12 Sekolah Di Kedah Terima Bantuan Peralatan Sukan Melalui Inisiatif MILO.


ALOR SETAR: Sejumlah 12 Sekolah Kebangsaan (SK) di Kedah terpilih menerima bantuan dalam program Majlis Penyampaian Peralatan Sukan melalui inisiatif MILO 'Sokong Demi Sukan'. 

Semua 12 sekolah itu adalah antara 184 sekolah dari seluruh negara yang dipilih menerusi program berkenaan untuk menerima sumbangan peralatan sukan membabitkan nilai keseluruhan RM1.5 juta. 

Selain tiga sekolah di sini iaitu SK Taman Uda, SK Taman Rakyat dan SK Bukit Pinang, baki sekolah lain ialah di Kulim iaitu SK Ulu Tawar dan SK Taman Kenari, SK Jeneri di Sik, SK Sungai Pasir di Sungai Petani, SK Jitra di Jitra, SK Kelibang di Langkawi, SK Perik di Kuala Nerang, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mah Wah di Gurun dan SK Paya Mak Insun di Pendang. 

Ketua Sektor Pengurus, Pembangunan Manusia, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Mohamed Rafed Ismail, berkata sumbangan terbabit adalah langkah terbaik dalam membantu usaha melahirkan dan mengembangkan bakat muda yang mampu bergelar juara dalam bidang sukan. 

"Sokongan bantuan peralatan sukan kepada sekolah ini secara langsung dapat membantu meningkatkan usaha dalam melahirkan lebih ramai bakat dari akar umbi, khususnya dari Kedah untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi untuk negeri dan negara. 

"Pemilihan penerimaan bantuan kepada 12 sekolah di Kedah ini dilakukan berdasarkan sekolah yang mempunyai kemudahan asas, seperti jurulatih serta pihak pengurusan yang berminat serta memerlukan bantuan. Saya berharap sumbangan ini dapat memajukan lagi dan seterusnya melahirkan bakat yang diharapkan," katanya. 

Sementara itu, Penolong Pengurus Pemasaran Sukan MILO Malaysia, Kerwin Lim berkata, pihaknya bersedia mengagihkan sumbangan peralatan sukan kepada semua negeri membabitkan 12 set peralatan sukan untuk badminton, bola sepak bola keranjang, olahraga dan bola jaring. 

"Sebagai contoh untuk sukan bola sepak, kita beri dua set tiang gol, 12 biji bola, pam bola, bip dan kon untuk kegunaan pada sesi latihan, di mana dengan kelengkapan diberikan ini membolehkan mereka melengkapkan latihan secara lebih berkesan. 

"Dengan program dan kerjasama Kementerian Pendidikan serta JPN Kedah seperti hari ini, kami berharap lebih ramai pelajar terutama di Kedah mampu mengambil bahagian dalam acara sukan diminati dan usaha membangunkan sukan dari akar umbi sebegini, diharap mampu melahirkan lebih ramai juara di masa depan," katanya.-bh

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post