TNB Kedah Bertugas 24 jam Pada Hari Raya

TNB Kedah Bertugas 24 jam Pada Hari Raya

Hasil carian imej untuk TNB KEDAH

KUALA NERANG - Seramai 600 kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kedah bersiap sedia bertugas selama 24 jam secara berjadual sepanjang sambutan Aidilfitri bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlaku gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan.

Pengurus Besar Perkhidmatan Pengguna TNB negeri Ismail Lathifi Teh berkata pihaknya sedaya upaya memberikan perkhidmatan terbaik supaya bekalan elektrik terus disalurkan kepada penduduk di seluruh negeri untuk memastikan mereka menyambut hari raya tanpa sebarang masalah.

"TNB juga telah membuat persiapan dan membuat pemeriksaan di semua stesen janakuasa dan pencawang selain mempersiapkan pasukan yang akan ditugaskan secara berjadual 24 jam agar pengguna dapat perkhidmatan yang pantas sekiranya sesuatu bekalan terputus," katanya kepada Bernama pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang di Masjid Jamek Al-Islah, Kampung Perik, di sini, malam tadi.

Adun Kuala Nerang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Datuk Badrol Hisham Hashim turut menyampaikan sumbangan barangan makanan dan duit raya kepada 110 asnaf di daerah Padang Terap pada majlis itu.

Dalam pada itu, Ismail Lathifi berkata pihaknya turut menyediakan empat set janakuasa set generator (Genset) berkapasiti antara 500 hingga 1,000 kilowatt sebagai alternatif lain bagi menghadapi gangguan elektrik.

"Ada kalanya berlaku sedikit gangguan di kawasan tertentu dengan Genset ini ia boleh membekalkan tenaga kepada tiga hingga empat kampung pada satu masa dan boleh digunakan secara berterusan sehingga bekalan dipulihkan.

"Setakat ini empat unit kita sediakan dari syarikat kontraktor TNB dan jika memerlukan lebih dari itu, kita akan pinjam dari negeri-negeri jiran lain agar masyarakat terus dapat menikmati bekalan untuk keselesaan mereka di hari perayaan," katanya .

Selain itu, Ismail Lathifi juga mengharapkan supaya masyarakat dapat menggunakan tenaga elektrik secara berhemah kerana kadang-kala ia boleh menyebabkan gangguan bekalan yang disebabkan kebakaran.

"Kalau nak balik kampung kena pastikan perkakasan elektrik di rumah ditutup, kalau hendak pasang lampu gunalah jenis 'timer' yang akan padam waktu siang, agar tidak terpasang terlalu lama hingga boleh terbakar.

"Ini semua perlu diambil berat supaya Hari Raya yang disambut nanti memberi kemeriahan bukan kesedihan akibat ditimpa bencana akibat kecuaian kita sendiri," katanya. – Bernama
Kerajaan Negeri Tukar Sistem Paip Air Lama Secara Berperingkat - MB Kedah

Kerajaan Negeri Tukar Sistem Paip Air Lama Secara Berperingkat - MB Kedah

Hasil carian imej untuk ahmad bashah dan SADA

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah akan menukar sistem paip air yang sudah lama dan uzur secara berperingkat bagi mengatasi masalah kebocoran yang menyebabkan bekalan air tidak sampai kepada pengguna.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, saluran paip air yang lama dan uzur berpontensi untuk mengalami kebocoran akibat tidak dapat menahan tekanan tinggi air.

Ini menyebabkan air tidak sampai kepada pengguna, kata beliau.

"Pertukaran sistem perpaipan itu akan dijalankan secara serentak dengan projek menaik taraf loji-loji rawatan air, " katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Lima projek tersebut membabitkan Loji Rawatan Air Pelubang, Bukit Selambau (Merbok), Sungai Limau (Baling), Lubuk Buntar Lama dan Loji Rawatan Air Jenun Baru (Yan dan Pendang).

Terdahulu, Ahmad Bashah menyampaikan sumbangan zakat dari pihak Management & Science University (MSU) kepada 1,500 penerima dari Parlimen Alor Setar di Dewan Seri Mentaloon.

Ditanya mengenai tindakan sesetengah pihak pembangkang yang cuba mengambil kesempatan berhubung isu air ini, beliau berkata pihak pembangkang akan sentiasa mencari isu sedangkan kerajaan negeri sudah mempunyai jalan penyelesaian.

"Kerajaan negeri bersama-sama Syarikat Air Darulaman (SADA) Sdn Bhd telah mencari jalan penyelesaian membuat persediaan terbaik berhubung isu air ini.

"Kita turut membekalkan lebih 2,000 tong air berkapasti 900 liter kepada penduduk yang terjejas akibat tekanan air rendah menjelang Aidilfitri ini bagi memastikan bekalan air sentiasa ada," katanya.

Ahmad Bashah berkata pegawai-pegawai SADA juga telah ditempatkan di kawasan kritikal yang mengalami gangguan air selain turut membuka pusat aduan 24 jam bagi membolehkan pengguna membuat aduan dan tindakan oleh pihak SADA secara segera.
SADA Dan ADUN Bekerjasama Hadapi Gangguan Air Sepanjang Musim Perayaan

SADA Dan ADUN Bekerjasama Hadapi Gangguan Air Sepanjang Musim Perayaan


Beberapa Adun di negeri ini telah mengambil inisiatif sendiri dengan menyediakan lori bagi menyalurkan bekalan air sekiranya berlaku gangguan bekalan air sepanjang musim perayaan nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Negeri Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, langkah ini bagi membantu Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada) menyalurkan air di kawasan mereka.

"Sehingga kini, 173 kawasan atau kampung disenaraikan mengalami gangguan air yang kritikal atau sepanjang masa. Jadi, dengan bantuan daripada lori yang disediakan Adun, kita harap penyaluran air dapat dilakukan dengan lebih effisien.


"Ini juga akan dapat menampung 127 lori tangki air pelbagai jenis termasuk Jumboo yang disediakan Sada dalam menghadapi krisis air pada hari raya berbanding 97 lori tangki pada tahun lalu," katanya kepada pemberita selepas Taklimat Kontigensi Air Sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2017 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.


Selain itu, pihak Sada turut menyediakan lima langkah proaktif dalam menangani masalah penggunaan air yang dijangka berlaku pada musim perayaan ketika musim kemarau.

"Antaranya ialah sistem agihan semula di kawasan lain yang bersempadan dengan kawasan bermasalah, menakung tangki simpanan air pada waktu malam, merendahkan paip aliran masuk ke tangki simpanan, agihan air melalui lori tangki Sada dan memasang pam-pam penggalak (booster pump) di kawasan kritikal," jelasnya.




Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif , Datuk Abd Ghani Zainuddin berkata, cuti pegawainya dibekukan sepanjang musim perayaan ini bagi memastikan sekiranya gangguan air terjadi dapat diatasi segera.

"Ia melibatkan hampir 20 peratus pegawai di peringkat eksekutif dan operasi. Mereka akan memantau dan memastikan semua operasi dan pengagihan air dilakukan seperti yang dirancang sekiranya ia berlaku," jelasnya.

Kerajaan akan membuka pusat aduan setempat di kawasan yang sering mengalami masalah bekalan air terputus dengan menempatkan kakitangan Syarikat Air Kedah Bhd (SADA) bagi menyelia pengagihan air selain menerima aduan orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, pusat itu akan dibuka di dewan orang ramai, sekolah atau di masjid untuk memudahkan pemimpin masyarakat setempat dan SADA mengenalpasti masalah pengagihan air..

"Selain itu SADA akan menambah lori tangki untuk menghantar bekalan di kawasan yang terputus air di samping membuat agihan semula dengan mengambil air di kawasan lain sebagai 'backup supply'," kata Badrul Hisham pada sidang akhbar selepas taklimat SADA kepada Ahli Dewan Undangan Negeri di Wisma Darulaman di sini, semalam.

Kata beliau, sebanyak 173 buah kampung dikenalpasti kawasan 'kritikal' di mana kawasan itu sering kali mengalami masalah ketiadaan air bukan sahaja di musim perayaan dan ia akan diberi keutamaan.

Beliau juga meminta pihak masjid menghubungi kaiktangan SADA jika rumah-rumah ibadat di kawasan masing-masing mengalami gangguan bekalan selain membuat takungan pada malam hari bagi digunakan pada hari berikutnya.

"Saya yakin dengan lima langkah yang diambil itu akan dapat memastikan penduduk yang menghadapi bekalan air pada musim perayaan tahun lepas dapat diatasi sebaik mungkin dengan penambah baikkan yang dilakukan pada tahun ini, " kata Badrul Hisham lagi.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Datuk Datuk Abd Ghani Zainuddin menyatakan, sebagai langkah awal SADA akan memeriksa dan membaiki paip-paip yang rosak sebelum hari raya ini.

Mengenai kualiti air, beliau menyatakan, pihak SADA sentiasa memantaunya tetapi ia tidak dapat dielakkan semasa musim hujan dan disebabkan paip pecahan.

Bagaimanapun 'air keruh' yang ditularkan dalam FB dan dilaporkan dalam media semalam disebabkan paip pecah dan pembaikkannya telah dimaklumkan lebih awal.

Oleh kerana pemulihan kualiti air mengambil masa, air keruh yang ditunjukkan di dalam FB itu mungkin diambil semasa proses pembersihan sedang dilaksanakan, kata beliau lagi .

"Sebagai syarikat yang berniaga, kami tidak akan berkompromi dengan kualiti air dan mahu bekalan air diperolehi oleh para pengguna secara berterusan walaupun ia diberi secara percuma," kata Ghani.

Tambahnya, waktu operasi penghantaran air menggunakan lori adalah dari 8 pagi hingga 12 tengah malam manakala pusat dan "Pondok Aduan" beroperasi dari 10 pagi hingga 10 malam termasuk pada hari raya.

Dalam masa sama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Baling, Datuk Azmi Che Husain berkata, beliau telah menyediakan 100 tong air kepada rakyatnya sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan gangguan air menjelang perayaan kelak.

Pengagihan secara berperingkat tersebut diadakan sebagai langkah awal dan dikhaskan kepada seluruh rakyat di kawasan Bayu, Baling, pengagihan tersebut dijangka selesai pada 15 Jun akan datang.

"Ini adalah langkah awal memandangkan akan meningkatnya jumlah pengunaan air di kawasan ini yang mana ramai anak perantau akan pulang ke kampung halaman pada hari raya nanti.

"Kita sudah meminta kerjasama dengan Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) untuk membekalkan air ke tong-tong tersebut sekiranya berlaku gangguan air.

"Pun begitu, kita mengharapkan perkara tersebut tidak terjadi seperti mana yang dialami penduduk kawasan ini pada raya tahun lepas," katanya.


#Video : Kerajaan Kedah Nafi Beri 3 Bulan Bonus Yang Tular Di Laman Sosial - MB Kedah

#Video : Kerajaan Kedah Nafi Beri 3 Bulan Bonus Yang Tular Di Laman Sosial - MB Kedah


Menteri Besar Kedah, YAB Dato Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah menafikan maklumat tersebar melalui media sosial kononnya kerajaan negeri akan memberikan bonus tiga bulan gaji kepada 5,000 penjawat awam di Kedah sempena Aidilfitri kali ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pemberian bonus sebanyak tiga bulan itu bukan sahaja tidak logik, malah tidak rasional dengan keadaan Kedah, selain menyifatkan pihak yang menyebarkan maklumat terbabit sengaja bersikap ingin memperli kerajaan negeri dan tidak bertanggungjawab dan ia tidak lebih untuk memburukkan imej kerajaan negeri yang dipimpinnya. “Ini tak logik dan tak rasional langsung. Negeri lain pun tak bagi, Selangor pun dua bulan setengah.


Satu poster difahamkan tular di media sosial sejak semalam mendakwa kononnya Kerajaan Negeri akan memberikan bonus 3 bulan kepada kakitangan awam negeri bersempena Aidilfitri ini.

Dikatakan beberapa dakwaan palsu seumpama itu juga tular sebelum ini berkemungkinan dilakukan oleh pihak tertentu yang mungkin bermotifkan politik dan mencetus kebencian terhadap Ahmad Bashah.

Sebelum ini, Menteri Besar itu turut menjadi mangsa apabila pihak tertentu tela bijak memperalatkan Stadium Darul Aman untuk tujuan politik ketika berlaku krisis kepimpinan negeri sehingga berlaku peralihan kuasa membabitkan jawatan Menteri Besar.

Ramai pihak mengecam tindakan mempolitikkan stadium yang sepatutnya menjadi medan menyatukan rakyat Kedah, namun kesan dari mempolitikkan keadaan itu kekal hingga kini ekoran segelintir peminat yang masih belum sedar mereka diperalatkan.

Kerajaan Persekutuan mengumumkan pemberian bonus RM500 kepada 5,000 penjawat awam negeri sempena Aidilfitri manakala golongan pesara pula menerima RM250. Ahmad Bashah, yang mengumumkan perkara itu berkata, pembayaran bonus berkenaan akan dibuat melalui akaun penjawat awam masing-masing selewat-lewatnya seminggu sebelum Aidilfitri.

"Kita kemungkinan akan beri RM 1,000 sebagai bantuan aidilfitri. kita sudah tetapkan jumlah itu, namun akan umum secara rasmi melalui mesyuarat EXCO Rabu ini.

"Melalui mesyuarat EXCO nanti, kita akan tetapkan maklumat secara terperinci seperti jumlah keseluruhan peruntukan dan penerima sebelum ia boleh disalurkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan Ihya Ramadan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.

Pada program itu, wang tunai. Seramai 109 orang balu, 75 anak yatim dan 36 anak istimewa menerima bungkusan hamper makanan dan duit raya yang disumbangkan Pejabat Menteri Besar Kedah (MBI).Turut hadir bersama Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff.






ISU BONUS KAKITANGAN AWAM PERLU RUJUK SUMBER SAHIH.

ISU BONUS KAKITANGAN AWAM PERLU RUJUK SUMBER SAHIH.


1. Pihak yang membuat infografik berhubung kenyataan tidak betul yang kononya MB Kedah mengistiharkan 3 bulan bonus bagi kakitangan negeri adalah kerja orang yang memiliki akhlak yang lemah lagi mandul.

2. Isu isu melibatkan kewangan negeri apatah lagi menyentuh kepentingan umum 6090 kakitangan negeri tidak wajar dijadikan bahan gurauan.

3. Ianya mengelirukan dan boleh mengundang kekalutan dalam sensitiviti kakitangan awam negeri yang selama ini cukup komited dalam tugas mereka.

4. Data rekod menunjukkan jika biaya bantuan khas Aidilfitri berjumlah RM500 diberikan ia akan memakan belanja lebih RM3.06 juta bagi tanggungan kewangan negeri.

5. Urusan untuk mengabsahkan perkara ini perlu secara adabnya diputuskan dalam Mesyuarat Exco kerajaan Negeri.

6. Sepertimana yang diputuskan oleh YAB DS Diraja MB Kedah dalam mesyuarat mingguan EXCO yang lalu akan ada perkhabaran gembira bagi kakitangan awam negeri pada mesyuarat Exco minggu hadapan.

7. Maka sewajarnya sumber rasmi dan kenyataan edaran sahih ditunggu supaya isu ini tidak berbangkit mengelirukan masyarakat.

8. Prinsipnya memang ada bantuan khas Aidilfitri pada kakitangan awam negeri kerana prinsip kerajaan negeri lazimnya mengikuti keputusan duluan yang dibuat kerajaan persekutuan.

9. Bezanya kadar dan jumlah bayaran mengikut kemampuan kewangan negeri. Maka bersabarlah dan elakkan bulan Ramadan yang mulia ini dari fitnah dan prasangka buruk yang tidak sepatutnya.
Bulan Puasa serupa bulan tak puasa fitnah menjadi amalan makluk ketandusan aklak.
Skim Khas Tentera, Veteran Diumum Bulan Depan - Hishammuddin

Skim Khas Tentera, Veteran Diumum Bulan Depan - Hishammuddin


JITRA: Skim baharu untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada Majlis Himpunan Raksasa Veteran di ibu negara, 31 Julai ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata skim itu adalah kaedah terbaik dalam menangani masalah dihadapi veteran tidak berpencen. Katanya, skim itu merangkumi penyelesaian menyeluruh, telus dan terbuka dalam usaha menjaga kebajikan mereka. 


"Kita mewujudkan makmal dianggotai pihak berkepentingan termasuk Jabatan Hal Ehwal Veteran yang mencari kaedah terbaik selama enam minggu sebelum perbincangan selesai semalam. "Ini menunjukkan kita serius, telus dan terbuka membela mereka. 

Kita buat apa yang termampu. Bayangkan nak selesai masalah mereka ini dengan ekonomi tidak tentu dan kekangan bajet. "Kita mahukan hasil terbaik supaya apa yang diumumkan betul-betul membantu lebih 100,000 veteran tidak berpencen," katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Ramadan di Kem Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Kem Tok Jalai), Jitra di sini,Turut hadir Menteri Besar Kedah,YAB Dato Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah.   


Terdahulu, Hishamuddin turut menyerahkan Bayaran Insentif Khas Insurgensi kepada 30 veteran ATM. Dalam perkembangan lain, Hishamuddin berkata, pihaknya akan mengumumkan Blueprint Rumah Keluarga Angkatan Tentera bagi menyelesaikan isu kuarters, September ini. Katanya, pihaknya mendapati ada yang tidak terbela sejak merdeka dan akan mengkhususkan kepada anggota Tentera Darat. 






"Saya secara terbuka memberi harapan kepada anggota bahawa kita mempunyai rancangan terbabit yang sudah difikirkan sejak dua tahun lalu. "Ia akan diperincikan malah satu makmal perbincangan sedang berlangsung bagi mencari kaedah terbaik sebelum diumumkan. 

"Kita sudah mengenal pasti kem yang terbabit dan makmal itu turut disertai pihak industri yang akan membinanya. Kita jangka dapat selesaikan pada 2035," katanya.
MB Kedah Rasmi Program Tuisyen Rakyat@KKLW Tingkat Pencapaian Pelajar

MB Kedah Rasmi Program Tuisyen Rakyat@KKLW Tingkat Pencapaian Pelajar


ALOR SETAR: Tuisyen Rakyat@KKLW yang mula diperkenalkan sejak 2013 kepada lebih 10,000 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjaya meningkatkan pencapaian sehingga 40 peratus dalam kalangan mereka melalui keputusan peperiksaan itu.

Tuisyen@KKLW yang dianjurkan oleh Yayasan Pelajaran MARA dengan kerjasama Pergerakan Puteri UMNO, memfokuskan dalam memberi kelas bimbingan tambahan secara percuma kepada pelajar yang terdiri dalam kalangan keluarga yang miskin khususnya di kawasan luar bandar. Pengerusi YPM, 

Datuk Zahida Zarik Khan, berkata berdasarkan kejayaan yang diperoleh pada tahun lalu, pihaknya yakin pencapaian itu boleh ditingkatkan untuk 2017 kepada sekurang-kurangnya 16,000 pelajar yang disasarkan kali ini. 

"Selain SPM, Tuisyen Rakyat@KKLW juga berjaya meningkatkan pencapaian peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sehingga 60 peratus pada tahun lalu. "Pada tahun lalu sahaja, YPM melaksanakan Tuisyen Rakyat@KKLW ini di 152 buah pusat membabitkan seramai 12,939 pelajar UPSR dan SPM dan ternyata ia berjaya meningkatkan pencapaian keputusan peperiksaan mereka yang terbabit dalam kelas tambahan ini. 

"Ini kerana di akhir program ini, kaji selidik keberkesanan tuisyen akan dianalisis bagi tujuan penambahbaikan pada masa akan datang supaya dapat dijalankan dengan lebih jaya," katanya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program Tuisyen Rakyat@KKLW peringkat Parlimen Alor Setar, di sini tadi. Program itu dilancarkan oleh Menteri Besar, YAB Dato Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah.
Bantuan Khas Aidilfitri: Berita Gembira Buat Penjawat Awam Kedah Minggu Depan - MB Kedah

Bantuan Khas Aidilfitri: Berita Gembira Buat Penjawat Awam Kedah Minggu Depan - MB Kedah




ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah sedang " berfikir sesuatu" untuk memberikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada penjawat awam di negeri ini seperti mana yang dinikmati oleh penjawat awam Persekutuan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah tidak menolak kemungkinan ada tambahan, tetapi ia bergantung kepada perbincangan lanjut yang akan dibuat kelak.

"Kita akan umumkan bantuan khas itu minggu depan, " kata Menteri Besar kepada pemberita selepas melawat bazar Ramadan di pekarangan Stadium Darulaman di sini semalam.



Menurutnya, kerajaan negeri ada membincangkan perkara itu dalam mesyuarat Exco hari ini (Rabu) dan minggu depan akan dibentangkan.

"Pastinya ada khabar gembira (pembayaran) kepada penjawat awam negeri ini dan jumlahnya akan dimaklumkan nanti," kata Menteri Besar lagi.

Kerajaan negeri memberi jaminan akan memberikan bantuan khas kewangan tidak kurang RM500 kepada penjawat awam negeri ini sebagai persiapan menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Pada minggu lepas, Kementerian Kewangan bersetuju memberi bantuan khas kewangan sebanyak RM500 kepada hampir 1.6 juta penjawat awam sebagai persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Bantuan khas itu juga akan turut dinikmati oleh hampir 775,000 pesara kerajaan sebagai menghargai jasa perkhidmatan dengan bayaran sebanyak RM250.
Projek Aman Laut : Kerajaan Negeri Pantau, Arah GLC Dapatkan Kelulusan EIA - MB Kedah

Projek Aman Laut : Kerajaan Negeri Pantau, Arah GLC Dapatkan Kelulusan EIA - MB Kedah


Kerajaan Negeri Kedah akur dengan arahan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk menghentikan sementara projek Aman Laut sehingga mendapat kelulusan dari agensi berkenaan untuk meneruskan projek berimpak tinggi tersebut.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah, Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang masalah untuk menerima baik arahan tersebut dan kini menyerahkan kepada GLC bertanggungjawab untuk berbincang dengan JAS bagi meneruskan projek berkenaan.

"Kalau mereka minta projek itu berhenti, kita berhentilah. Kita sedia mengikut arahan itu. Tapi kita akan minta GLC yang terbabit berbincanglah dengan JAS, kita minta mereka merayu pada JAS," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan sejurus selepas menyempurnakan Program Ziarah Kasih Ramadhan Yayasan Tabung Haji (TH) bagi Parlimen Alor Setar di kediaman rasmi Menteri Besar di Sri Mentaloon yang turut dihadiri oleh Pengerusi TH, Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim.



Mengulas lanjut, Menteri Besar berkata, projek berkenaan dikendalikan oleh sebuah GLC Kerajaan Negeri iaitu Permodalan Kedah Berhad (PKB) dengan usahasama Property Builder KK Sdn Bhd sebagai pemaju, dan bukan kerajaan negeri.

Namun begitu, Kerajaan Negeri tetap bertanggungjawab memastikan kelancaran projek berkenaan tidak menjejaskan alam sekitar dan pemaju perlu berusaha mendapatkan kelulusan bagi projek bernilai RM1.2 bilion itu.

"Projek itu membabitkan GLC Kerajaan Negeri, bukan dengan Kerajaan Negeri secara langsung.

"Tapi, kita akan pantau projek itu. Hari ini pun menteri akan datang berjumpa dengan kita," tegas beliau, memandang serius mengenai projek yang mendapat jolokan "Dubai Kedah" itu.

JAS sebelum ini meminta supaya projek Aman Laut di Kuala Kedah itu dihentikan buat sementara waktu sehingga mendapat kelulusan EIA dari agensi terbabit.

Kerajaan Negeri dalam reaksi balasnya telah segera meminta pihak pemaju untuk menghentikan projek berkenaan buat sementara waktu dan menggesa supaya mereka berusaha berbincang serta mendapatkan kelulusan yang diperlukan sebelum meneruskan semula projek itu.


Menurut Ahmad Bashah lagi, GLC terbabit telah mengikut prosedur dengan mengemukakan permohonan EIA bagi projek berkenaan sejak awal lagi, namun ia belum mendapat kelulusan dari agensi berkenaan untuk melaksanakan projek tersebut.

Namun begitu katanya, pihak pemaju sebelum ini telah memulakan projek berkenaan mengikut jadual ekoran mendapat kelulusan dari pihak Majlis Bandaraya Alor Setar.

"Bukan tak lulus, ia belum mendapat kelulusan dari JAS.

"Mereka (GLC) mulakan projek itu sebab sudah mendapat kelulusan dari Majlis Bandaraya Alor Setar. Tapi bila JAS kata projek itu perlukan kelulusan EIA dan perlu dihentikan sementara, maka mereka perlu akurlah dengan arahan itu," jelas beliau lagi.

Menurut sumber dalaman, kawasan yang dikatakan memerlukan kelulusan EIA dari JAS itu tidak melibatkan tapak projek secara langsung, namun hanya membabitkan kawasan yang keluar masuk ke lokasi projek berkenaan.

Turut difahamkan, pihak pemaju sedang berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan kelulusan EIA dari JAS bagi meneruskan projek yang bakal memberi manfaat kepada sektor pelancongan, ekonomi rakyat dan pembangunan negeri itu.