Kenyataan Tun Mahathir Bersifat Menghina Penerima BR1M - Dato' Shaiful Hazizy

Kenyataan Tun Mahathir Bersifat Menghina Penerima BR1M - Dato' Shaiful Hazizy



Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai rasuah merupakan satu penghinaan kepada golongan rakyat bawahan.


Ketua Pemuda UMNO Kedah, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mengeluarkan kenyataan bukan berdasarkan pertimbangan akal yang rasional, tetapi lebih kepada emosional melampau, dendam dan kebencian ekstrim. 

"Hakikatnya BR1M adalah insentif kebajikan sosial yang sudah lama diamalkan di Great Britain misalnya melalui pemberian elaun sosial kepada pengangur, ibu tunggal dan juga golongan keluarga yang memiliki ramai anak. 

"Demikian juga mekanisme yang sama diamalkan di Thailand melalui pemberian tunai bagi berbelanja kepada keluarga berpendapatan rendah. "Dalam konteks Belanda dan beberapa buah negara maju insentif diberi melalui kupon makanan, konsep diskrimasi harga dengan penduduk tempatan dapat membeli sesuatu barangan dengan harga lebih murah berbanding warga asing," 

Media tempatan semalam melaporkan Dr Mahathir mendakwa BR1M merupakan satu bentuk rasuah dan dengan itu salah di sisi undang-undang atau satu jenayah. Dalam pada itu tegas Shaiful, Dr Mahahthir juga seharusnya lebih faham BR1M adalah satu mekanisme agihan untuk tujuan kebajikan sosial. 

"Tujuh juta penerimanya pula dengan melibatkan peruntukkan hampir RM5 bilion tidak pernah disaring dari segi ideologi, latar belakang agama, kaum dan fahaman politik. "Kerajaan komited ingin membantu rakyat sehingga ada peningkatan angka yang seharusnya dihargai oleh pihak-pihak tertentu. 

 "Sejak BR1M diperkenalkan tiga tahun lalu tidaklah pula pernah kedengaran ugutan atau kenyataan yang memaksa penerima BR1M agar menyokong parti pemerintah malahan BR1M ini diberikan tanpa pertimbangan sokongan terhadap parti-parti politik tertentu," jelasnya. 

Shaiful turut berharap, Dr Mahathir dan parti pembangkang tidak terus menerus 'mempolitikkan' BR1M yang nyata dapat meringankan beban kewangan rakyat. "Hakikatnya banyak lagi isu ataupun perkara lain yang boleh dipolitikkan selain daripada BR1M. "Justeru tidak timbul soal rasuah kerana istilah rasuah bermakna memberi sesuatu dengan harapan mengharapkan balasan.

"Dalam konteks ini Tun Mahathir bukan sahaja menghina penerima BR1M khususnya dari kalangan B40 malah turut menghina ahli partinya sendiri PPBM dan ahli dari rakatan pakatan yang kita percaya turut tersenarai selaku penerima BR1M," katanya.

Shaiful turut mencabar ahli parti Dr Mahathir dan rakan pakatannya menolak pemberian BR1M jika merasakan kenyataan ketua mereka itu benar.
"Biarlah akhirnya agihan ini dapat diberikan pada orang lain yang lebih tahu menghargai demi memastikan agenda kebajikan sosial kerajaan Barisan Nasional (BN) dapat diteruskan semurni mungkin," ujarnya.
PPBM Hanya Bertaraf Parti Keliru Yang Suka Bersandiwara - KP UMNO Kedah

PPBM Hanya Bertaraf Parti Keliru Yang Suka Bersandiwara - KP UMNO Kedah


PPBM tak perlu main tarik tali isu pemecatan Ainina Saadudin :

Pemuda UMNO Kedah menggesa agar PPBM tidak bermain tarik tali dan berselindung didalam isu pemecatan Ainina selaku Ketua Srikandi.  Kenyataan Dato Dr Shaharudin selaku Setiausaha Agung PPBM yg mendakwa Ainina sebenarnya belum dimuktamadkan sebagai Ketua Srikandi PPBM adalah amat mengelirukan dan langsung tidak dapat diterima. Hakikatnya kenyataan Setiausaha Agung PPBM hanya lah sekadar ingin menutupi isu sebenar "skandal" yang menghantui parti itu.

Pemuda UMNO Kedah juga ingin menyimpulkan sekiranya status Ainina sebelum ini hanyalah sekadar menyelaras dan memantau gerak kerja Srikandi, Bagaimana pula dengan status Syed Saddiq sebagai Ketua Armada? Rata-rata semua sedia maklum bahawa Syed Saddiq sendiri menghadiri pelbagai majlis ceramah atas kapasiti beliau sebagai "Ketua Armada" PPBM.

Pemuda UMNO Kedah ingin menegaskan bahawa insiden PPBM yg terbaru ini jelas menunjukkan bahawa mereka bukan sebuah parti yang wajar diberi kerusi dan mandat untuk menjadi wakil rakyat disesuatu kawasan. Belum  pun setahun ditubuhkan, PPBM mula diselubungi masalah dan skandal yang mula menghakis keyakinan rakyat. Nyata PPBM tidak sebersih yang disangka, dan Pemuda UMNO Kedah menggesa agar kepimpinan PPBM tidak seharusnya mendabik dada bahawa mereka lebih baik daripada UMNO.

Pemuda UMNO Kedah juga menggesa agar Presiden dan Timbalan Presiden PPBM tampil mengeluarkan kenyataan menangkis skandal yang menyelubungi Ainina, sebagai sebuah parti yang mengaku bersih dan telus, kedua-dua mereka seharusnya berani tampil dan buat penjelasan, dan bukan sekadar Setiausaha Agung yang bertindak menjadi "punching bag".

Dato Shaiful Hazizy Zainol Abidin
Ketua Pemuda UMNO Negeri Kedah
Harga Getah Melonjak RM4.80,Pusat Belian Getah Di Pokok Sena Jadi Tumpuan

Harga Getah Melonjak RM4.80,Pusat Belian Getah Di Pokok Sena Jadi Tumpuan



POKOK SENA – Peningkatan harga getah di pasaran bukan sahaja melegakan puluhan ribu pekebun kecil tetapi turut menguntungkan pembeli getah berlesen yang terdapat di setiap daerah.

Tinjauan di pusat belian getah di Kampung Bendang Mukim Lesong, di sini mendapati, pemilik premis, Mohd Saidi Saad, 46, sibuk membeli getah skrap dari pekebun yang datang sejak awal pagi.

Saidi berkata, sejak premis itu beroperasi 20 tahun lalu, kenaikan harga getah kali ini adalah yang kedua selepas tahun 2010 yang ketika itu mencecah RM7 sekilogram.

Berikutan itu, pusat beliannya kini menjadi tumpuan sehingga pembelian getah skrap bagi bulan ini meningkat sekali ganda.




Sebelum ini, pembelian getah skrap hanya sekitar tiga hingga empat tan seminggu, namun selepas kenaikan harga getah sehingga mencecah RM4.80 sekilogram sekarang, jumlah pembelian mencecah kepada tujuh hingga lapan tan, katanya.

Saidi menambah, bagi membolehkan hasil getah di beli sebanyak mungkin dari pekebun, beliau mengambil inisiatif mengupah beberapa orang pelajar yang masih bercuti untuk mengangkut getah-getah skrap dari kebun ke pusat beliannya.

“Ada penoreh tidak mempunyai kenderaan dan yang telah berumur dan tidak mampu mengangkut guni getah yang berat itu, jadi saya mengupah anak-anak buah ini untuk membawa hasil ini agar ia tidak dibiarkan tanpa dijual,” katanya.




Dalam pada itu, seorang pekebun getah, Omar Manaf, 50, dari Kampung Budi di sini, berkata, beliau sangat bersyukur kesempitan hidup yang dialami sebelum ini dapat dikurangkan.

Jika sebelum ini, beliau hanya mampu meraih sekitar RM200 seminggu untuk 100 kilogram getah skrap yang dijual, namun pada hari ini, hasilnya mencecah RM400 yang tentunya memberi rahmat buatnya dan keluarga.

“Saya berharap harga getah ini akan terus melambung tinggi supaya hasil yang lebih ini dapat dimanfaatkan untuk membeli keperluan hidup lain dan menampung perbelanjaan keluarga ketika tibanya musim hujan,” katanya.-Bernama
Tuanku Abdul Halim Sentiasa Dalam Ingatan Rakyat

Tuanku Abdul Halim Sentiasa Dalam Ingatan Rakyat



Tempoh lima tahun pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah meninggalkan pelbagai memori kepada rakyat.

Sikap baginda berdua yang sentiasa prihatin membekaskan rasa sayang di hati rakyat pelbagai kaum di negara ini sehingga sanggup hadir di Jalan Parlimen bagi menzahirkan perasaan mereka.

Mereka sanggup datang seawal 7 pagi tadi untuk mengucapkan selamat jalan kepada pasangan diraja yang berangkat balik ke Kedah selepas menamatkan penggal pemerintahan, Isnin.

Kakitangan kerajaan, Noor Azizan Abd Rahman, 57, menyifatkan Malaysia  memiliki pemimpin berdedikasi dalam mengetuai tampuk pemerintahan negara.

Noor Azizan berkata baginda merupakan pemimpin berjiwa rakyat yang sentiasa berusaha memastikan institusi diraja memainkan peranan dalam membela nasib rakyat serta soal pembangunan negara.

"Saya masih ingat titah baginda sempena ulang tahun ke-88 keputeraannya di Istana Anak Bukit (Kedah) di mana antara intipatinya ialah menyeru anggota kerajaan (negeri) terus mencari jalan meringankan beban rakyat dengan peningkatan kos sara hidup.

"Secara peribadi, saya amat menyanjung tinggi keprihatinan baginda serta bangga kerana mempunyai seorang pemimpin yang cukup berdedikasi dalam menjalankan tanggungjawabnya," katanya kepada Bernama, di sini, Isnin.




Seorang guru, R. Parameswary, 45, pula menyifatkan Tuanku Abdul Halim sebagai berilmu, lemah lembut, merendah diri, namun pada masa sama mengambil berat kebajikan rakyat.

"Seluruh negara menjadi saksi bagaimana baginda tanpa penat lelah memerintah negara dengan penuh gemilang disulami rasa sayang kepada rakyatnya," katanya sambil mendoakan kesihatan dan kesejahteraan baginda berdua.

Selain itu, pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Choong Wen, Aily Cheong, 11, amat teruja dapat menjadi antara peserta yang terlibat dalam acara bersejarah seperti itu.

"Saya rasa sangat bertuah sebab buat pertama kalinya dapat bertemu dengan baginda dan sempat melambaikan tangan kepadanya," katanya.

Tuanku Abdul Halim mencipta sejarah apabila menjadi sultan pertama yang memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali, iaitu sebagai  Yang di-Pertuan Agong kelima pada 21 September 1970 sehingga 20 September 1975 dan kali kedua pada 13 Disember 2011 hingga 12 Disember ini.

Baginda akan digantikan oleh Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.
Istiadat Keberangkatan Balik Tuanku Abdul Halim

Istiadat Keberangkatan Balik Tuanku Abdul Halim



KUALA LUMPUR: Hujan lebat pagi tadi mengiringi Istiadat Keberangkatan Balik Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong di Dataran Parlimen, di sini hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah tiba pada jam 8.35 pagi sebaik hujan berhenti.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta pemimpin lain.

Lagu Negaraku kemudian dimainkan oleh Pancaragam Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diketuai Kapten Muhammad Nor Azizan Yahya, diiringi 10 das tembakan meriam.

Yang di-Pertuan Agong kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan Utama Batalion Pertama RAMD seramai 103 ahli dan empat pegawai diketuai Mejar Mohd Izham Ahmad Rashidi dengan diiringi 11 das tembakan meriam.

Istiadat diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, sebelum lagu Negaraku kedua dimainkan.

Baginda kemudian menemui pemimpin negara merangkumi barisan Tun, Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat dan Menteri bagi menerima serta mengucapkan selamat tinggal sebelum berangkat ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Tuanku Abdul Halim menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Ketua Negara untuk kali kedua hari ini dan digantikan dengan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa esok bagi tempoh lima tahun.

Tuanku Abdul Halim menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima pada 21 September 1970 hingga 20 September 1975, sebelum ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 berkuat kuasa 13 Disember 2011. - DAULAT TUANKU -
Masalah Air Selesai, Penduduk Taman Seri Marina Ucap Terima Kasih Pada SADA.

Masalah Air Selesai, Penduduk Taman Seri Marina Ucap Terima Kasih Pada SADA.



ALOR SETAR - Penduduk Taman Seri Marina Fasa 1, 2 dan 3 mengucapkan ribuan terima kasih kepada Syarikat Air Darul Aman (Sada) yang mengambil langkah proaktif menyelesaikan masalah air di kawasan mereka, baru-baru ini.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Seri Marina, Mohd Anuar Affindi Abd Aziz berkata, pada 23 November lepas, pihak Sada mengadakan suatu mesyuarat bersama penduduk untuk mencapai kata sepakat dalam isu berkenaan.

“Dalam mesyuarat terbabit, pihak Sada yang diwakili Pegawai Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat Sada, Rofedi Sulaiman bersetuju untuk menghantar lori tangki berkapasiti 10,000 gelen ke kawasan kami.

“Air daripada lori tangki berkenaan dimasukkan ke dalam tangki Taman Seri Marina Fasa 1 supaya penduduk di sini mendapat agihan air yang sama,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun, sistem bekalan air di kawasan mereka telah pulih sepenuhnya 28 November lalu dan pihak Sada telah memberhentikan penghantaran air ke situ.

“Bekalan air sudah pulih sepenuhnya dan kerja-kerja membaiki paip bocor di kawasan Fasa 1 juga sudah siap sepenuhnya.

“Saya mewakili penduduk di sini, sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak, terutamanya Sada yang peka dengan masalah kami.

“Penduduk juga sudah tidak merungut malah gembira dapat menjalankan aktiviti harian seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Sada, Datuk Abdul Ghani Zainuddin berkata, tindakan menangani masalah air di kawasan terbabit diambil segera oleh Sada setelah menerima aduan.

“Sada mengambil keputusan membekalkan air dengan lori tangki dan menempatkan tangki statik di beberapa lokasi yang dipersetujui oleh ketua komuniti.

“Bahagian teknikal pula membuat penyelarasan agihan di rangkaian paip utama dan paip agihan dalam taman tersebut,” katanya.

Menurutnya, oleh kerana tangki sedutan di perumahan tersebut berada pada paras rendah berikutan aliran air masuk tidak mencukupi, Sada bertindak memasukkan air ke dalam tangki tersebut dengan menggunakan lori tangki berkapasiti 10,000 gelen.

“Sekarang aliran air masuk ke tangki dari paip utama bertambah baik dan kebanyakan pengguna menerima bekalan dengan sempurna.

“Bagaimanapun Sada masih mengawasi situasi bekalan di kawasan perumahan terbabit dari masa ke semasa,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, kira-kira 450 keluarga dari Taman Seri Marina, Fasa 1, 2, dan 3 mengeluh apabila kawasan mereka terputus bekalan air selama 15 hari.

Keadaan makin tertekan apabila air bersih yang dibekalkan Sada tidak mencukupi sehingga mereka mendapat bantuan air tambahan dari salah seorang kerabat diraja Kedah, Tengku Zahari Tengku Mahmood.-sinar
KHATAN PERDANA MPSP DISERTAI 200 KANAK - KANAK SEKITAR SG PETANI.

KHATAN PERDANA MPSP DISERTAI 200 KANAK - KANAK SEKITAR SG PETANI.

5sertai

SUNGAI PETANI - Seramai 200 kanak-kanak berumur empat hingga 12 tahun menyertai program Khatan Perdana 2016 yang pertama kali dianjurkan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP), di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Badrul Hisham Hashim berkata, penganjuran program membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu perlu diteruskan bagi mengeratkan hubungan dengan anggota masyarakat.

“Amalan berkhatan beramai-ramai yang bagaikan telah menjadi tradisi dalam kalangan orang Melayu terutamanya ketika cuti sekolah ini perlu dikekalkan ke­rana program tersebut terbukti mampu mengeratkan hubungan antara anggota masyarakat.

“Penganjuran program ini me­rupakan salah satu cara untuk PBT mendekati masyarkat setem­pat. Oleh itu, saya berharap penganjuran program oleh MPSP ini dapat dicontohi PBT di daerah lain,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pegawai Daerah Kuala Muda, Md. Nordin Yahya dan Yang Dipertua MPSP, Abd. Rashid Othman.

Program anjuran MPSP itu turut mendapat kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda, Majlis Belia Kuala Muda, Gerakan Belia 4B Kuala Muda dan Sungai Petani Inn.

Menurut Badrul Hisham, pe­nganjuran program yang membabitkan komuniti itu juga sudah pasti dapat menjimatkan kos selain dapat mengembalikan nostalgia bagi golongan tua yang telah melalui peristiwa serupa pada zaman kanak-kanak.

“Kebanyakan mereka yang menyertai program ini adalah anak-anak yang datang daripada keluarga susah. Jadi dengan menyertai program ini secara percuma, sudah tentu keluarga tersebut dapat berjimat RM150 (kos berkhatan).

“Dengan wang yang dijimatkan itu, keluarga terlibat dengan program ini boleh membeli barang-barang keperluan buat anak-anak mereka yang akan memulakan sesi persekolahan baharu pada bulan depan,” ujarnya.-utusan
#PAU 2016 : UMNO DAN BN PERLU BEKERJA KERAS UNTUK PRU14 - PERWAKILAN UMNO KEDAH

#PAU 2016 : UMNO DAN BN PERLU BEKERJA KERAS UNTUK PRU14 - PERWAKILAN UMNO KEDAH


KUALA LUMPUR : "DAP belum berubah, begitu juga perhimpunan kuning. Yang berubah ialah Tun Dr Mahathir," ujar Perwakilan UMNO Pendang yang juga Pencadang Usul Ucapan Dasar Presiden, Datuk Othman Abdul pada Perhimpunan Agung UMNO 2016, .

Malah beliau yang juga Ahli Parlimen Pendang berkata, Bekas Perdana Menteri itu sanggup bersekongkol dengan Lim Kit Siang yang dahulunya didakwa sebagai rasis.

"Tun (Mahathir) tak sayang kita lagi. Dia sanggup (berbaik) dengan Lim Kit Siang yang dia kata rasis. Dia kata (baju) kuning itulah perosak tapi dia sendiri sudah pakai baju kuning,"

Malah, beliau menyangkal dakwaan negarawan itu yang menuduh orang UMNO pemakan dedak.

"Tun kata kita makan dedak. Yang makan dedak itu ayam, itik," katanya.

Dalam pada itu, beliau mempertahankan tindakan kumpulan baju merah yang disifatkan menjadi pertahanan kepada naruah bangsa dan campurtangan asing.

"Tiada baju kuning, tiada baju merah. Terima kasih pada (Ketua Kumpulan Baju Merah) Datuk Seri Jamal Md Yunos dan rakan-rakan. Itu bukan nak gaduh, tetapi nak pertahan maruah bangsa dan tidak mahu campurtangan asing," katanya.

Tambahnya lagi, UMNO sebagai sebuah organisasi harus lakukan apa yang perlu dibuat, dan bukan buat apa boleh dilakukan.

"Saya nak mohon supaya pandangan dari Dr Hisham Al-Talib, katanya perlu buat apa perlu dibuat bukan buat apa boleh dibuat," ujar beliau

Selain itu, beliau menggesa pemimpin turun membantu rakyat bagi memastikan kemenangan UMNO pada Pilihanraya Umum ke-14.

Pada masa sama, beliau bersetuju jika komponen bersama-sama kita dengan UMNO untuk bekerja keras memastikan kemenangan BN.