Kedah Dijangka Mampu Peroleh RM601 Juta Tahun ini - EXCO Kedah


ALOR SETAR - Kerajaan negeri dijangka mampu memperoleh pendapatan menyamai tahun lalu iaitu sebanyak RM601 juta atau 83 peratus daripada anggaran.

EXCO Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, berkata pendapatan itu disumbang oleh peningkatan semasa kutipan hasil dalam sektor tertentu termasuk premium tanah, selain cara kerja efisien dilaksanakan pentadbir, pegawai dan kakitangan kerajaan negeri.

"Sehingga 12 November (semalam), pendapatan kerajaan negeri untuk tahun ini melebihi RM485 juta atau 66.1 peratus daripada anggaran RM734 juta yang ditetapkan untuk 2017.

"Sehubungan itu bagi tahun ini, kita yakin mampu mencapai perolehan tinggi seperti tahun lalu melalui pembayaran premium tanah oleh Kerajaan Persekutuan yang kebiasaannya dibuat pada hujung tahun serta pelbagai kutipan sektor lain yang masih dilakukan, " katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini.

Beliau menjawab soalan Mohd Azam Abd Samat (PAS-Sungai Limau) yang ingin mengetahui pendapatan keseluruhan kerajaan negeri untuk 2017.

Pada masa sama, Ku Abd Rahman, berkata pendapatan kerajaan negeri disumbangkan oleh lima sektor utama iaitu cukai tanah berulang yang mencatat perolehan lebih RM177 juta diikuti pemberian Kerajaan Persekutuan sebanyak RM158 juta.

"Tiga lagi sektor utama yang menyumbang kepada pendapatan kerajaan negeri adalah premium tanah sebanyak RM53 juta, premium hutan RM44 juta serta tunggakan cukai tanah berjumlah RM21 juta.

"Kelima-lima sektor ini menyumbang lebih 454 juta atau 93.6 peratus daripada jumlah perolehan hasil kerajaan negeri untuk tahun ini sehingga semalam," katanya.

Beliau berkata, bagi perbelanjaan pula, sebanyak RM131.4 juta dibelanjakan untuk emolumen sementara RM122.66 juta dibelanjakan bagi sektor perkhidmatan dan bekalan.

"Perbelanjaan paling tinggi dibuat dalam sektor pemberian dan kenaan bayaran tetap iaitu RM159.49 juta, selebihnya RM80.36 juta membabitkan aset manakala RM15.38 juta adalah untuk lain perbelanjaan," katanya.

Ku Abd Rahman berkata, kerajaan negeri sememangnya mengamalkan perbelanjaan berhemah dengan jumlah defisit semasa hanyalah berjumlah RM30 juta berbanding anggaran dimasukkan dalam Bajet 2017 iaitu sebanyak RM75 juta.

"Saya yakin, dalam tempoh sebulan setengah ini menuju ke akhir tahun, tak mungkin kita akan berbelanja terlalu banyak sehingga menyebabkan defisit bertambah ke tahap itu," katanya menjawab soalan tambahan Mohd Azam mengenai trend perbelanjaan kerajaan negeri.

Menerus Kemajuan Menzahir Impian
#BajetKedah2018
#MuafakatKedah

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post