Bajet Kedah 2018 Umum 'Durian Runtuh' Menarik - Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman


Rakyat Kedah bakal terima 'durian runtuh' apabila kerajaan negeri umum insentif dan ganjaran menarik dalam pembentangan Bajet 2018. Bajet Kedah 2018 bertemakan 'Menerus Kemajuan, Menzahir Impian' membuktikan kerajaan negeri mempunyai iltizam dan cara tersendiri mengurus negeri.

Ia juga menunjukkan kerajaan negeri terus mengutamakan rakyat dan cakna kepada isu kos sara hidup. Bajet kali ini meliputi RM855.22 juta perbelanjaan mengurus dan RM532.2 juta peruntukan dan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan untuk perbelanjaan pembangunan. Selain memperuntukkan perbelanjaan keseluruhan RM1.38 bilion dengan kadar defisit RM75.72 juta atau 9.71 peratus berbanding defisit 10.28 peratus dan 14.95 peratus pada 2017 dan 2016.

Bajet Kedah 2018 buat julung kalinya memperuntukkan pengecualian caj bekalan air bagi penggunaan maksimum 20 meter padu sebulan mulai Januari tahun depan membabitkan 38 peratus atau 221,000 pengguna domestik. Pengumuman ini sudah tentu dapat memberi manfaat buat rakyat segenap lapisan bagi mengurangkan beban setiap isi rumah.

Malahan kerajaan negeri akan menanggung kos pengguna domestik yang memiliki bil bulanan tidak melebihi RM10 dianggar RM1.5 juta sebulan atau RM18 juta setahun. Buat kali pertama juga mendahului Kerajaan Pusat dengan pemberian khas RM2,000 kepada kakitangan awam di Kedah membabitkan peruntukan keseluruhan RM14 juta.

Bajet juga memberi bantuan am bagi penerima Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dinaikkan daripada RM150 sebulan kepada RM200, memberi faedah kepada 4,000 penerima merangkumi orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan fakir miskin, membabitkan pembiayaan keseluruhan RM2.5 juta.

Dari aspek pendidikan dan modal insan pula kerajaan negeri memberi dana khas secara one off kepada 20 pondok dan 64 maahad tahfiz berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Kedah membabitkan biaya keseluruhan hampir RM1 juta. Kerajaan negeri juga meneruskan pemberian dana pengurusan RM2,000 sebulan kepada 11 pondok yang bernaung di bawah Yayasan Pembangunan Pondok 1Malaysia.

Geran RM1.7 juta diteruskan
Begitu juga geran berdasarkan bilangan pelajar di sekolah agama rakyat (SAR) berjumlah RM1.7 juta diteruskan, manakala dana tambahan disediakan bagi pembelian kitab kepada seluruh pondok dan maahad tahfiz di Kedah.

Seramai 30,000 pelajar Tahun Satu yang akan memasuki persekolahan sesi 2018 bakal menerima bantuan RM100 melalui Dana Warisan Pendidikan Anak Kedah. Sejumlah RM4 juta pula disalurkan bagi menaik taraf Maktab Mahmud dan Maahad Tahfiz Sains Kedah. Kerajaan Negeri juga terus utamakan usaha memperkasa institusi masjid dengan pelbagai program dan aktiviti, selain meningkatkan elaun bulanan imam daripada RM800 kepada RM1,200. Begitu juga elaun bilal RM750 kepada RM900 sebulan dan elaun siak RM475 sebulan kepada RM700 sebulan.

Pemberian sagu hati kepada setiap jemaah haji Kedah - RM500 akan diteruskan. Manakala insentif khas guru kampung dan guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) dinaikkan daripada RM450 sebulan kepada RM600 babit peruntukan RM2.6 juta.

Selaras bencana banjir dialami di Kedah baru-baru ini, bantuan segera bagi banjir dan bencana alam dinaikkan daripada RM100 kepada RM200. Kerajaan Kedah membuktikan usaha memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi agenda utama.

Rakyat Kedah seharusnya berterima kasih dan bersyukur terhadap usaha murni ini yang membuktikan bahawa Kerajaan Negeri memahami denyut nadi dan kemaslahatan rakyat. Semoga bajet ini dapat melonjakkan pembangunan dan memberi manfaat buat rakyat Kedah yang akan muncul sebagai sebuah negeri maju sebelah utara Semenanjung Malaysia.

Penulis ialah Felo Australian Academy of Business Leadership, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) - BH Online

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post