Peluang Strategik Usahawan Tani Tembusi Pasaran Dunia - EXCO Kedah


ALOR SETAR - Para usahawan tani di seluruh negeri ini dipelawa untuk merebut peluang dan menjayakan Kedah Food Valley, sebuah program yang bakal melonjakkan nama negeri Kedah sebagai hub industri makanan negara.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, KFV merupakan inisiatif Kerajaan Negeri yang diambil bagi meningkatkan keupayaan dan menggalakkan pertumbuhan industri makanan ke tahap yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Sehingga kini, Kedah mempunyai seramai 43,611 usahawan tani yang berdaftar di bawah agensi dan mereka menjana hasil jualan kira-kira RM641.8 juta pada tahun lalu. Itu belum lagi termasuk usahawan yang belum berdaftar.

Justeru itu, kita melihat ini merupakan peluang baik bagi mereka. Saya berbesar hati menjemput semua para usahawan khususnya di negeri Kedah untuk bersama kita merebut peluang keemasan untuk memeriakan program Kedah Food Valley ini.

Program berimpak tinggi yang inklusif ini bukan saja dilihat mampu melonjak nama Kedah sebagai hub makanan utama negara, malah ia juga dalam meningkatkan lagi daya saing dan sosio-ekonomi terutama bagi golongan B-40," katanya kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kedah Food Valley telah menjalin kerjasama strategik dengan pemain utama industri pertanian utama dunia seperti Japan International Cooperation Agency (JICA), Chiang Mai Chamber of Commerce dan Obihiro Chamber of Commerce and Industry yang bakal menyediakan kepakaran serta khidmat teknikal.

Selain itu, penyertaan dari pelbagai agensi utama tempatan yang memain peranan penting dalam sektor pertanian, usahawan-usahawan, persatuan, koperasi dan syarikat-syarikat swasta dalam program tersebut juga bakal memberikan sentuhan "ajaib" yang menyeluruh kepada program jangka masa panjang itu.

Jika kita lihat kepada penyertaan dari pakar-pakar yang berpengalaman luas dan terkenal dalam industri pertanian, usahawan-usahawan kita yang menyertai Kedah Food Valley akan menerima manfaat dalam banyak perkara.

Bukan saja dari sudut teknologi dan teknikal, Kedah Food Valley ini menyediakan eko-sistem sokongan industri makanan yang sempurna termasuk research & develoment (R&D), pengumpulan dan pengedaran (CDC), pengurusan kewangan, agensi pembangunan dan peraturan yang efektif.

Dengan penyediaan pasaran tersedia (ready market) yang strategik, usahawan-usahawan kita ini tidak lagi hanya bergantung kepada pasaran domestik, malah amat berpotensi untuk berkembang agresif menembusi pasaran antarabangsa yang lebih luas," ujar beliau.

Menurut Suraya, Kedah Food Valley juga merangkumi program AgroFoodPrenuers di mana para usahawan yang terlibat berinteraksi secara terus antara pembekal, pengilang, pakar-pakar industri makanan dan pelbagai agensi terlibat.

Penglibatan Mardi, KBiocorp, Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Agro Bank juga bakal menyediakan khidmat nasihat serta kepakaran yang dimiliki untuk membantu para usahawan membangunkan perniagaan masing-masing.

Kita juga mewujudkan piawaian standard produk-produk makanan yang dihasilkan mengikut standard antarabangsa di bawah penjenamaan Kedah Food Valley dan kita juga akan membantu mempromosikan produk-produk berkenaan.

Maksudnya, Kedah Food Valley ini boleh dikatakan lengkap. Bermula dari pembekal bahan mentah, pengilang, pembekal, pemasaran, penjemaan, pengiklanan, R&D, khidmat nasihat, teknikal, semuanya terangkum di dalamnya hinggalah kepada end user (pengguna).

Exco Kerajaan Negeri itu juga menjelaskan bahawa program Kedah Food Valley juga akan menyediakan insentif-insentif seperti "double tax deduction", "investment tax allowance", pengecualian cukai korporat" dan sebagainya bagi menggalakkan usahawan melabur.

Kerana itulah kita yakin bahawa Kedah Food Valley ini bakal memberi transformasi besar kepada usahawan-usahawan tani di negeri Kedah untuk pergi lebih jauh, dalam masa yang sama memakmurkan lagi sektor pertanian, penternakan dan nelayan.

Kita amat positif dalam hal ini dan saya secara peribadi menyeru kepada semua usahawan supaya tidak melepaskan peluang yang disediakan Kerajaan Negeri ini. 

Kedah Food Valley bakal menjadi program ikonik kita yang bakal melonjak nama Kedah bukan saja di negara kita, malah ke persada antarabangsa," ujarnya bersemangat memberikan yang terbaik kepada rakyat Kedah.

Suraya berkata demikian ketika ditembual Kedahnews.com dalam satu wawancara eksklusif berhubung Kedah Food Valley, antara program utama yang tersenarai di dalam Bajet Kedah 2018 yang dibentang oleh Menteri Besar, Dato' Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah.

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post