Pertimbang Pelabur Lain Untuk KIFT - EXCO Kedah


ALOR SETAR - Kerajaan negeri sedang mempertimbang kemasukan pelabur baharu bagi meneruskan projek Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) yang dirancang di Kuala Tebengau, Kuala Kedah, dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, berkata kesediaan itu bagaimanapun tertakluk kepada perkembangan komitmen syarikat pelabur asal, iaitu Lu Hai Feng Ltd.

Beliau berkata, Lu Hai Feng Ltd berpangkalan di Qingdao, China yang ingin membangunkan KIFT, masih gagal membayar yuran komitmen sebanyak RM5 juta hingga projek itu tertangguh.

"Kerajaan negeri sudah membuat segala persediaan termasuk mendapatkan kelulusan daripada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN), namun kita terpaksa menangguhkan projek ini sebab syarikat (pelabur) masih belum membayar yuran komitmen yang kita perkenalkan, iaitu RM5 juta bagi fasa pertama.

"Ada juga syarikat lain yang datang berminat untuk meneruskan KIFT tetapi kita lihat dulu perkembangannya. Jika masih tiada penamatnya kita akan melihat proposal lain, " katanya menjawab soalan tambahan Datuk Phahrolrazi Zawawi (PAN-Pengkalan Kundor) ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini.

KIFT yang membabitkan kos kira-kira RM3 bilion akan tertumpu kepada pembinaan pelbagai kemudahan penangkapan dan pemprosesan ikan tuna, dengan sasaran melonjak Kedah sebagai hab perikanan moden antarabangsa.

Ia dijangka membabitkan penyediaan kemudahan perikanan moden seperti taman industri makanan laut, kemudahan sejuk beku dan pusat lelongan ikan tuna seperti yang terdapat di Pasar Tsukiji di Tokyo, dengan sasaran menyediakan kira-kira 50,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Mengenai status beberapa projek mega di Kedah, Ku Abd Rahman berkata, kerajaan negeri terpaksa membatalkan projek Bandar Sains dan Perubatan Kedah yang dijadual dibangunkan di Bandar Baharu berikutan tiada pelabur berminat.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri memberi jaminan bahawa projek pembangunan Hospital Pendang akan diteruskan.

"Kelewatan pembangunan projek Hospital Pendang yang dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) sebelum ini disebabkan oleh penambahan bajet sebanyak RM20 juta yang menjadikan kos keseluruhannya sebanyak RM220 juta.

"Kos asal pembinaan Hospital Pendang yang diluluskan ialah RM200 juta dengan kapasiti 120 katil, namun kini ia dimuktamadkan kepada RM220 juta dengan kapasiti 126 katil.

"Mengikut perancangan proses tender akan dibuka pada bulan ini dan kerja pembinaan akan mengambil masa selama 36 bulan sebelum ia dijangka siap pada 2021. Projek ini pastinya berjalan, " katanya.

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post