Penyertaan Amiruddin Ke PPBM Gambaran Betapa Bercelarunya Pembangkang - Shaiful Hazizy


Penyertaan Ketua Pembangkang Kedah dari Pas, Datuk Amiruddin Hamzah yang menyeberang ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebenarnya memperlihatkan bukti bahawa pembangkang memang cukup bercelaru apabila berlakunya senario ‘tikam belakang’ antara satu sama lain.

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata berdasarkan kepada apa yang berlaku di Pulau Pinang serta beberapa negeri lain termasuklah di Sabah apabila wakil rakyat Dap bertindak keluar parti dan sebagainya lagi, tidak peliklah dengan apa yang berlaku di Kedah itu kerana jelas pembangkang ini kesatuan mereka yang pudar dan cukup longgar.

Menurut beliau mengambil contoh di Pulau Pinang berhubung isu pengagihan bantuan banjir yang menimbulkan polemik antara ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR dengan sekutunya Dap, itulah budaya mereka yang tidak sehaluan dan penyertaan Amirudin ke dalam PPBM bukan perkara yang memeranjatkan.

“Cuma yang menjadi persoalan kenapa PPBM menjadi pilihan beliau…kenapa tidak menyertai PAN atau PKR atau sekutu yang lain kerana hari ini telah menjadi bualan masyarakat umum PPBM berdepan dengan pelbagai kemelut kepimpinan dan juga pendaftaran mereka dengan RoS yang menimbulkan sedikit masalah baru-baru ini.

“Apa pun itu hak dan pendirian Amirudin untuk memilih menyertai mana-mana parti namun pada masa yang sama bagaimana pula dengan pendirian Datuk Mahfuz Omar. Bila pula mahu mengikut jejak langkah Amirudin?,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Ketua Pembangkang Kedah dari Pas, Datuk Amiruddin Hamzah yang menyertai PPBM.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir selepas menerima borang keahlian Amiruddin.

Shaiful seterusnya menambah tindakan berkenaan bukan menjadi tumpuan dan perhatian Pemuda UMNO negeri berkenaan sebaliknya mereka bertekad untuk terus memberi tumpuan dan perhatian kepada rakyat khususnya pelaksanaan Bajet Kedah 2018.

Begitu juga tambahnya lagi soal pelaksanaan Bajet Persekutuan 2018 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini agar segala perancangan yang terkandung di dalamnya dapat dilaksanakan dan dirancang dengan berkesan untuk rakyat.

“Bagi Pemuda Kedah kita bukan terus-menerus untuk meletakkan garam…bukan mahu meletakkan ‘ajinomoto’ berhubung apa yang berlaku itu. Terpulang kepada Amirudin untuk memilih parti yang sarat dengan masalah tersendiri kerana kita hanya ingin menumpukan tumpuan kepada rakyat.

“Soal bajet cukup penting untuk dirangka dan dilaksanakan sebaik mungkin khususnya daripada soal penyampaian supaya hasrat kerajaan dapat dinikmati oelh rakyat khususnya daripada kumpulan sasaran. Ini yang utama dan yang amat penting bagi Pemuda Kedah,” katanya. - MediaUMNO

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post