Tengku Sarafuddin Badlishah Pakar Dalam Bidang Perundangan


ALOR SETAR - Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin yang dimasyhur sebagai Raja Muda Kedah ke-20, hari ini dikenali sebagai seorang yang bijak dan mempunyai kepakaran dalam bidang perundangan.

Tengku Sarafudin, 50, yang memiliki Ijazah Undang-Undang (Kepujian) dari Brunel University, Uxbridge Middlesex United Kingdom, turut memiliki Barrister at Law (Inner Temple), United Kingdom dan pernah menjadi peguam bela dan peguam cara di Mahkamah Tinggi Malaysia pada 1994.

Anakanda sulung kepada Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tenku Ariff ini mempunyai seorang adinda, Datuk Tunku Shazudin Arif Badlishah.

Baginda turut pernah menjawat pelbagai jawatan di beberapa agensi dan syarikat antaranya pengarah perundangan dan sekretariat di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) pada 1999.

Baginda kini adalah pengarah dan juga Anggota Lembaga Pentadbir di Asiamet (M) Sdn Bhd, Pengerusi Thong Fuan Industries Berhad, selain menjadi rakan kongsi di Kamil Hashim Raj & Lim Advocates and Solicitors.

Diputerakan pada 2 Mac 1967 di Alor Setar, Tengku Sarafudin bertemu jodoh dengan Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Arif dan melangsungkan perkahwinan pada 2003 serta dikurniakan dua cahaya mata iaitu Tunku Zara Bahiyah, 14; dan Tunku Sulaiman Badlishah, 10.


Pada waktu lapang, baginda gemar membaca, bermain golf dan melakukan aktiviti eksplorasi.

Isteri baginda, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff, 46, dari Ipoh, Perak juga adalah lulusan Ijazah Undang-Undang (Kepujian) dari University of Wales College, Cardiff dan mendapat Certificate in Legal (Hons) daripada Legal Qualifying Board of Malaysia.

Beliau kini berkhidmat sebagai Ketua Bahagian Perundangan dan Kesetiausahaan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan turut menjawat jawatan sama di Kumpulan Darul Ehsan Berhad.

Sementara itu, Tunku Shazudin yang diisytiharkan sebagai Tunku Laksamana Kedah hari ini, adalah seorang yang berkepakaran luas dalam bidang reka bentuk serta memiliki kelulusan Reka Bentuk dan Pemasaran dari Kansas Wesleyan University, Amerika Syarikat.

Baginda dilahirkan di Alor Setar 47 tahun lalu dan masih belum mendirikan rumah tangga.

Tunku Shazuddin memulakan kerjaya bersama Johan Design Associates selama lima tahun dan pernah ditugaskan mengurus pelbagai projek untuk beberapa syarikat terkemuka seperti Petronas F1, Malaysia Airlines, RHB Bank Northport dan pelbagai kementerian di negara ini.


SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post