Bayi Setahun 11 Bulan Dari Alor Setar Perlukan Bantuan



ALOR SETAR - Seorang bayi berusia setahun 11 bulan yang bergantung kepada mesin oksigen untuk bernafas memerlukan bantuan kewangan untuk membiayai kos perubatannya.

Ibu kepada bayi terbabit, Nor Hidayu Halim, 28, berkata, anak bongsunya, Ieman Fayruzz Mikhail Abdul Rahim memerlukan RM1,000 sebulan bagi menampung keperluannya.

“Dalam sebulan, saya kena tambah empat ke lima kali ubatan khas dalam mesin oksigen Ieman. Bayangkan, satu kali kena RM70.

“Itupun belum masuk beberapa tin susu khas yang perlu diminum anak lelaki saya itu setiap bulan untuk membolehkan dia mendapat zat secukupnya,” ujarnya.

Tambahnya lagi, tidak dinafikan, dia menerima bantuan kewangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.

"Tapi duit itu tak cukup nak tampung kos keperluan Ieman yang makin tinggi, ditambah kesihatannya tak menentu.

"Masalah kewangan dialami makin serius sejak dua bulan kebelakangan ini menyebabkan kami sekeluarga buntu," katanya yang dipetik Sinar Online.

Menurut Nor Idayu, demi menampung kos kehidupan mereka, dia kini berniaga sambilan secara dalam talian bagi mendapatkan wang tambahan.

“Dengan berniaga dalam talian, dapatlah wang sikit-sikit, bagaimanapun ia hanya cukup-cukup untuk Ieman, sedangkan saya memiliki tanggungan lain termasuklah seorang anak kurang upaya (OKU)," jelasnya.

Sebelum ini, kisah adik Ieman yang terpaksa bergantung hidup untuk meneruskan hidup dengan memakai mesin oksigen sudah dilaporkan media.

Bagi orang ramai yang mahu menghulurkan sebarang sumbangan boleh dibuat melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama ibunya Nor Hidayu Halim (0210029000677695).

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post