Program Ikrar Bebas Rasuah Bersama Ajensi Kerajaan Dan GLC

Program Ikrar Bebas Rasuah Bersama Ajensi Kerajaan Dan GLC


Program Ikrar Bebas Rasuah bersama Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan serta GLC Negeri dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertempat di Dewan MPSP Sungai Petani.


Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad (kanan) menerima dokumen ikrar daripada Timbalan Setiausaha (Pengurusan) Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Zahari Ismail (dua, kiri) sambil disaksikan oleh YAB Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Diraja Ahmad Bashah Md Hanipah pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah Agensi Awam dan Pihak Berkuasa Tempatan hari ini.

Kedah menjadi negeri yang pertama menganjurkan program tersebut. Di Majlis tersebut, YAB MB Kedah, Dato' Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah,Menteri Besar pertama menjadi sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH).

MB Kedah menyeru dan mewajibkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri seramai 7 ribu lebih menjadi sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH).



"Penyertaan ini adalah untuk membuktikan sokongan serta komitmen yang padu dari kepimpinan dan seluruh warga kerja negeri ini akan sentiasa bersama pihak SPRM bagi terus berjuang melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

"Saya tidak akan berkompromi sekiranya ada dalam kalangan pegawai-pegawai negeri ini yang terlibat rasuah dan salah guna kuasa,"katanya, dalam ucapannya pada Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Perdana Bersama Agensi Awam dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), di Dewan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), di sini, hari ini.

Pada majlis itu, lebih 1,500 penjawat awam dan PBT melafaz dan menandatangai IBR di hadapan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Turut bersama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pengurusan), Datuk Zahari Ismail dan Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad.

Beliau turut menyeru semua pegawai kerajaan, ahli-ahli majlis kerajaan tempatan dan agensi-agensi yang terlibat pada majlis itu untuk bersama-sama membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa.

"Semoga kita semua dapat berkhidmat dengan lebih cemerlang dalam menyampaikan khidmat bakti kepada masyarakat tanpa terlibat dengan sebarang perbuatan tidak berintegriti dan rasuah," katanya.




















Majlis IBR diadakan sempena Sambutan Jubli Emas Ulangtahun ke-50 SPRM dan Kembara Jelajah Anti Rasuah 2017 (Kejar '17) peringkat negeri.

Selain itu, turut diadakan 'Integrity Fun Ride', pertandingan melukis Mural bertemakan Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah yang akan disertai oleh pelajar dan ahli Sekretariat Pencegahan Rasuah dari pelbagai Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Pada malamnya pula, diadakan Ceramah Perdana yang bertajuk 'Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah' yang disampaikan oleh Pendakwah bebas terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias di Dewan Kenangan MPSPK.











Ke Mana Pemimpin Pakatan Harapan Menghilang Semasa Banjir Melanda Kedah?

Ke Mana Pemimpin Pakatan Harapan Menghilang Semasa Banjir Melanda Kedah?


Pemuda Umno Kedah mempersoal ‘kehilangan’ pemimpin Pakatan Harapan ketika rakyat Kedah berdepan musibah banjir sejak Jumaat lalu.

Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mendakwa, sebahagian besar pemimpin Pakatan Harapan dilihat mengambil sikap lepas tangan dan tidak ambil peduli pengundi yang memilih mereka selama ini.

“Isu pengurusan banjir kali ini menyerlahkan kelemahan pemimpin Pakatan Harapan, sama ada adun mahupun ahli parlimen, antaranya Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung, Datuk Mahfuz Omar (Ahli Parlimen Pokok Sena) dan Datuk Johari Abdul (Ahli Parlimen Sungai Petani),” katanya.

Menurutnya, sebahagiannya langsung menghilangkan diri dan lambat bertindak, malah kurang peduli terhadap mangsa banjir.

“Kehilangan mereka umpama lirik lagu popular ‘hang pi mana, hang pi mana’. Kita kesal kerana mereka hanya sibuk bicara soal mahu bina negara, berceramah menghasut sana sini sedangkan keperluan mangsa banjir di kawasan terabai,” katanya.

Shaiful Hazizy berkata, berbanding jentera Umno yang tampil mengambil peranan diabaikan wakil rakyat pembangkang yang hanya berterusan dibuai angan mahu menguasai Kedah.

“Ini berbeza dengan tindakan pro aktif Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang memastikan jawatankuasa bencana negeri dikordinasi dengan cekap. Malah beliau mengambil pendekatan meninjau sendiri kesemua pusat pemindahan banjir di daerah terlibat,” katanya.

Menurutnya, ini bagi memastikan keperluan asas mangsa banjir disediakan, selain bantuan kesemua agensi diselaraskan agar cepat diagihkan serta menyelaras khidmat bantuan susulan selepas banjir.

“Banjir kali ini tidaklah seteruk banjir besar 2010, ketika kerajaan Pakatan Harapan terkapai kapai mengurus bantuan bencana sehingga memerlukan campur tangan pusat selain jentera BN yang ke hadapan meskipun bergelar pembangkang ketika itu,” katanya.

Shaiful Hazizy berkata, bezanya banjir kali ini hanyalah kesan air dari hulu yang melimpahi sungai utama, di mana kesannya sudah dijangka.

“Dengan adanya projek tebatan banjir yang akan siap 2018, kelak banyak kawasan di negeri ini terhindar dari bencana banjir,” katanya.

Menurutnya, sekiranya aspek pengurusan risiko dan krisis melibatkan rakyat gagal difahami pimpinan Pakatan Harapan, bagaimana mereka mahu memenuhi keperluan rakyat Kedah ekoran sikap tidak peduli yang diamalkan.

“Mereka hanya bijak memberi alasan, berbanding berusaha melakukan tindakan seperti mana dilakukan BN dalam soal pengurusan bencana. Nyatalah Pakatan Harapan bukan opsyen terbaik untuk menjadi pilihan rakyat atas tindak tanduk mereka yang cukup mengecewakan,” katanya.

Ini membuktikan Pakatan Harapan tidak layak menjadi sebuah kerajaan alternatif, atau ‘kerajaan menunggu’ yang mampu menggalas tanggung jawab membela rakyat.

Hujan lebat berterusan selama empat hari selain air pasang besar menyebabkan beberapa buah daerah di Kedah, iaitu Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Kuala Muda/Yan dilanda banjir kilat.
Jumlah Mangsa Banjir Kilat Di Kedah Meningkat

Jumlah Mangsa Banjir Kilat Di Kedah Meningkat


Jumlah mangsa banjir kilat di pusat pemindahan banjir di Kedah meningkat kepada 1,991 orang pagi ini berbanding 1,983 orang malam tadi.

Menurut kenyataan Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di sini, pertambahan berlaku apabila ada mangsa-mangsa yang kembali semula di 13 pusat pemindahan di daerah Kota Setar.

Sehingga pukul 8 pagi ini, 560 keluarga masih ditempatkan di 19 pusat pemindahan banjir di daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Pendang.

Di Kota Setar, pusat pemindahan yang masih beroperasi ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah, Alor Setar membabitkan 347 mangsa, SK Seri Gunung (265 mangsa), SK Bukit Pinang (102 mangsa), Dewan Taman Sri Bagan (97 mangsa), Surau Pondok Kepala Bukit (88 mangsa), SK Alor Mengkudu (85 mangsa).

Selain itu, 79 mangsa ditempatkan di Surau Assyakirin, Kepala Batas, Masjid Kampung Lengkuas (46 mangsa), Dewan Wawasan Kampung Kelompang (39 mangsa), SK Suka Menanti (25 mangsa), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perak (13 mangsa), Kampung Tok Pauh (12 mangsa ) dan SK Taman Aman seramai sembilan mangsa.

Sementara itu, mangsa banjir di daerah Pokok Sena, telah ditempatkan di tiga pusat pemindahan iaitu di SK Bukit Hijau dengan 366 mangsa, Dewan Lubuk Keriang (35 mangsa) dan Dewan Kampung Permatang Limau seramai 15 orang mangsa.

Di Kubang Pasu membabitkan SK Kodiang Lama yang menempatkan 56 mangsa dan Dewan Tokong Cina yang dibuka semula menempatkan 32 mangsa.

Bagi daerah Pendang, hanya satu pusat pemindahan yang masih dibuka iaitu di Dewan Rakan Sukan Tanah Merah yang menempatkan 280 orang daripada 77 keluarga.

Kenyataan itu berkata, dengan keadaan cuaca yang semakin baik dan aliran sungai yang lancar, keadaan banjir di negeri ini dijangka semakin surut.
Pelaksanaan Projek RTB Di Kedah Bantu Kurangkan Masalah Banjir - MB Kedah

Pelaksanaan Projek RTB Di Kedah Bantu Kurangkan Masalah Banjir - MB Kedah


SUNGAI PETANI - Pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) melibatkan beberapa sungai di Kedah dijangka berupaya mengurangkan masalah banjir yang berlaku, terutamanya sewaktu berlakunya air pasang dan hujan lebat yang berterusan.

YAB Menteri Besar Kedah, Datuk Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah berkata pelaksanaan RTB Sungai Muda sebagai contoh, yang menelan belanja RM1.4 bilion dan siap pada 2015, berjaya mengurangkan masalah banjir di beberapa kawasan di daerah Kuala Muda.

“Kawasan yang terlibat banjir di daerah Kuala Muda kali ini adalah di kawasan tanah rendah, namun mungkin ramai lagi yang akan terjejas di daerah ini jika projek RTB Sungai Muda belum siap.



“Saya turut dimaklumkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bahawa projek RTB Sungai Kedah, yang menelan kos RM641 juta yang meliputi tiga pakej akan siap menjelang 2019,” katanya kepada pemberita selepas melawat 293 mangsa banjir daripada 65 keluarga yang berada di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kechil, Mukim Bukit Meriam, Kota Kuala Muda, di sini, malam tadi.

Menurutnya, pelaksanaan projek RTB Pendang yang meliputi tiga pakej dan menelan belanja RM350 juta pula dijadual bermula tahun hadapan.

“Jika semua projek RTB yang dilaksanakan ini siap sepenuhnya kelak, aliran air ke laut akan lebih mudah dan dapat mengurangkan kejadian banjir seperti ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Bashah berkata, walaupun trend air dilihat menurun selepas dua hari banjir melanda beberapa daerah di negeri ini, namun semua jabatan dan agensi berkaitan diletakkan dalam keadaan bersiapsiaga bagi berdepan kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir.



“Kuala Muda mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai berbanding Kota Setar, Kubang Pasu dan Pendang, malah walaupun trend air menurun tetapi kami minta semua jabatan dan agensi terus mengawasi keadaan, khususnya di kawasan terjejas banjir.

“Ini kerana, berdasarkan laporan kaji cuaca, hujan dijangka turun lagi malah fenomena air pasang juga boleh menyebabkan berlakunya limpahan air walaupun tiada hujan,” katanya.

Beliau yang berpuas hati dengan persiapan yang dibuat bagi menghadapi banjir, turut menasihatkan semua penduduk agar mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkenaan sekiranya diminta berpindah ke pusat pemindahan bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah yang tiba di pusat pemindahan SK Bukit Kechil pada 10.45 malam, meluangkan masa meninjau keadaan mangsa banjir selain turut menyampaikan bantuan Barakah kepada semua keluarga mangsa banjir di situ.


Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Muda, Nordin Yahya; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah, Norizan Khazali; Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda, Kapten Pertahanan Awam Azahar Ahmad dan Anggota Dewan Undangan Negeri Pantai Merdeka, Datuk Ali Yahya serta wakil jabatan dan agensi berkaitan.
Sambutan Maal Hijrah 1439H Peringkat Negeri Kedah Darul Aman

Sambutan Maal Hijrah 1439H Peringkat Negeri Kedah Darul Aman



Salam Maal Hijrah 2017/1439H.

Majlis Sambutan Maal Hijrah 2017/1439H Peringkat Negeri Kedah Darul Aman berlangsung di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman.

KDYMM Tuanku Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bersama DYMM Sultanah Kedah,Tengku Maliha Tengku Ariff perkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah 2017/1439H, Turut hadir YAB Menteri Besar Kedah, Dato' Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah bersama isteri YBhg Datin Seri DiRaja Hizam Awang Ahmad.

SUK Kedah, YBhg Dato' Bakar Din dan Exco - Exco Kerajaan Negeri Kedah juga hadir ke majlis tersebut. KYDMM Tuanku Sultan Kedah turut perkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada penerima-penerima untuk tahun 2017.

#SalamMaalHijrah1439H
#MuafakatKedah