#BARAKAH ANAK MUDA : MAJLIS WALIMATULURUS PERDANA PERINGKAT NEGERI KEDAH 2016


 



ALOR SETAR: Seramai 86 pasangan dari sembilan daerah di negeri ini sah menjadi suami isteri dalam satu majlis akad nikah sempena Majlis Walimatulurus Perdana Peringkat Negeri Kedah, hari ini. 

Majlis diadakan di Dewan Seri Mentaloon, di sini, membabitkan 80 pasangan Islam serta enam pasangan bukan Islam yang turut didaftarkan perkahwinan mereka. 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim, berkata seramai 59 jurunikah termasuk lima daripadanya Pegawai Agama Daerah menyempurnakan majlis itu. 

Katanya, program itu julung kali diadakan dengan tajaan bersama kerajaan negeri dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) termasuk pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 

"Majlis akad nikah hari ini dihadiri ahli keluarga terdekat dengan sesi nikah diadakan secara tiga peringkat iaitu sesi pertama dan kedua masing-masing seramai 30 pasangan dan sesi ketiga seramai 20 pasangan yang bermula jam 10 pagi hingga 1 petang ini.

"Program dianjurkan bagi mengelak berlakunya pergaulan bebas dalam kalangan anak muda, perkahwinan sempadan serta membantu mengurangkan beban kewangan setiap pasangan," katanya. 


Badrol Hisham yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata pasangan terbabit hanya perlu membayar RM500 sebagai yuran komitmen bagi menyertai program itu. 

Katanya selain majlis akad nikah, kerajaan negeri turut menaja majlis persandingan yang akan diadakan pada sebelah malam di Dewan Wawasan di Jitra yang dijangka dihadiri kira-kira 5,000 ahli keluarga pasangan terbabit.




  MAJLIS RESEPSI SEBELAH MALAM DI DEWAN WAWASAN, JITRA



JITRA: Sebanyak 83 pasangan pengantin malam tadi diraikan dalam Majlis Resepsi Walimatulurus Perdana Peringkat Negeri Kedah yang julung kali diadakan di negeri ini. Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata majlis itu merupakan kesinambungan inisiatif Program Barakah Anak Muda iaitu kursus praperkahwinan secara percuma yang diadakan di seluruh negeri. 


"Kursus ini adalah sebahagian daripada aku janji dan dianjurkan kerajaan negeri bersama Jabatan Agama Islam Negeri dan inisiatif ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban anak-anak muda. "Kerajaan negeri amat prihatin atas permasalahan anak-anak muda dalam soal perkahwinan," katanya ketika berucap pada majlis yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim. 

Sementara itu, Rohani berkata majlis itu diadakan bertepatan dengan aspirasi kerajaan dalam memastikan pengukuhan keluarga melalui institusi perkahwinan selain bulan November juga merupakan Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia. 

"Institusi keluarga adalah komponen sosial yang amat penting dalam masyarakat Malaysia. Ia adalah asas kepada pembangunan insan yang bahagia ke arah membina sebuah negara yang maju, bermaruah dan dihormati," katanya. 

Apa yang menarik, daripada 83 pasangan pengantin itu, dua daripada mereka adalah berbangsa India dan satu pasangan berbangsa Siam. Bagi Tiew Saw Shian Hai, 41, dan isterinya Mani Chai, 33, kedua-duanya berbangsa Siam, mereka merasakan sangat beruntung dapat menyertai majlis yang sangat besar ertinya kepada mereka. 

Katanya, mereka mendapat tahu mengenai program itu daripada rakan dan memohon untuk menyertai majlis berkenaan setelah mencapai kata putus untuk berumah tangga. "Hanya RM500 kami dapat menyertai majlis yang sangat gemilang ini," kata Mani seorang suri rumah dan suaminya yang juga seorang buruh. 

Thanakumar Subbiah, 40, dan isterinya Navavebhiam Linggam, 33, mengharapkan majlis berkenaan dapat diadakan beberapa kali setahun kerana selain dapat membantu meringankan beban kewangan golongan muda, ia juga dapat memupuk perpaduan kaum. "Saya gembira atas keprihatinan kerajaan dan kami dapat abadikan dalam majlis perkahwinan untuk seumur hidup," katanya







SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post