66 Sekolah Tahfiz Kedah Tidak Patuhi Aspek Keselamatan


ALOR SETAR - Pemeriksaan yang dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati sebanyak 66 sekolah tahfiz di negeri Kedah tidak mematuhi aspek keperluan keselamatan kebakaran seperti yang ditetapkan.

Pengarah JBPM negeri, Abdul Razak Muda berkata, jumlah tersebut hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan oleh pasukan petugas khas secara komprehensif agar kejadian kebakaran yang membabitkan sekolah tahfiz dapat dielakkan.

“Pemeriksaan yang berakhir 15 Oktober lalu mendapati ramai pengusaha sekolah itu gagal menyediakan alat pemadam api yang mencukupi, tiada tangga kedua, tiada pili bomba, dan menggunakan jeriji tingkap yang tidak mengikut spesifikasi bomba.

"Kita baru sahaja habis buat pemeriksaan di 66 buah sekolah tahfiz di Kedah,..agak malang kerana daripada kesemua sekolah tersebut tiada satu pun sebenarnya yang memenuhi keseluruhan aspek keselamatan kebakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi dan Perhimpunan Bulanan JBPM Kedah 2017 di Alor Setar, kelmarin.

Bagi mengelakkan kejadian kebakaran di pusat tahfiz berulang, pihak berkenaan perlu mengambil langkah menepati segala peraturan yang ditetapkan.

“Bomba dan pihak kerajaan tidak berhasrat untuk tutup sekolah tahfiz kerana kita faham masalah kewangan yang dihadapi, tetapi mereka cubalah memenuhi syarat kita beri itu.

"Insya-Allah...kita juga akan membantu menerusi program NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan) untuk menyelenggara semula sistem pendawaian elektrik dan bangunan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB), Giat Mara serta Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.

Tambah Abdul Razak, selain sekolah tahfiz, pihaknya juga sedang melakukan pemeriksaan di sekolah-sekolah agama rakyat yang lain di seluruh Kedah.

“Kita sebenarnya masih lagi dalam proses pemeriksaan di sekolah-sekolah agama yang lain...Insya-Allah pada 2018 dan 2019 ini kita akan perluaskan di sekolah-sekolah agama rakyat lain yang banyak lagi beroperasi,” katanya.

Mengikut rekod sejak 2014 hingga kini, hanya terdapat lapan kes kebakaran yang membabitkan sekolah tahfiz di Kedah.

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post