pada 2013.

Namun begitu, pada konvokesyen ke-16 KUIN, Mukhriz memberi jaminan untuk untuk terus memberi komitmen yang tinggi dan perhatian serius dalam memperkasakan kolej universiti itu dengan memperuntukkan sebanyak RM66 juta bagi perbelanjaan pembangunan dan pengurusan.

Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang juga merupakan Canselor KUIN dalam titah baginda pada konvokesyen ke-18 baru-baru ini melahirkan harapan baginda untuk menaiktaraf kolej universiti itu kepada universiti penuh.

Titah baginda disambut baik oleh Ahmad Bashah yang menyatakan komitmen beliau untuk menjadikan KUIN bertaraf universiti penuh pada 2017 ini. 

#UniversitiPenuh2017