Pemeriksaan Kesihatan Berkala Ke Atas Warga Pendidik -  Mahdzir Khalid

Pemeriksaan Kesihatan Berkala Ke Atas Warga Pendidik - Mahdzir Khalid


PADANG TERAP - Warga pendidik disaran menjalani pemeriksaan kesihatan berkala bagi memastikan kesiapsiagaan melaksanakan tugas sentiasa pada tahap terbaik, sekali gus menjamin kelancaran sistem pendidikan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata beliau pernah menyuarakan perkara itu dalam usaha memastikan warga pendidik terus sihat dari aspek mental dan fizikal.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, pemeriksaan kesihatan boleh dilakukan secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) membabitkan pejabat pendidikan daerah (PPD) dan pejabat kesihatan daerah.

"Ia wajar memandangkan warga pendidik hanya menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum diambil bekerja sedangkan tempoh perkhidmatan mereka melangkaui lebih 30 tahun.

"Pemeriksaan ini boleh dilakukan antara tiga hingga empat tahun sekali dengan setiap pemeriksaan peringkat daerah membabitkan 30 warga pendidik.

"Langkah ini perlu bagi mengesan masalah kesihatan yang mungkin timbul seperti masalah mental, stres, diabetes, darah tinggi dan sebarang penyakit, sekali gus membolehkan usaha pencegahan atau rawatan dilakukan segera," katanya selepas majlis bertemu jentera Pusat Daerah Mengundi Parlimen Padang Terap di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan seorang guru sekolah di Kulim dekat sini, yang mengamuk ketika satu mesyuarat guru dan tular dalam media sosial, baru-baru ini.

Susulan kejadian itu, guru wanita berkenaan ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulim Bandar Baharu, hari ini.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan di sini hari ini, berkata tindakan guru wanita itu tidak melambangkan profesionalisme seorang guru.

Mengulas mengenai isu guru terbabit, Mahdzir berkata, beliau memberi tempoh selama lima hari kepada Jabatan Pendidikan Kedah untuk menyiapkan laporan lengkap mengenai insiden berkenaan.

Katanya, siasatan dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian itu.

"Saya tidak mahu komen panjang tetapi kementerian ada peraturan yang menjadi amalan. Maka, saya berharap sebarang permasalahan berkait apa jua isu, perlu diselesaikan secara profesional.

"Insiden itu terpencil kerana kita ada 435,000 guru. Kes seperti guru itu sangat jarang kita dengar.

"Saya harap siasatan tidak mengambil masa selama sebulan. Takkanlah insiden seorang guru, (siasatan) makan masa sebulan," katanya.
BN KEDAH SANGAT BERSEDIA TAMBAH KERUSI DUN DAN PARLIMEN

BN KEDAH SANGAT BERSEDIA TAMBAH KERUSI DUN DAN PARLIMEN

Dengan sasaran menambah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen yang dimiliki sekarang,

Barisan Nasional Kedah memandang pilihan raya umum ke-14 yang akan diadakan bila-bila masa sebagai persiapan terbaik yang pernah dilakukan berbanding pilhan raya umum yang lepas.


BN negeri tidak risau menghadapi pilihan raya kali ini walaupun dikatakan pilhan raya umum ke-14 ini adalah yang paling sengit berbanding sebelum ini, mengambil kira situasi politik semasa dan asakan bertubi-tubi pembangkang.

Pada kali ini BN Kedah menetapkan sasaran menang 28 kerusi daripada 36 Dewan Undangan Negeri, yang sekaligus membolehkan pembentukan kerajaan negeri dengan majoriti melebihi dua pertiga. BN Kedah sekarang mempunyai 20 kerusi DUN.

Dan pada masa yang sama mensasarkan menang 12 kawasan Parlimen berbanding 10 kerusi sekarang bagi menyumbang kepada kekuatan kerajaan pusat.

Pengerusi BN Kedah, YAB Dato' Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah kerap kali melahirkan keyakinan, dengan gerak kerja yang dilakukan di pelbagai peringkat, Kedah akan mampu dipertahankan malahan kemenangan yang akan dilakar adalah lebih baik berbanding dengan PRU-13.

Selaku Menteri Besar, beliau mahu melihat kerajaan negeri mempunyai kekuatan dari segi bilangan kerusi melebihi majoriti dua pertiga. Kali terakhir BN Kedah memiliki majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri Kedah adalah pada pilhan raya umum tahun 2004.

Oleh kerana sasaran yang tinggi, DS DiRaja Ahmad Bashah tidak jemu mengadakan pertemuan dengan jentera parti pelbagai peringkat, melaksanakan pendekatan turun ke bawah bertemu dengan masyarakat dan pada masa yang sama mengarahkan jentera parti bersiap sedia selengkapnya.

DS DiRaja Ahmad Bashah juga tahu saingan kali ini begitu sengit kerana pakatan pembangkang juga sangat mengidam mahu menguasai kembali Kedah, sebab itu sejak dilantik kembali sebagai Pengerusi BN Kedah pada 2016 beliau menumpu usaha memperkukuh pengurusan parti semua peringkat.

Nada yang sama dikongsi Setiausaha BN Kedah Datuk Paduka Md Rozai Shafian yang menjelaskan bahawa BN Kedah telah menunjukkan kerja yang sangat cemerlang sejak dua tahun lepas.

Mengambil contoh beliau berkata pendaftaran jumlah pengundi baru mencapai lebih 90,000 orang hanya dalam masa dua tahun iaitu 2016 dan 2017.

Begitu juga pemantapan jentera peringkat negeri, bahagian dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) semua telah diperkasakan dengan taklimat, latihan, kursus, simulasi, dry run, penaziran bagi memastikan setiap anggota yang terlibat dalam bidang tugas, faham tentang peranan masing-masing.

Proses mempertingkatkan jentera sentiasa dijalankan sehingga tiba hari pengundian kelak.

Pada Md Rozai, yang sangat berpengalaman dalam pilhan raya umum dan pilhan raya kecil, persiapan BN Kedah kali ini adalah paling lengkap dan terbaik yang pernah beliau saksikan dan beliau juga menyaksikan satu semangat yang luar biasa dikalangan jentera untuk mempertahankan maruah parti dari kekalahan.

Kerja perlu diteruskan, seperti mendekati, memberi penerangan, bagi menyakinkan pengundi muda yang membentuk sehingga 48 peratus daripada keseluruhan 1.12 juta pengundi di Kedah.

Apabila bercakap tentang Kedah, tidak boleh lari dari bercakap tentang Parti Bersatu, Md Rozai membuat kesimpulan bahawa parti baru itu tidak banyak memberi kesan kepada BN.

Beliau memberi contoh kawasannya di Pendang “daripada 20 orng yang hadir program parti bersatu hanya sekitar empat orang adalah bekas orang UMNO yang lain dari PKR, Pas dan Amanah”.

Kesimpulannya, Setiausaha BN Kedah itu yakin dengan segala persiapan, semangat, cintakan parti, Kedah tidak akan goyah.

GERAK JIWA RAKYAT KEDAH BERSAMA BN

GERAK JIWA RAKYAT KEDAH BERSAMA BN


MINGGU lalu, satu majlis khas perasmian Jentera Pilihan Raya Negeri Kedah diadakan di Sungai Petani. Kehadiran ahli cukup luar biasa. Ini diakui sendiri oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang merasmikannya, sekali gus menyampaikan ucap utama.

Kita sedia maklum, kekuatan istimewa Hishammuddin adalah kemampuan memberikan ucapan yang bersahaja tetapi mampu membangkitkan semangat yang cukup hangat. Ucap utama tidak meleret namun berjaya menyampaikan pesan pemimpin utama, Datuk Seri Najib Tun Razak - bahawa UMNO dan BN Kedah perlu mempertahan kejayaan dalam PRU akan datang.

Kepada penulis, kekuatan utama UMNO dan BN Kedah mutakhir ini turut berkait dengan tingkah kepimpinan Menteri Besar sedia ada. Sebagai seorang pemimpin yang cukup berpengalaman, YAB Dato' Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah sebenarnya telah menggunakan ruang dan peluang yang ada untuk mengembalikan pentadbiran dan kepimpinan Kedah di landasannya yang tepat.

Sokongan kepemimpinan­ UMNO dan BN negeri kepada Menteri Besar dilihat cukup terurus dan terpimpin. Seluruh jentera UMNO maklum dan faham bahawa tugas mereka perlu dilaksanakan dengan cukup rapi dan teliti.

Agenda ‘Muafakat Kedah’ kini menerjah jauh ke dalam minda dan hati pengundi. Agenda yang jelas, mudah dan berpaksikan rakyat mendapat respon yang cukup luar biasa. Titik sentuh (touch points) Belanjawan Kedah 2018 masih menjadi cakap-cakap positif baik di kedai-kedai kopi, mahupun di masjid dan surau. Inilah asas utama kekuatan jentera BN negeri mutakhir ini.

Lebih menarik lagi, apabila pengumuman Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri seakan cukup selari dengan aspirasi negeri. Banyak perkara positif yang dibentangkan Perdana Menteri memberikan kesan langsung kepada usaha kita menawan hati pengundi.

Antara agenda yang disebutkan di dalam Bajet 2018 (Persekutuan) dan didapati sangat bermanfaat kepada Kedah adalah seperti berikut:

* Pusat Rawatan Kanser Sungai Petani

* Naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi

* Insentif khas pesawah selama tiga bulan (melibatkan lebih 60,000 pesawah di negeri Kedah)

* Menaiktaraf sekolah pondok dan maahaf tahfiz
n Special Border Economic Zone (Bukit Kayu Hitam)

* Memajukan perkhidmatan kardiologi dan kardiotorasik di Hospital Sultanah Bahiyyah

Semua ini, pada hemat dan pandangan penulis, membawa sentimen dan kata hati positif dalam kalangan rakyat. Semua inisiatif Kerajaan Pusat ini akhirnya di­suai jalin dengan usaha bersungguh di peringkat negeri. ‘Agenda Peduli Rakyat’ yang menjadi buah fikiran Menteri Besar akan terus dilaksanakan dengan komitmen yang tinggi oleh jentera pentadbiran negeri.

Perhatian dan fokus kepada generasi muda tidak pernah dihentikan. Usaha menambah ruang akses generasi muda kepada ekonomi diperluas. Tanpa memperlekeh generasi muda yang terlibat dalam perniagaan, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sejumlah hampir RM1 juta untuk penyediaan tapak food truck di Jitra, Sungai Petani, Kulim dan Alor Setar.

Program Tuisyen BARAKAH diteruskan di seluruh DUN di Kedah. Program Internship Mahasiswa Anak Negeri (IMAN) juga terus dilaksana. Briged Sukarelawan Muafakat Kedah diwujudkan di setiap kawasan Parlimen. Insentif kemasukan anak Kedah ke IPTA juga turut dijayakan secara konsisten.

Kesemua ini membulatkan gerak jiwa dan kata hati positif dalam kalangan rakyat di Kedah. Inilah antara punca mengapa acara yang dianjurkan oleh kerajaan negeri dan jentera UMNO/BN di Kedah sentiasa sahaja mendapat perhatian dan sokongan rakyat.

Bagi penulis, jentera kerajaan dan parti di Kedah sudah berada di landasan yang cukup tepat. Retak dan lekang kecil sesama sendiri mesti dikendali dengan baik dan tidak mendatangkan luka kepada hati rakyat. Keinginan dan aspirasi rakyat wajar disesuaikan wajah dan citarasa parti.

Berdasarkan kepada semangat jentera parti dan ‘sikap positif rakyat’ kepada kepimpinan kerajaan dan parti di Kedah, penulis menjangkakan kita dapat kembali menjadi kerajaan dengan jumlah sokongan yang meningkat. Majoriti daripada pengundi di Kedah yang berjumlah hampir 1.2 juta orang - akan memberikan kepercayaan kepada UMNO dan BN.

Negeri tidak terbangun dengan ego peribadi dan kejayaan pentadbiran lampau. Rakyat tidak terbela dengan retorik politik kosong dan dendam kesumat. Kepedulian kepada rakyat bukan boleh dibuat-buat. Kecekapan memimpin bukan berasaskan kepada inti sari fitnah yang dibisikkan ke telinga pengundi.

Di Kedah, cara kepemimpinan Ahmad Bashah kelihatan cukup sesuai dan serasi dengan rakyat. Keinginan dan kemahuan rakyat, dicerakin menjadi agenda negeri yang tersusun kemas. Saat ini, semua jentera, di seluruh 672 Pusat Daerah Mengundi perlu bijaksana menyulam sokongan dan dukungan rakyat kepada BN.

#MuafakatKedah

DATUK SHAIFUL HAZIZY ZAINOL ABIDIN
Ketua Pemuda UMNO Kedah.
BLESS Bantu 9,000 Usahawan Seluruh Negara

BLESS Bantu 9,000 Usahawan Seluruh Negara

Alor Setar - Pelaksanaan program Pembangunan Komuniti Usahawan (BLESS) oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang akan diadakan di enam zon di seluruh negara tahun ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 9,000 usahawan.


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kanan) melancarkan produk 'Fuza Bellezza' pada Program "Building Leaders and Entrepreneurial Society"(BLESS) Zon Utara hari ini. 

Program dua hari itu disertai oleh 1,500 usahawan dan bakal usahawan luar bandar di Zon Utara. BLESS adalah program keusahawanan yang holistik dan komprehensif dengan menyasarkan penglibatan usahawan di semua peringkat mikro, kecil dan sederhana

BLESS yang menjadikan zon utara sebagai lokasi pertama penganjurannya menawarkan ekosistem usahawan dan pendidikan lengkap untuk orang ramai berjinak dalam bidang keusahawanan termasuk mengembangkan perniagaan mereka.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata selain menyajikan program keusahawanan yang holistik, BLESS mempunyai ciri komprehensif, interaktif dan bersifat turun padang dengan menyasarkan pembabitan komuniti usahawan di semua peringkat.


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kiri) diiiringi Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Datuk Mohd Tajudin Abdullah (tiga kiri) dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (kiri) bersalaman bersama sebahagian daripada 600 JKKK yang hadir pada Program Sijil Tadbir Urus Desa INFRA-UNIKL, Zon Utara bersama Memperkasa JKKK/JKKKP/JKKKK Orang Asli di Pusat Konvensyen TH Hotel.

"Program ini memaparkan ekosistem keusahawanan yang lengkap merangkumi pembangunan usahawan dan perniagaan serta sokongan perniagaan dengan ditunjangi modal insan yang ditawarkan institusi pendidikan MARA.

"Melalui BLESS, kita sasar mahu mewujudkan kesedaran supaya lebih ramai terbabit dalam bidang keusahawanan dengan membantu menyediakan kursus dan pembiayaan. Kepada usahawan sedia ada pula, kita mahu bantu mereka menembusi pasaran luar melalui penjenamaan dan pembungkusan.

"Selain bidang keusahawanan, BLESS turut memfokuskan aspek pendidikan kerana ia tidak boleh dipisahkan dengan MARA, dengan pameran pendidikan turut diadakan di sini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.


Penerima Sijil, Pengerusi Jawatankuasa Kampung Orang Asli Batu Gajah, dari kiri, Jasmi A/L Che Dun, Pengerusi Jawatankuasa Kampung Bukit Kaya Kangar dan Pengerusi Jawatankuasa Kampung Persekutuan Desa Putra Bayan Baru, Hallam Shah Abdul Latiff bergambar bersama sijil yang diterima selepas Program Sijil Tadbir Urus Desa INFRA-UNIKL, Zon Utara bersama Memperkasa JKKK/JKKKP/JKKKK Orang Asli di Pusat Konvensyen TH Hotel.

Secara keseluruhan, BLESS Zon Utara menyediakan 40 astaka membabitkan penyertaan usahawan daripada enam kluster perniagaan iaitu makanan dan minuman, pertanian, gaya hidup, kesihatan dan kecantikan, teknologi maklumat dan komunikasi serta perkhidmatan.

Selain BLESS Zon Utara yang diadakan selama dua hari bermula semalam dan disertai kira-kira 1,500 usahawan, program ini turut dirancang diadakan di Zon Timur, Selatan, Tengah, Sabah dan Sarawak sepanjang tahun ini.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, antara tarikan menarik di BLESS adalah usahawan berupaya memohon pinjaman daripada semua skim yang ditawarkan melalui MARA.

Katanya, secara keseluruhannya pada tahun ini, dana sebanyak RM455 juta daripada 12 skim di bawah MARA ditawarkan kepada usahawan bagi membangunkan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Antara skim berkenaan ialah program pembangunan usahawan wanita (DanaNITA); Skim Pembiayaan Kontrak Ekspress (SPiKE); Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM Tekno); Program Rantaian Nilai Industri (PRiN) dan The Baron.

"Melalui BLESS, mana-mana usahawan boleh memohon pinjaman secara terus dan jika produk mereka bagus kita akan luluskan termasuk pinjaman DanaNITA yang ada dana RM35 juta dan hanya RM5 juta digunakan.

"Sehingga kini, seramai kira-kira 62,000 usahawan kita bantu," katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata MARA juga merancang membuka empat lagi 'outlet' runcit MARA Digital di Melaka, Johor, Terengganu dan Kelantan dalam usaha mewujudkan rantaian perniagaan Bumiputera dalam pelbagai bidang.


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kanan) diiiringi Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Datuk Mohd Tajudin Abdullah (dua kiri) dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (kanan) menyampaikan sijil kepada peserta, Ahmad Zahari Mahmud dari Baling pada Program Sijil Tadbir Urus Desa INFRA-UNIKL, Zon Utara bersama Memperkasa JKKK/JKKKP/JKKKK Orang Asli di Pusat Konvensyen TH Hotel.

Katanya, sehingga kini MARA sudah mewujudkan MARA Digital di empat negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Pahang yang menyediakan 110 ruang perniagaan serta memberi manfaat kepada 72 syarikat perniagaan Bumiputera.

INFO BLESS Zon Utara

* 10,000 - sasaran pengunjung

* 28 produk baharu usahawan disasar dilancarkan

* 20 premis ditawarkan kepada usahawan

* 10 produk sedia untuk dieksport

Sumber : BH Online
Pembalakan Dihentikan,Air Tandak Tak Keruh Lagi

Pembalakan Dihentikan,Air Tandak Tak Keruh Lagi

PADANG TERAP - Masalah air tandak keruh dan berkelodak yang menjejaskan bekalan penduduk Kampung Paya Terap, di sini, berakhir selepas kegiatan pembalakan di puncak Hutan Simpan Bukit Perangin di sini, yang menjadi punca pencemaran dihentikan.

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jefrisham Nayan, sekali gus memberikan kele
gaan kepada lebih 200 penduduk yang sememangnya bergantung kepada bekalan air tandak berkenaan untuk kegunaan harian sejak kira-kira 30 tahun lalu.

HUTAN Simpan Bukit Perangin, di Padang Terap. - Foto Sharul Hafiz Zam

"Bekalan air tandak itu digunakan untuk mandi dan membasuh pakaian sahaja, manakala untuk memasak dan minum mereka gunakan air dibekalkan SADA (Syarikat Air Darulaman Sdn Bhd). Bekalan itu penting sebagai tambahan kepada air bersih yang dihantar setiap dua hari oleh SADA sejak beberapa tahun lalu.

"Ada kira-kira 30 rumah yang masih menggunakan bekalan air tandak berikutan bekalan air paip bersih bertekanan rendah, namun apabila aktiviti pembalakan bermula pada Julai tahun lalu, air mula menjadi keruh terutama pada musim hujan.

"Kini penduduk bersyukur kerana aktiviti pembalakan itu dihentikan dan semuanya kembali seperti biasa," katanya.

Isu berkaitan bekalan air tandak tercemar itu didedahkan melalui beberapa siri laporan khas BH sebelum ini, termasuk mengenai kegiatan pembalakan tidak terkawal yang didakwa penduduk menjadi punca pencemaran kepada takungan tandak itu yang dibina sendiri penduduk.

Sumber Video : BH Online


Pencemaran dipercayai berlaku kerana hutan terbabit menjadi kawasan tadahan sumber air kepada kolam tandakan yang dibina penduduk kampung secara gotong-royong pada 1980-an, yang kemudiannya disalurkan ke rumah penduduk menerusi paip bawah tanah.

Jefrisham pada masa sama turut berkongsi khabar gembira apabila pendedahan BH itu yang disusuli aduan penduduk mendapat perhatian banyak pihak.

"Saya difahamkan SADA akan membina sebuah tangki bagi menyalurkan air secara terus kepada penduduk yang masih menggunakan bekalan air tandak, sekali gus menyelesaikan isu gangguan bekalan air di kampung itu," katanya.

Penduduk yang ditemui, Mohd Sobri Ramli, 27, mengakui keluarganya kini kembali menggunakan bekalan air tandak tanpa ragu-ragu, selepas kualiti air yang disalurkan ke kediamannya kembali baik.

"Bekalan air kami sudah pulih sebaik saja aktiviti pembalakan dihentikan, cuma pada musim hujan bekalan air menjadi keruh...perkara ini sudah tidak dapat dielakkan kerana ia kesan daripada aktiviti pembalakan, namun ia tidak sekerap sewaktu aktiviti pembalakan itu rancak berlaku.

"Kualiti air tandak tidak lagi seteruk dulu dan kami masih boleh guna untuk mandi dan basuh pakaian...anak saya yang berusia dua tahun dan enam bulan juga mandi air ini. -BH Online
Kisah Kejayaan Usahawan Jeruk 'Pak Ali' Warnai Karnival Kewangan BNM

Kisah Kejayaan Usahawan Jeruk 'Pak Ali' Warnai Karnival Kewangan BNM


ALOR SETAR - Kisah kejayaan usahawan jeruk terkenal Pulau Pinang, Pak Ali, merupakan antara sorotan utama yang diketengahkan dalam karnival kewangan Bank Negara Malaysia (BNM), bagi berkongsi kejayaannya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengarah Urusan Pak Ali Industries Sdn Bhd, Alias Ali berkata, bermula daripada hanya perniagaan kecil-kecilan dengan berbekalkan wang saku sebanyak RM15, perusahaan Pak Ali kini telah berkembang pesat hingga berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti Brunei, Singapura dan malahan hingga ke Ireland.

Alias berkata kerajaan menerusi agensi-agensinya telah menyediakan banyak insentif kepada PKS untuk membantu mereka mengembangkan perniagaan.

Justeru itu, katanya, syarikat-syarikat tempatan perlu berusaha keras untuk meningkatkan perniagaan mereka agar kekal relevan serta dapat mengekalkan pendapatan mereka.

"Saya dan anak-anak banyak menghadiri kursus-kursus dan program di kendalikan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) umpamanya, dan di situlah kami menimba ilmu untuk memperbaiki kualiti produk dan pada masa yang sama mempelajari perkara baharu.

"Kini semuanya banyak dilakukan secara automatik di mana ianya dapat dikawal melalui telefon bimbit," katanya kepada pemberita pada karnival yang berlangsung selama tiga hari itu yang bermula semalam.

Beliau berkata syarikat itu banyak menggunakan teknologi dalam mempercepatkan proses perniagaannya terutamanya untuk mengira stok dan akaun.

Bagaimanapun, Alias menegaskan syarikat itu masih terus menggunakan tenaga kerja kerana ia mahu berkongsi pendapatan dengan mereka.

"Buah-buahan kami masih lagi dipotong secara manual iaitu menggunakan pekerja tempatan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada teknologi moden. Ini kerana kami mahu membantu meningkatkan taraf hidup orang kampung.

"Bermula dengan pekerja seramai enam orang pada tahun 2009, kami kini mempunyai lebih daripada 400 orang pekerja dan mereka berjaya memperoleh pendapatan sehingga RM3,000 sebulan," katanya.

Alias berkata, selain jeruk buah-buahan sebanyak 28 jenis , syarikat Pak Ali turut menjual produk lain termasuklah dodol, jus buah pala, sos rojak dan sambal ikan bilis.

Menurutnya, syarikat itu kini menjual lebih kurang 300 tan jeruk setiap bulan (berbanding 10 tan pada tahun 2009) melalui 50 stokis di seluruh negara.

Syarikat tersebut pada tahun lepas telah dinobatkan sebagai pemenang utama Anugerah Agropreneur Cemerlang dalam Majlis Anugerah Agropreneur Agrobank (AAA) 2017. - BERNAMA
Pertingkat Kawalan Di ICQS Untuk Kekang PATI - DS Johari Baharom

Pertingkat Kawalan Di ICQS Untuk Kekang PATI - DS Johari Baharom


JITRA - Tahap kawalan keselamatan di pintu sempadan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam perlu dipertingkatkan bagi menghalang lebih ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk dan mendominasi pekerjaan di negeri ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Johari Baharum, berkata kerajaan Malaysia dan Thailand perlu duduk semeja bagi mengatasi perkara itu berikutan pintu sempadan itu akan beroperasi 24 jam pada 2019.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu berkata, beliau bimbang masalah itu akan bertambah apabila Bukit Kayu Hitam dibangunkan sebagai Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) kelak.

"Kes jenayah penyeludupan ini tidak harus dipandang ringan kerana ia boleh menjejaskan keselamatan negara, budaya angkat tangan di ICQS perlu dibendung. Ramai memberi alasan untuk ke Kompleks Bebas Cukai dan masuk ke Thailand tanpa pas sempadan.

"Pas sempadan ini perlu bagi menjamin keselamatan mereka berada di negara jiran, malah ia juga boleh mengekang kejadian penyeludupan migran ke negara ini, jika terlalu ramai PATI, rakyat tempatan sendiri pula perlu bersaing untuk mendapatkan kerja," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis meraikan 56 pelajar dari Kubang Pasu yang akan melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini, hari ini.

Johari berkata, beberapa isu berbangkit mengenai van pelancong Thailand yang dibenarkan membawa pelancong ke negara juga perlu diberi perhatian serius berikutan ia turut menjejaskan pendapatan pemandu teksi dan van pelancong tempatan.

"Sebagai wakil rakyat, saya sentiasa mendengar aduan penduduk yang mencari rezeki di pintu sempadan.

"Kerajaan perlu lakukan sesuatu untuk membantu mereka, rundingan dengan kerajaan Thailand perlu dilakukan supaya masalah ini tidak berlarutan," katanya. - BH Online
150 Murid KAFA Terima Bantuan Persekolahan Sumbangan PKNK

150 Murid KAFA Terima Bantuan Persekolahan Sumbangan PKNK


LANGKAWI - Seramai 150 murid Sekolah Pendidikan Islam/Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (SPI/KAFA) di pulau ini menerima bantuan persekolahan dan wang tunai RM100 setiap seorang sumbangan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Semua sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan dan Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid.

Mohd Rawi berkata, sumbangan seperti itu diyakini dapat membantu mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah dalam sesi persekolahan baharu tahun ini.

"Kita berterima kasih kepada PKNK yang sentiasa prihatin dengan keperluan masyarakat yang memerlukan dan diharapkan ia dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PKNK, Abdul Rahman Abdullah berkata, sumbangan berkenaan adalah sebahagian inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) perbadanan itu.

"Sebelum ini, PKNK juga turut melakukan sumbangan sama kepada 10 kelas SPI/KAFA sekitar daerah Kota Setar," katanya. - BH Online
Sultanah Maliha Ketuai 3 Kerabat Terima Darjah Kedah

Sultanah Maliha Ketuai 3 Kerabat Terima Darjah Kedah


ALOR SETAR - Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff mendahului senarai tiga kerabat yang menerima penganugerahan darjah kebesaran serta gelaran sempena Hari Keputeraan ke-76 Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, hari ini.

Baginda dianugerahkan Darjah Kerabat Kedah (DK) pada istiadat yang berlangsung di Istana Anak Bukit, di sini, pagi ini.


Menerusi istiadat sama, Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff, akan menerima Darjah Seri Paduka Muda Kedah (SPMK).


Sementara itu, Datuk Seri Utama Hajah Haminah Hamidun, akan dianugerahkan gelaran Che Puan Besar Kedah.

Tuanku Sultan Sallehuddin dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah ke-29 pada 12 September lalu, menggantikan almarhum kekanda baginda Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang mangkat.

Baginda Sultan Kedah sebelum ini turut berkenaan menerima Darjah Kebesaran (DK) dari beberapa negeri lain iaitu DK Kelantan pada 30 September lalu, diikuti DK Johor pada 30 Oktober lalu dan DK Perak pada 5 Disember lalu. -BH Online
OIC: Malaysia Hadiri Mesyuarat Bincang Serangan Yaman

OIC: Malaysia Hadiri Mesyuarat Bincang Serangan Yaman

SUNGAI PETANI - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan menghadiri mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membincangkan berhubung isu serangan Yaman ke atas Arab Saudi, Ahad ini.

Beliau berkata, mesyuarat itu yang turut dihadiri semua negara anggota OIC dijadual diadakan di Jeddah, Arab Saudi.

Katanya, beliau juga akan menghadiri mesyuarat sama di Riyadh, Arab Saudi pada Isnin berhubung pencerobohan di Makkah dan Madinah.

NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyampaikan peruntukkan kepada Adun Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain (dua kanan) bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) selepas melancarkan Rapat UMUM BN Kedah di Padang Awam Taman Ria Jaya Sungai Petani. 

"Kita akan bersama-sama Arab Saudi dalam kedua-dua isu ini kerana kita sudah jelaskan pendirian Malaysia berhubung dua perkara ini.

"Justeru saya akan berada di Jeddah dan Riyadh untuk membawa perkara ini, " katanya pada sidang media selepas melancarkan Jentera Barisan Nasional (BN) Kedah, di sini.

Pada masa sama, Hishammuddin berkata, Malaysia tidak menghantar bantuan tentera untuk berperang di Yaman namun bersedia menghantar pasukan membantu dari aspek kemanusiaan atau usaha membaik-pulih negara itu.

"Jadi saya harap tiada pihak yang cuba untuk memutar belit kehadiran saya (mesyuarat OIC) kerana saya sudah menjawab mengenai pendirian Malaysia sebelum ini, " katanya.

Beberapa siri serangan ke atas Arab Saudi oleh pemberontak Yaman bermula pada Julai lalu dengan serangan terbaharu pada bulan lalu di mana Pasukan pertahanan udara Arab Saudi memintas peluru berpandu balistik yang dibedil ke arah Riyadh.

Malaysia sebelum ini menyatakan pendirian akan bekerjasama dengan Arab Saudi untuk mempertahankan kesucian dan kestabilan kota suci Makkah dan Madinah daripada serangan pengganas. - BH Online
Peserta Kelab Tomoi Burung Hantu 'champion' BUFC

Peserta Kelab Tomoi Burung Hantu 'champion' BUFC

Baling Ultimate Fighting Championship (BUFC) berlangsung selama tiga hari berturut-turut itu juga dihadiri hampir 30,000 pengunjung terdiri daripada penggemar sukan tersebut.


Antara kelab dan persatuan yang menyertai pertandingan BUFC adalah kelab-kelab dan persatuan-persatuan yang secara khususnya memberi latihan dan tunjuk ajar berkaitan seni Muay Thai seperti Burung Hantu Delay King Muay Club dari Kedah, Shark Hunter Muay dari Pulau Pinang termasuk kelab Muay Thai tempatan iaitu Kelab Tomoi Siong dan Kelab Tomoi Samboja.

Dalam pertandi­ngan itu, 70 peserta anak tempatan termasuk dari Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Melaka, Johor dan Thailand berkampung untuk pelbagai kategori yang dipertandingkan.

Pemenang utama Prestige Championship Belt, Razif Mohd. Yusof, 29, dari Kumpulan Kelab Tomoi Burung Hantu (Delay King) menyifatkan pertandingan itu memberi peluang kepadanya menguasai teknik dan membina ketangkasan dalam sukan Muay Thai.

Sementara itu, Ahli Parlimen Baling yang turut hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, bakat pengamal Muay Thai perlu digilap dan tidak boleh disia-siakan begitu sahaja.

Abdul Azeez berkata, pihaknya juga berhasrat menjadikan daerah ini sebagai lokasi tumpuan utama sukan Muay Thai, tinju serta silat memandangkan sam­butan yang amat memberangsangkan penduduk. - Utusan Online
Kerajaan Negeri Selesaikan Bil Perubatan Mohd Radzi Di Hospital Amerika

Kerajaan Negeri Selesaikan Bil Perubatan Mohd Radzi Di Hospital Amerika

Kerajaan negeri membantu melunaskan sepenuhnya kos perubatan penjawat awam Kedah, Mohd Radzi Abd Hadi, 56, yang mencecah hampir RM1 juta ketika menjalani rawatan di Hospital Dignity, California selepas mengalami serangan jantung di Amerika Syarikat, 9 Disember lalu.


Akan tetapi, Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, hasil perbincangan antara kerajaan negeri dengan Wisma Putra dan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Amerika Syarikat, pihak hospital bersetuju menurunkan jumlah bayaran daripada RM800,000 (ASD 196,062.02) kepada RM141,000 (ASD 35,000).

“Pembayaran itu hendaklah dilunaskan sebelum 17 Januari, kerajaan negeri telah membuat pemindahan wang sebanyak RM141,000 untuk langsaikan kos rawatan diskaun itu kepada hospital, semalam (16 Januari),” katanya.

Menurutnya, perbincangan melibatkan kerajaan antara kerajaan agar masalah dialami keluarga itu dapat segera diselesaikan.

“Kita minta bantuan Wisma Putra melalui Pejabat Konsulat Jeneral sehingga berjaya peroleh diskaun sehingga 87 peratus. Pihak Konsulat Jeneral turut maklumkan keluarga pesakit akan lunaskan bayaran kos rawatan doktor pakar dengan menggunakan dana terkumpul hasil sumbangan orang ramai,” katanya.

Setakat 15 Januari, jumlah keseluruhan dana terkumpul adalah RM169,515, manakala bil hospital mencecah RM800,000, tidak termasuk bayaran doktor pakar berjumlah RM375,000 (ASD100,000) menyebabkan jumlah keseluruhan mencecah RM1juta.

“Walaupun kerajaan negeri gunakan kos yang tinggi, yang penting kita bertanggung jawab untuk bawa pulang rakyat kita. Ini isu kemanusiaan dan tidak wajar dipolitikkan,” katanya.
Hungary-Kedah Intai Potensi Kerjasama Dua Hala

Hungary-Kedah Intai Potensi Kerjasama Dua Hala



ALOR SETAR - Duta Besar Hungary ke Malaysia, Attila Kali yakin potensi kerjasama antara negaranya dan Malaysia mampu dicapai bagi membangunkan hubungan perdagangan yang lebih kuat khususnya di Kedah.

Menurut Attila, pihaknya melihat peluang yang baik antara Hungary dan Kedah untuk berkerjasama dengan lebih akrab dengan mewujudkan pelaburan dua hala serta pertukaran teknologi khususnya dalam sektor pertanian, pengurusan air, rawatan air sisa dan penyelesaian hijau.

“Tujuan lawatan kerja dua hari ke negeri ini adalah untuk memperkenalkan Hungary kepada kerajaan Kedah dan pemain industri perniagaan. Pada masa sama, kami juga mahu mengetahui keutamaan kerajaan negeri sebelum mengenal pasti peluang kerjasama yang boleh diterokai (antara Hungary dan Kedah).



“Dalam pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah sebelum ini, saya telah berkongsi dengan beliau tentang pencapaian Hungary dan perancangan kami untuk mewujudkan hubungan perdagangan dengan Malaysia khususnya Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Forum Perniagaan Kedah–Hungary anjuran Pusat Pelaburan Kedah (Invest Kedah) dan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Penasihat Invest Kedah, Datuk Dr. Cheah Soon Hai dan Pengurus Besar Invest Kedah, Nor Ehsan Abdul Aziz.

Terdahulu, Atilla mengadakan kunjungan hormat ke atas Ahmad Bashah dengan diiringi Ketua Pejabat Hal Ehwal Ekonomi Kedutaan Hungary di Kuala Lumpur, Dr. Emilia Fabian.

Attila berkata, penganjuran forum tersebut juga membantu pihaknya untuk mendalami keutamaan Kedah sebelum membawa pelabur dari Hungary khususnya ke negeri ini.

“Secara keseluruhan, saya dapat melihat peluang yang baik untuk mengadakan kerjasama erat antara Hungary dan Kedah terutama berkaitan pertukaran teknologi dan pelaburan dua hala antara kedua-dua pihak.

“Saya akan membantu mempromosikan Kedah kepada pelabur Hungary kerana negeri ini mempunyai potensi tinggi yang mana kedudukannya yang dekat dengan Thailand secara tidak langsung mereka dapat melebarkan pelaburan mereka di rantau ASEAN,” ujarnya.

Dalam pada itu, Attila memberitahu, pihaknya akan menawarkan biasiswa kepada 40 orang pelajar Malaysia untuk menuntut di Hungary yang mana ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negara tersebut.

Takungan Baharu Selesai Isu Bekalan Air Bukit Enggang

Takungan Baharu Selesai Isu Bekalan Air Bukit Enggang



SIK - Isu tiga tandak atau kolam takungan atas bukit dibina sebagai sumber bekalan air haram penduduk yang tercemar susulan pembalakan di Hutan Simpan Bukit Enggang, di sini, selesai dengan pembinaan tandak air baharu di Bukit Padang, di sini.

Dengan pembinaan kemudahan baharu hasil peruntukan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah itu, lebih 400 penduduk Kampung Paya Terendam, kini menerima bekalan air yang lebih bersih.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Paya Terendam, Abdul Karim Ahmad, mengakui bekalan air tandak baharu itu dapat dinikmati dengan lebih baik berbanding air tandak yang pernah digunakan sejak 1980-an.



"Sebelum ini kami akui tiga tandak air yang dibina di Bukit Enggang tidak mendapat kelulusan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) menyebabkan ia terdedah kepada pencemaran akibat aktiviti pembalakan.

"Saya mewakili penduduk kampung kesal kerana ada pihak lain cuba mengambil kesempatan, kononnya menyuarakan isi hati kami yang didakwa terjejas akibat aktiviti pembalakan.

"Sebenarnya, kami cuba selesaikan isu ini menerusi saluran betul melalui perbincangan dengan wakil rakyat dan pembalak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika meninjau kawasan pembalakan di Hutan Simpan Bukit Enggang yang didakwa menjadi punca tandak air dibina secara haram oleh penduduk, tercemar.



Berdasarkan maklumat, aktiviti pembalakan membabitkan lebih 500 hektar tanah di kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang sejak pertengahan tahun lalu menyebabkan sumber air di tiga kampung berdekatan tercemar dengan sisa lumpur.

Kampung berkenaan ialah Kampung Balong Ayam, Kampung Durian Burung dan Kampung Paya Terendam.

Abdul Karim berkata, penduduk kampung mengadakan gotong-royong membina tandak baharu pada kedudukan kira-kira enam kilometer dari Hutan Simpan Bukit Enggang dan bekalan air dapat disalurkan kepada 90 rumah di kampung itu.

Penduduk, Abdul Halim Ghani, 43, berharap pihak berkepentingan tidak akan menggunakan nama penduduk kampung untuk terus memanipulasi isu mengenai bekalan air tercemar di kampung itu.

"Hanya penduduk kampung ini yang terjejas akibat pencemaran tiga tandak air di Bukit Enggang, sedangkan tandak air di Kampung Balong Ayam masih dalam keadaan baik.

"Lebih baik dapatkan maklum balas orang kampung terlebih dahulu sebelum membuat spekulasi mengenai isu ini," katanya.





Seorang lagi penduduk, Mohd Nordin Khamis, 48, berterima kasih kepada MBI kerana menyediakan bekalan air tandak baharu yang lebih bersih dan mampu mengalirkan air dengan lebih baik.

"Sebagai penduduk di sini, bekalan air tandak sangat penting kerana ia dapat mengurangkan penggunaan air yang dibekalkan Syarikat Air Darul Aman (SADA) seterusnya menjimatkan bil air," katanya.

Terdahulu, tinjauan bersama pegawai MBI, JPNK dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di kawasan pengumpulan balak Bukit Enggang, mendapati kerja pembalakan itu sudah dihentikan seperti arahan dikeluarkan dua bulan lalu.
Hospital Langkawi Pertama Miliki Khidmat Ambulans Udara

Hospital Langkawi Pertama Miliki Khidmat Ambulans Udara

LANGKAWI: Hospital Langkawi (HL) menjadi hospital pertama di negara ini menyediakan perkhidmatan ambulans udara untuk pemindahan kecemasan pesakit.

Helikopter Airbus H135 9M-DRA untuk tujuan itu mula beroperasi hari ini, sekali gus menamatkan penantian sekian lama penduduk tempatan dan pelancong untuk memastikan pemindahan pesakit kes kecemasan dari pulau ini ke tanah besar, ditangani dengan cepat dan pantas.


Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata pesawat terbabit bersedia membawa pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar atau mana-mana hospital lain.

"Perkhidmatan ini disediakan secara kontrak selama dua tahun dengan kerjasama Aerial Power Lines Sdn Bhd (APL) dan fokus kepada kes kecemasan sahaja," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Ambulans Udara di HL di sini, hari ini.

Dr Hilmi berkata, sebanyak RM10 juta setahun bakal dibelanjakan untuk menampung kos operasi ambulans udara itu, membabitkan 40 jam penerbangan bagi membawa pesakit pergi dan balik dari HL ke tanah besar.

"Berdasarkan rekod, sebanyak 20 kes kecemasan perlu dirujuk ke HSB setiap bulan. Sebelum ini, HL menggunakan feri penumpang dan ambulans laut dengan tempoh perjalanan sehingga empat jam yang turut terganggu ketika musim tengkujuh.

"Walaupun perbelanjaan untuk menyediakan perkhidmatan ambulans udara ini agak lebih, ia penting untuk menyediakan perkhidmatan lebih baik, malah memberi keistimewaan tersendiri kepada 120,000 penduduk dan lebih empat juta pelancong setahun yang datang bercuti di Langkawi," katanya.

Beliau berkata, dari segi teknikal, ruang helikopter boleh menempatkan dua anggota perubatan dan seorang pesakit berbaring, selain dilengkapi peralatan canggih untuk menangani kes kecemasan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, HL bakal memperoleh sebuah bangunan baharu yang dilengkapi peralatan canggih untuk menampung jumlah pesakit dan mengelakkan kesesakan untuk mendapatkan rawatan.

"Pembinaan sebuah bangunan baharu yang tapaknya sudah dikenal pasti dan dilengkapi peralatan canggih bernilai RM500 juta itu bakal meningkatkan kapasiti kepada 340 katil, berbanding 190 katil ketika ini.

"Peruntukannya sudah diluluskan dan proses pembinaan bermula tahun ini sebelum siap dalam tempoh tiga tahun. Sasarannya untuk menempatkan sekurang-kurangnya 15 pakar perubatan di sini, berbanding hanya tujuh ketika ini," katanya.

Pada akhir majlis, Hilmi turut menyaksikan simulasi membawa pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan ke tanah besar menggunakan ambulans udara dengan helikopter diterbangkan Kapten Khairil Azwan Jamaludin.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan; Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail dan Pengarah HL, Dr Mansor Ismail. -BH Online
Sultan Kedah Dahului Senarai Penerima Darjah Kebesaran

Sultan Kedah Dahului Senarai Penerima Darjah Kebesaran


KUALA PILAH: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, mendahului senarai 693 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Keputeraan Ke-70 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, hari ini.

Sultan Kedah dianugerahkan Darjah Kerabat Negeri Sembilan, darjah kebesaran tertinggi dianugerahkan kepada Raja atau Raja Permaisuri yang memerintah, pada istiadat pengurniaan di Istana Besar, Seri Menanti, di sini.

Anakanda Tuanku Muhriz, Tunku Zain Al-Abidin, pula dianugerahkan Darjah Seri Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Terbilang (SSTM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Dr Awaludin Said dan Aktivis Keamanan Dunia, Datuk Dr Ronald Stephen Mccoy, menerima Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang turut membawa gelaran Datuk Seri.

Seramai tujuh orang menerima Darjah Dato' Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Datuk, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Abu Samah Mahat; Hakim Mahkamah Tinggi Seremban, Abu Bakar Jais.

Pegawai Kewangan Negeri Sembilan, Datuk Johani Hassan; Pakar Perunding Perubatan Hospital Assunta, Dr Suresh Raj Lachmanan serta ahli perniagaan, Hamie Appala Nakkiah; Lim Hoe dan Mohd Azzarain Abdul Aziz.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datin Faizah Jamaludin, pula penerima tunggal Darjah Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Gemilang (DSTM) yang membawa gelaran Datuk.

Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang turut membawa gelaran Datuk dianugerahkan kepada 25 orang, antaranya Pegawai Kemajuan Negeri Sembilan, Ali Luman; Pengurus Besar, Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan, Baharudin Jali.

Penerima DBNS lain ialah Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Kamal Amran Kamarudin; Timbalan Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Nasarudin Malek; Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin.

Panglima 1 Briged, Brig Jen Reduan Omar; Timbalan Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Dr Roshada Hashim; Pengerusi Persatuan India Muslim Negeri Sembilan, Syed Mohd Ali Syed Mohamed dan Pegawai Daerah Jempol, Zazali Salehudin.

Selain itu, seramai 31 orang menerima Darjah Setia Negeri Sembilan; Darjah Tuanku Muhriz (dua); Darjah Pekerti Terpilih (18); Ahli Setia Negeri Sembilan (109); Setiawan Tuanku Muhriz (satu); Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (173); Pingat Jasa Kebaktian (291); Pingat Khidmat Lama (16) dan Bentara Tuanku Muhriz (15).
Kutipan Hasil Kerajaan Meningkat Sehingga 15% Berbanding Tahun Lepas

Kutipan Hasil Kerajaan Meningkat Sehingga 15% Berbanding Tahun Lepas

YAB Menteri Besar, Dato' Seri DiRaja Ahmad Bashah bin Md Hanipah mengumumkan kenaikan hasil pendapatan kerajaan negeri sekitar RM150 juta, iaitu kenaikan 15% berbanding kutipan tahun lepas, RM601 juta.

Malah kutipan hasil pendapatan negeri 2017, iaitu RM750 juta itu juga lebih tinggi berbanding anggaran awal iaitu RM734 juta.


Beliau berucap demikian semasa memberi amanat 2018 kepada kakitangan Kerajaan negeri pada Perhimpunan Bulanan Kakitangan Kerajaan Negeri, di Wisma Darulaman pagi tadi.

YAB Menteri Besar juga memuji prestasi kakitangan Kerajaan negeri yang dianggap beliau sebagai berpencapaian cemerlang. Bagi tahun 2018 pula, YAB Menteri Besar Kedah memberi amanat kepada kakitangan kerajaan negeri agar mempertingkatkan lagi usaha supaya lebih cemerlang.
Ziarah Umara Menyantuni Ulamak

Ziarah Umara Menyantuni Ulamak


Petang semalam YAB Menteri Besar Kedah, Dato' Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah meluangkan masa menziarahi Y.Bhg Dato' Hj Ahmad bin Hj Md Nor @ Dato' Pak Teh Mad, Pengasas Pondok Ahmadiah di Kampung Pisang, Kuala Nerang.

Turut bersama YB Dato' Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan merangkap Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, YB Badrol Hisham Hashim ADUN Kuala Nerang, YB Kama Noriah Ibrahim ADUN PEDU dan Datuk Bandar Alor Setar.

Mengunjungi dan menziarahi alim ulama bukan sahaja merupakan perbuatan yang baik, bahkan sangat dianjurkan oleh Islam. Selain daripada menunjukkan penghargaan terhadap golongan alim ulama bahkan ada nasihat yang pasti akan diberikan oleh golongan terbabit seandainya kita sudi mendengar.

Tanpa pelu berjubah, berkopiah putih atau sangkut serban atas bahu dan berjubah putih bertasbih ditangan, malah tanpa sebarang media yang hadir sama, YAB Menteri Besar Kedah, Dato' Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah bersama rombongan menziarahi Ulama Tertua di Negeri Kedah Darul Aman.








Kedah sudah lama menjadi pusat pengajian agama semenjak dari zaman Sultan Muzaffar Syah 1 lagi. Bahkan tempat seperti Langgar yang bermaksud madrasah atau tempat pengajian selain Sik, telah menjadi tumpuan pengajian agama dan penyebaran agama Islam semenjak zaman Kedah Tua lagi.

Bahkan pada zaman moden, pada zaman pentadbiran YB DS Mahawangsa Mahdzir Khalid sebagai Menteri Besar Kedah, aliran pendidikan pondok dinaiktarafkan dengan kewujudan KUIN. Peralihan pentadbiran kepada PAS turut menyaksikan pertumbuhan yang lebih besar yang dirancangkan untuk KUIN. Bagaimanapun, apabila Mukhriz mengambil alih tampuk pentadbiran negeri, pertumbuhan itu terencat sekalipun Mukhriz cuba mempamerkan yang dia menyebelahi golongan pondok. walaupun pada hakikat tahu Mukhriz hanya bersandiwara.




Namun apabila Anak Watan Kedah diangkat sebagai Menteri Besar Kedah, DS Diraja Ahmad Bashah Md Hanipah kembali menjalinkan hubungan yang sebenar-benarnya dengan golongan pondok. Mereka bukan sahaja dibantu dengan pelbagai peruntukan tetapi juga diziarahi tanpa perlu DS Diraja Ahmad Bashah berkopiah putih, atau menyangkutkan kain serban di atas bahu dan berjubah putih bertasbih ditangan. Keperluan dan kebajikan masyarakat pondok menjadi salah satu keutamaan Ahmad Bashah dan pentadbirannya.

Semalam 13 Januari 2018, DS Diraja Ahmad Bashah menyantuni lawatan dan ziarah ke kediaman Tuan Guru Agama yang sangat berpengaruh di Kedah. Lawatannya ke Pondok Ahmadiah disambut sendiri oleh Tuan Guru Dato' Hj Ahmad bin Hj Md Nor @ Dato' Pak Teh Mad yang merupakan pengasas Pondok Ahmadiah.

Turut hadir bersama-sama YAB DS DiRaja Ahmad Bashah adalah ahli rombongan seramai 60 orang yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin UMNO Kedah. Antara mereka termasuklah YB DS Mahawangsa Mahdzir Khalid yang merupakan Ahli Parlimen Padang Terap, YB Dato' Badrol Hisham Hashim yang merupakan ADUN Kuala Nerang, YB Kama Noriah Ibrahim yang merupakan ADUN Pedu, Saudara Mohd Nizam Wahab yang merupakan Pemangku Ketua Pemuda UMNO Padang Terap dan Che Arfah Ariffin yang merupakan Ketua Wanita Padang Terap.

Turut hadir bersama, Ketua Polis Daerah Padang Terap Noh bin Idris dan Pegawai Daerah Padang Terap Fatullah bin Suhaimi Dan Ybhg Dato' Hj Mohd Zohdi Hj Saad, Datuk Bandar Alor Setar.

Tuan Guru Dato' Hj Ahmad bin Hj Md Nor @ Dato' Pak Teh Mad sebelum ini dikhabarkan sedang uzur akibat sakit tua. Ziarah oleh rombongan Menteri Besar adalah bertujuan untuk bertanya khabar dan mahu melihat sendiri keadaan guru agama yang sangat berpengaruh itu serta merupakan salah seorang golongan Ulama tertua yang masih berada di Negeri Kedah.

Alhamdulillah, keadaan Tuan Guru Dato' Hj Ahmad bin Hj Md Nor @ Dato' Pak Teh Mad bertambah baik. Bahkan dia boleh beramah mesra dan ketawa bersama-sama hadirin yang menziarahinya.








#MuafakatKedah
#ZiarahUmaraMenyantuniUlamak




2,000 Kelas Pintar PAK-21 Bermula Sepenuhnya Mac Ini - Mahdzir Khalid

2,000 Kelas Pintar PAK-21 Bermula Sepenuhnya Mac Ini - Mahdzir Khalid


PADANG TERAP - Sebanyak 2,000 bilik darjah di sekolah seluruh negara akan mengaplikasikan konsep kelas pintar melalui program Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) sepenuhnya menjelang Mac ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelaksanaan program tersebut bertujuan memperkasakan proses pe­ngajaran dan pembelajaran (PdP) dengan berpandukan teknologi terkini melibatkan peruntukan berjumlah RM190 juta.

Katanya, setakat ini, PAK-21 te­lah dilaksanakan di tiga buah sekolah iaitu Kolej Tunku Kurshiah, Bandar Baru Enstek dan Sekolah Datuk Abdul Razak, Seremban di Negeri Sembilan dan Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, Selangor.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018 lalu memberi peruntukan untuk fasa pertama pembinaan kelas pintar PAK-21 ini di 2,000 bilik darjah dengan peruntukan RM190 juta.

“Ia akan dilaksanakan di sekolah kebangsaan (SK), sekolah mene­ngah kebangsaan(SMK), sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT),” katanya selepas majlis Penyampaian Sumbangan Baucar Peralatan Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Syed Ahmad Kuala Nerang di sini hari ini.

Mahdzir berkata, peruntukan berkenaan adalah untuk menaik taraf bilik darjah di sekolah terbabit dengan papan mengajar pintar, kerusi serta meja canggih dan komputer riba.

Tambah beliau, sekolah-se­­ko­lah yang terpilih untuk melaksana­kan kelas pintar berkenaan dikenal pasti oleh Jabatan Pendidi­kan negeri (JPN) masing-masing.

“Ini adalah permulaan, kita akan bahagikan peruntukan itu kepada JPN untuk laksanakan kelas pintar ini.

“Pemilihan sekolah berkenaan bergantung kepada JPN yang akan mengenalpasti sekolah-sekolah berkenaan di bandar dan luar bandar,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mahdzir berkata, PAK-21 merupakan transformasi dalam dunia pendidikan iaitu daripada PdP secara konvensional kepada PdP yang lebih dinamik dan kreatif sesuai de­ngan perkembangan semasa.

“Semua guru perlu bersedia untuk melaksanakan PdP abad ke-21 menggunakan teknologi terkini seiring dengan perubahan pesat dunia digital. Sebagai contoh, dulu guru menggunakan papan putih tetapi kini smart board (papan putih interaktif) ditambah dengan alat peranti,” katanya.

Tambah beliau, program berkenaan mampu mempercepatkan proses PdP dalam bilik darjah. - Utusan Online

Ketenangan Desa Di Ladang Agro Semeliang

Ketenangan Desa Di Ladang Agro Semeliang


PADANG TERAP - Mahukan percutian di desa sambil mendidik anak-anak mengenai rasa cinta terhadap alam dan haiwan? Cubalah berkunjung ke Ladang Agro Semeliang yang terletak di Kampung Semeliang, Kuala Nerang dekat sini.

Terletak hanya kira-kira dua kilometer dari Pekan Kuala Nerang, percutian di situ mampu menawarkan ketenangan kepada golongan dewasa dan keceriaan kepada anak-anak kecil.

Keseronokan buat anak-anak kecil itu sebenarnya boleh ‘terpancar’ sejak dari mula anda meletakkan kenderaan lagi.

Jika bernasib baik, turun saja dari kereta, Abu si penyambut tetamu ‘mungkin’ memberi salam dengan suara yang cukup lunak.

Mengapa mungkin? Sebabnya semua itu bergantung kepada ‘mood’ Abu yang merupakan seekor burung kakak tua comel berwarna kelabu daripada baka African Grey yang mampu meniru percakapan manusia sekali gus mendatangkan kekaguman buat anak-anak kecil.

Bermula dari situ, teruslah menjelajah ke kawasan kiri dan kanan kerana terdapat lebih 10 ekor ‘rakan-rakan’ Abu yang datang dari serata negara dengan pelbagai warna menarik sedia ditatap dari jarak dekat antaranya burung kakak tua jenis red lory dan suncornia.

Sesudah itu, bawalah anak-anak anda bermesra dengan Atan, Mike, Ibu, Minah dan Awang juga bukanlah manusia sebaliknya rusa yang menjadi tarikan utama di situ.

Jangan bimbang, semua rusa sambar itu jinak-jinak belaka dan anda sekeluarga tidak akan berdepan masalah untuk memang­gil Atan, Mike, Ibu, Minah, Awang mahupun puluhan rusa lain yang ada di situ untuk datang ke tepi sangkar bagi diberikan makan.

Tidak cukup dengan itu, anak-anak kecil berpeluang menaiki kuda padi, ‘berkenalan’ dengan 10 jenis ayam yang juga datang dari serata dunia serta mandi manda di kolam yang terletak dalam kawasan ladang tersebut.

Menurut pengasas dan pengurus lokasi percutian tersebut, Nor Azhar Mohd. Noor, seboleh mungkin dia mengimpikan supaya pe­ngunjung terutama kanak-kanak dapat mempelajari sesuatu setiap kali berkunjung ke situ.

“Semua ini sebenarnya bermula daripada hobi saya yang suka membela haiwan. Sebelum ini saya bekerja sebagai jurutera sebelum membuka syarikat pembinaan sendiri.

“Pada 2005, saya mula membela kambing, kemudian pada 2008 saya mula belajar menternak rusa daripada penternak kecil-kecilan di Tualang dekat sini yang menyebabkan rasa minat pada haiwan itu kian bercambah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, bagi mendalami ilmu menternak haiwan, dia sanggup untuk menjelajah ke seluruh tanah air sebelum ke Australia bagi berguru dengan individu yang benar-benar pakar.

“Lama-kelamaan jumlah rusa yang saya bela kian bertambah dan kawan-kawan yang sama terlibat dalam bidang ini pun kian ramai sehingga membolehkan kami bekerjasama dalam pelbagai aspek,” katanya.

Mengulas mengenai ladangnya itu, dia berkata tempat itu mula melalui transformasi menjadi lokasi percutian apabila terdapat permintaan masyarakat luar yang ingin membawa keluarga bermalam di situ beberapa tahun lalu.

“Setelah mempunyai sedikit kepakaran dalam menternak rusa, saya bersama rakan-rakan seringkali mengadakan seminar atau kelas untuk individu berminat. Mulanya kami buat di premis berdekatan namun setelah beberapa ketika, kami mula melaksanakannya di ladang ini.

“Lama-kelamaan terdapat permintaan peserta seminar dan masyarakat luar mahu membawa keluarga bercuti di sini. Memandangkan ada sambutan menggalakkan, kami membina resort yang kini mempunyai enam bilik yang selesa untuk percutian seisi keluarga,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut mengenai lokasi percutian itu boleh didapati di laman Facebook Semeliang Agro Farm atau Semeliang Village Resort.













PKR Tak Hadir Beri Sokongan Pencalonan Mahathir Sebagai PM

PKR Tak Hadir Beri Sokongan Pencalonan Mahathir Sebagai PM


PKR Selangor tidak hadir di sebuah persidangan media Pakatan Harapan Selangor. Persidangan media tersebut dihadiri oleh  Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim; Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua dan Pengerusi Bersatu Selangor, Abdul Rashid Asari.

Ketiga-tiga pemimpin negeri itu turut menyeru semua pihak bersatu hati dan tekad demi pilihan raya umum.

Ini adalah kenyataan terbuka kedua yang tidak senada dengan PKR Selangor selepas sayap pemuda PKR Selangor sendiri membuat pendirian yang bertentangan dengan parti negeri, menyokong pencalonan Dr Mahathir jadi perdana menteri PH.

Konvensyen PH di Shah Alam pada Ahad lalu mengumumkan kata sepakat empat parti yang bergabung, antaranya, mencalonkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri apabila menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Pada malam yang sama selepas pengumuman PH itu, PKR Selangor melalui Ketua Biro Komunikainya, Hizwan Ahmad menyatakan tidak setuju dengan penamaan Dr Mahathirsebagai calon perdana menteri PH.

“Dengan saki baki ruang demokrasi dan kebebasan bersuara yang ada, PKR Selangor dengan ini melahirkan rasa terkilan dan kecewa dengan pengumuman calon perdana menteri Pakatan Harapan,” kata Hizwan dalam satu kenyataan.
Hampir 5 juta pelajar mulakan sesi persekolahan 2018

Hampir 5 juta pelajar mulakan sesi persekolahan 2018

Seramai 4.65 juta pelajar sekolah rendah dan menengah mendaftar pada sesi persekolahan 2018, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, 2.66 juta adalah murid sekolah rendah manakala 1.99 juta pelajar sekolah menengah.

Kerajaan menyasarkan penyertaan prasekolah dalam kalangan kanak-kanak berusia empat dan lima tahun ke atas meningkat, masing-masing kepada 80 dan 94 peratus tahun ini.

Mengenai kadar keciciran pelajar di sekolah menengah, Mahdzir berkata, peratusan keciciran murid di sekolah menengah menurun daripada 1.6 peratus (2016) kepada 1.36 peratus (2017).

"Kementerian akan meneruskan usaha mengurangkan kadar keciciran murid di semua peringkat sekolah terutamanya di sekolah menengah dengan sasaran penurunan kepada 1.3 peratus tahun ini," katanya. - BERNAMA
Hanya RCI Mampu Bongkar Kisah Sebenar Memali

Hanya RCI Mampu Bongkar Kisah Sebenar Memali


ALOR SETAR - Pakatan pembangkang perlu berjanji merungkai kebenaran di sebalik tragedi Memali, dengan memastikan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk insiden berdarah itu diteruskan, sekiranya mereka ditakdir memegang tampuk pentadbiran negara.

Pengalisis politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar, berkata perkara itu penting sekiranya pakatan pembangkang benar-benar mahu menubuhkan sebuah kerajaan bersih selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), terutama selepas mengumumkan nama Tun Dr Mahathir Mohamad, yang didakwa sebagai individu penting di belakang insiden Memali, sebagai calon Perdana Menteri.

Beliau berkata, rakyat berupaya menilai sendiri ketelusan pakatan pembangkang termasuk Mahathir, melalui RCI Memali dan jika mereka gagal meneruskannya, ia jelas membuktikan bahawa bekas Perdana Menteri itu cuba menyembunyikan sesuatu.

"RCI ini harus diteruskan dan jangan ada kepentingan politik...kalau benar ia ditubuhkan untuk mencari kebenaran, maka tidak kisah siapa yang memegang tampuk pimpinan kelak suruhanjaya itu harus diteruskan.

"Kalau Mahathir benar-benar nak menubuhkan kerajaan yang bersih, maka beliau kena buat. Jika beliau gagal, maka rakyat boleh tahu ada perkara yang hendak disembunyikan," katanya kepada BH, di sini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, bahawa usaha menuntut keadilan bagi mangsa tragedi berdarah Memali melalui RCI akan terencat, malah mungkin tidak telus sekiranya Mahathir kembali diangkat sebagai Perdana Menteri.

Pada masa sama, Rusdi yang juga Pensyarah di Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), berkata pihaknya melihat penubuhan RCI adalah baik untuk mengetahui kebenaran berikutan selama ini tiada fakta jelas mengenai punca tragedi Memali.

Beliau berkata, semua maklumat hanyalah samar-samar menyebabkan rakyat tertanya-tanya siapa sebenarnya yang bertanggungjawab terhadap insiden berdarah yang mengorbankan 18 nyawa membabitkan 14 orang awam serta empat anggota polis pada 1985 itu.

"Sekarang ini kita tertanya-tanya peristiwa Memali itu berlaku disebabkan apa? Adakah berlaku disebabkan amanat Haji Hadi (Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang), arahan pihak berkuasa atau disebabkan Tun Dr Mahathir?" katanya.

Beliau juga menegaskan amat penting pelantikan dalam RCI dipastikan seseorang yang berkredibiliti, selain tidak mempunyai kepentingan politik bagi memastikan siasatan dibuat benar-benar telus dan cadangan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, supaya RCI itu dibuat selepas PRU-14 amat disokong.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pengajian Antarabangsa UUM, Dr Ummu Atiyah Ahmad Zakuan, berkata RCI mampu menjadi penutup kepada peristiwa berdarah itu, sekali gus memberi ketenangan buat waris yang kehilangan keluarga tersayang mereka lebih 30 tahun lalu.

Beliau berkata, pentingnya RCI Memali untuk mendedahkan punca berlakunya tragedi itu termasuk alasan Ibrahim Mahmud atau dikenali sebagai Ibrahim Libya, menjadi radikal, selain tindakan dibuat dalam menahan orang awam.

"Mangsa dan keluarga mempunyai hak untuk mengetahui kebenaran di sebalik tragedi itu kerana mereka sudah menunggu lebih daripada tiga dekad untuk mendengarnya.

"Setiap orang yang dituduh melakukan jenayah patut mendapat pendengaran yang adil. Dalam kes ini mangsa dan keluarga mereka mempunyai hak untuk mendengar alasan di sebalik tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa dalam menangkap Ibrahim dan penduduk kampung," katanya ketika dihubungi.

Pada masa sama, Ummu Atiyah menyokong sekiranya penubuhan RCI dipercepat kerana kebanyakan saksi masih hidup sekali gus boleh memudahkan siasatan dilakukan. -Portal BH Online