Pembiayaan Kompleks Pendidikan Pondok Moden Tak Jejaskan Asnaf - EXCO Kedah


ALOR SETAR - Pembinaan Kompleks Pendidikan Pondok Moden oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) tidak akan sesekali mendatangkan kesan kepada pengagihan bantuan dan zakat yang diperuntukkan khusus kepada golongan asnaf di Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan dan Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid, berkata pembinaan kompleks berkenaan sememangnya menjadi hasrat LZNK dalam usaha membiayai keperluan pendidikan termasuk sekolah aliran Arab di negeri ini, yang terbukti memberi kesan besar kepada umat Islam.

"Berkenaan kos pembiayaan (kompleks pendidikan), saya tak dapat maklumat lagi, namun melalui perbualan bersama mereka, LZNK sememangnya teringin membiayai (pendidikan) kerana ia adalah benda besar (untuk Islam).

"Bagaimanapun sama ada golongan asnaf terkesan apabila membuat projek besar begini, saya rasa agihannya (kepada pembiayaan kompleks pendidikan) tidak akan menidakkan bantuan terhadap mereka (asnaf)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Yahya (PAS - Alor Mengkudu) ketika Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-13, di sini, hari ini.

Mohd Rawi, berkata selain mengambil kira pembiayaan projek yang memberi manfaat kepada umat Islam, LZNK turut yakin usaha itu berupaya menarik minat pembayar zakat, sekali gus membantu meningkatkan kutipannya.

Mengenai pungutan zakat di Kedah, Mohd Rawi berkata LZNK mensasarkan kutipan sebanyak RM300 juta pada tahun hadapan.

"Pungutan zakat pada 2015 adalah RM140,388,446, manakala pada 2016 adalah RM148,185,655 dan 2017 pula sehingga kelmarin (13 November) kutipan direkod berjumlah RM132 juta.

"Bagi 2017 sehingga semalam jumlahnya meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu RM111 juta. LZNK sentiasa melakukan penambahbaikan dalam sistem pungutan termasuk mengadakan kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk laksana pembayaran zakat melalui kaedah pemotongan gaji," katanya.

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post