LEBIH RAMAI CENDIAKAWAN DISARAN TULIS BUKU SEJARAH.



ALOR SETAR: Lebih ramai cendekiawan disaran terbabit dalam penulisan buku genre sejarah terutama mengenai Kedah, berikutan negara kini ketandusan buku kategori itu lebih-lebih lagi yang diterbitkan penulis tempatan. 

Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim, bertitah sudah tiba masanya untuk penulis tempatan menghasilkan buku berhubung sejarah negara dengan sudut pandangan sendiri dan bukannya berpandukan penulisan dari kaca mata orang Barat. 

"Saya sarankan lebih ramai cendekiawan kita menulis buku sejarah mengenai Kedah dengan menggunakan dokumen surat Sultan Abdul Hamid sebagai rujukan utama mereka. 

"Usaha ini dapat menyebar luas ilmu terkandung di dalamnya dan dimanfaatkan untuk kesejahteraan bersama. 

"Secara tidak langsung, penerbitan buku, seminar dan pameran ini juga menyokong kepada usaha melahirkan masyarakat yang cintakan ilmu pengetahuan," titah baginda pada Majlis Pelancaran Buku, Seminar dan Pameran Berkaitan Surat Almarhum Sultan Abdul Hamid di sini,. 

Pada majlis itu, Tunku Puteri Intan Safinaz yang juga Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, berkenan melancarkan dua buku iaitu 'Surat-Menyurat Sultan Abdul Hamid; Warkah Agung Warisan Dunia' hasil tulisan Allahyarhamah Dr Badriyah Salleh dan 'Surat-surat Sultan Abdul Hamid 1881 hingga 1895, Gambaran Penggunaan Bahasa dan Masyarakat Kedah Akhir Abad ke-19' hasil tulisan Prof Datuk Dr Asmah Omar. 

Pada masa sama, baginda bertitah penerbitan buku itu disifatkan tepat pada masanya, malah usaha Arkib Negara Malaysia dalam mengumpul, memelihara dan menyimpan khazanah warisan sejarah negara perlu mendapat sokongan semua pihak. 

"Pihak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) melalui Program Memory of the World mengiktiraf surat Sultan Abdul Hamid sebagai Warisan Agung Dunia yang disenarai dalam 'Memory of the World Register' pada 4 September 2001. 

"Bagi negara kita, rekod ini adalah satu-satunya rekod bertulis kerajaan yang lengkap mendapat pengiktirafan itu. Ia antara lain menyentuh mengenai surat kiriman Sultan Abdul Hamid dan pembesar negeri, surat perjanjian pajakan hasil negeri dan penyata kewangan Kedah. 

"Banyak pengajaran yang boleh diambil daripada dokumen ini untuk dijadikan rujukan kerana ia mempunyai fakta yang cukup kaya untuk menjawab sebahagian soalan mengenai sejarah politik, ekonomi mahupun sosial bagi mengabadikan keindahan budaya Melayu," titah baginda.

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post