Harga Barang Mentah Meningkat Menjelang Sambutan Aidilfitri

Harga Barang Mentah Meningkat Menjelang Sambutan Aidilfitri


Trend wajib setiap tahun adalah harga barangan keperluan asas pengguna meningkat setiap kali menjelang musim perayaan. Seperti tahun-tahun lepas alasan yang sama pasti akan diulang setiap kali menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri mengenai kenaikan harga barang keperluan asas.

Antara faktor berlakunya kenaikan harga barangan keperluan asas kononnya adalah kerana permintaan tinggi sehingga membebankan orang ramai.

Seorang peniaga barang mentah di Pasar Chow Kit, Iwan Rashin berkata, hampir setiap tahun menjelang musim perayaan ayam akan mengalami kenaikan harga.

Katanya, ayam yang dijual pada hari biasa RM7.50 akan meningkat kepada RM8 sekilogram.

"Setiap kali Ramadan harga ayam akan naik berikutan permintaan yang tinggi. Sehingga ke hari ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) belum menetapkan harga siling bagi barang basah," katanya.

Manakala, harga barang sayur sawi pula meningkat sehingga sekali ganda daripada harga asal iaitu RM2.50 kepada RM5 sekilogram.

Peniaga sayur, Safril Haris berkata, sehingga kini pembekal masih menyekalkan harga yang sama kepadanya menyebabkan beliau masih boleh menjual sayuran pada harga yang sama tanpa menaikkan harga.

"Sayur yang saya peroleh masih pada harga terkawal dan pembekal sentiasa memberikan bekalan yang cukup setiap kali Ramadan dan Aidilfitri," katanya.

Sementara itu, turut mengalami kenaikan harga menjelang bulan Ramadan ini adalah ikan tongkol dan sardin kerana barang itu telah mendapat permintaan tinggi oleh peniaga bazar Ramadan.

Harga ikan tongkol meningkat daripada RM6 kepada RM7, manakala ikan sardin naik daripada RM6 kepada RM8.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengesan kenaikan harga 99 jenis barang menerusi operasi pemantauan harga pasaran.

Antara yang mengalami kenaikan harga ialah ayam, ikan bawal hitam, sotong selain sayur-sayuran seperti lada benggala merah dan tomato.

Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur, Ummi Nasrah Othman, berkata pegawainya melaksanakan pemantauan harga bagi meninjau perubahan harga di pelbagai lokasi antaranya di pasar raya, pasar basah dan kedai runcit.

“Ikan bawal hitam mengalami kenaikan harga sebanyak RM3 menjadikan harga pasaran ketika ini mencecah RM20 sekilogram (kg).

“Selain itu, ayam proses juga menunjukkan peningkatan purata sekitar 30 sen sehingga 50 sen, di beberapa lokasi.

“Barangan lain seperti lada benggala merah, tomato dan sotong menerima kenaikan antara RM1 hingga RM2 untuk setiap kg,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Ummi Nasrah juga berkata 103 jenis barangan menunjukkan penurunan harga, manakala barangan lain masih kekal pada harga sama.

“Harga ikan cencaru turun RM1 menjadikan harga pasaran ikan itu kini RM7 sekilo. Begitu juga harga udang putih alami penurunan harga sebanyak RM2 menjadikannya RM24 bagi setiap kg.

“Memandangkan harga barangan tertakluk kepada pasaran terbuka, saya mengesyorkan supaya pengguna menjadi `pengguna bijak’ seperti membuat kajian sebelum membeli-belah atau menggunakan aplikasi `Price Catcher’,” katanya.

KPDNKK turut memaklumkan sepanjang dua minggu lalu tiada sebarang aduan diterima khusus mengenai kenaikan harga barang.

Sekiranya terdapat sebarang aduan, pengguna diminta menghubungi kementerian di talian 03-800 886 800, membuat aduan di aplikasi ez-adu atau menerusi emel kepada eaduan@kpdnkk.gov.my
Mukhriz Tak Boleh Salahkan PAS, BN Diatas Kelemahan Kerajaan PH Kedah!

Mukhriz Tak Boleh Salahkan PAS, BN Diatas Kelemahan Kerajaan PH Kedah!



PAS Kedah berpandangan masih terlalu awal bagi mana-mana pihak menjangkakan ketidaktentuan situasi politik hingga mengheret berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) seperti yang diutarakan oleh Menteri Besar Kedah.

Berikutan hal pemilihan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, ia bukanlah sesuatu yang kritikal tetapi memerlukan kebijaksanaan untuk menanganinya.

Bagi PAS siapa pun yang dipilih oleh Dewan sebagai Speaker, beliau tertakluk kepada Undang-undang dan Peraturan-peraturan sebagai Speaker dan perlulah bersikap berkecuali.

Pemegang jawatan Speaker juga perlu mengendalikan mesyuarat dengan baik, mewujudkan suasana harmoni, mengurus soalan-soalan Dewan serta membantu kedua-dua belah pihak menyampaikan hujah dengan bernas dan rasional.

 Hanya kerajaan yang lemah akan membuat kenyataan terpaksa bergantung kepada kuasa Speaker yang tentunya akan dipastikan hanya memihak kepada kerajaan. Ini adalah amalan kerajaan lama yang rakyat tolak.

Dalam perkara ini, PAS Kedah berpendirian semua pihak mestilah menjadikan Undang-undang Tubuh Negeri Kedah sebagai panduan untuk merungkai permasalahan berkenaan dan mencari jawapan tanpa menunding jari kepada pihak lawan kononnya tidak berusaha menyelesaikan masalah.

Pakatan Harapan (PH) sewajarnya menyedari bahawa masalah ini sebenarnya ada di pihak mereka yang mendakwa mendapat majoriti untuk menubuhkan kerajaan. Isu pelantikan Speaker dan perjalanan Dewan adalah medan untuk buktikan bahawa mereka benar-benar memiliki sokongan majoriti ahli Dewan untuk menubuhkan kerajaan.

PAS sebelum ini telah menawarkan penyelesaian melalui "Kerajaan Perpaduan tanpa pembangkang" untuk mengatasi kebuntuan, namun dipandang sepi malah ditolak oleh pihak Menteri Besar.

Sikap sedemikian jelas menunjukkan pihak PH tidak bersedia meraikan pilihan rakyat yang memberikan kerusi 50-50 antara kerajaan dan pembangkang. Rundingan patutnya berlaku pada masa itu, bukan sudah terhantuk baru terngadah.

Oleh itu, dengan pendekatan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) yang diamalkan, maka PAS bersedia untuk menerima keputusan dalam hal pelantikan jawatan Speaker di Dewan Undangan Negeri melalui sidang belah bagi jika hal ini menjadi satu kenyataan.

DR AHMAD FAKHRUDDIN FAKHRURAZI
Pesuruhjaya PAS Kedah  - HarakahDaily