Syeikh Fadhil Awang Mufti Baharu Kedah


DATUK Syeikh Fadhil Awang, 68, dilantik sebagai Mufti Kedah baru berkuat kuasa Rabu lalu menggantikan Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad yang tamat kontrak.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, beliau percaya Syeikh Fadhil adalah calon yang sesuai untuk diangkat ke jawatan Mufti Kedah bagi menggantikan Syeikh Muhamad Baderudin yang tamat kontrak selepas berkhidmat dengan penuh komitmen sejak 2009 hingga 2017.

“Saya ingin ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Syeikh Fadhil yang mendapat perkenan daripada pihak Tuanku Sultan Kedah untuk dilantik sebagai mufti kerajaan negeri yang baru berkuat kuasa Rabu lalu.

“Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada Syeikh Muhamad Baderudin yang berkhidmat dengan penuh kecemerlangan dalam mengangkat martabat agama Islam di negeri Kedah ke tahap yang ada pada hari ini,” katanya pada kenyataan, tadi.

Syeikh Fadhil dilahirkan pada 18 Jun 1949 di Kampung Pida 7, Jalan Sanglang, Kodiang.

Beliau menerima pendidikan awal di Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan dan Sekolah Agama Pokok Sena, Kepala Batas, Pulau Pinang sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang pengajian tafsir dan ulum al-Quran.

Beliau juga pernah bertugas sebagai Pegawai Penyelidikan Islam Pusat Islam, Jabatan Perdana Menteri pada 1981 hingga 1984.

Beliau kemudian bertugas sebagai guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab di Maktab Mahmud, Alor Setar pada 1984 hingga 2005.

Selain itu, beliau juga dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Kedah pada 2002, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Ahli Lembaga Zakat Negeri Kedah dan Ahli Lembaga Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji/JAKIM.

Lensa Muafakat Kedah

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post