#BAJETKEDAH2017 BERJAYA KURANGKAN DEFESIT


Bajet kerajaan negeri Kedah 2017 berjaya mengurangkan defisit sebanyak 4.63 peratus berbanding bajet yang sama tahun lepas.
"Ini berbeza dengan Bajet 2016 yang mencatatkan defisit sebanyak 14.9 peratus dengan jumlah RM107.8 juta. Bermakna untuk Bajet 2017, defisit telah berjaya dikurangkan sebanyak 4.63 peratus," kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata itu berkata demikian semasa membentangkan Bajet 2017 bertemakan Muafakat Memacu Ekonomi Menggilap Potensi Negeri di Dewan Undangan Negeri Kedah di sini hari ini.
Bajet Kedah pada tahun ini menjadi tumpuan ramai ekoran pertama kali Ahmad Bashah membentangkannya selepas mengambil tampuk pemerintahan negeri daripada Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang kini menjadi wakil rakyat pembangkang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang baharu ditubuhkan.
Menurut Ahmad Bashah, Bajet 2017 berjumlah RM1.06 bilion dengan defisit RM75.5 juta berbanding anggaran kutipan hasil sebanyak RM734.7 juta. Menurutnya, kerajaan negeri memperuntukan RM810.1 juta sebagai perbelanjaan mengurus dan RM256.4 juta perbelanjaan pembangunan.
Menteri Besar Kedah itu juga mengumumkan berita baik iaitu bayaran khas sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam negeri dan ia akan dibuat pada akhir tahun ini melibatkan 6,090 kakitangan kerajaan dengan kos RM3.045 juta.
"Bagi menjadikan perbelanjaan pembangunan 2017 memenuhi sasaran terutama mengisi keperluan sebenar masyarakat B-40, maka sasaran perbelanjaan dijangka dapat dicapai sekurang-kurangnya 90 peratus daripada keseluruhan anggaran untuk 2017," katanya.
Bajet itu, katanya berpaksikan empat strategi utama iaitu meningkatkan perolehan dan perbelanjaan hasil secara cekap dan berhemah, menambah nilai selain meneroka potensi ekonomi baharu, mencergaskan aktiviti ekonomi rakyat dan menangani isu kebajikan rakyat berbilang kaum melalui langkah yang betul.
Bagi menyempurnakan keperluan negeri, Bajet 2017 dilaksana berdasarkan dua indikator, katanya.
Pertama, kemampuan kewangan semasa negeri dan keduanya, penumpuan terhadap keperluan sebenar rakyat.
"Untuk tahun 2017, kerajaan Negeri menganggarkan kutipan hasil sebanyak RM 734,726,857. Dari jumlah ini, hasil cukai masih menjadi penyumbang terbesar dengan anggaran kutipan sebanyak RM 472,872,407 atau mewakili 64.36%.
"Di samping itu, terimaan Bukan Hasil dijangka menyumbang sebanyak RM 188,938,220 atau 25.72 peratus manakala kutipan sebanyak RM72,916,230 atau 9.92 peratus adalah dianggarkan dari Hasil Bukan Cukai.
Menurut Menteri Besar, penyediaan anggaran kutipan hasil negeri untuk tahun 2017 menunjukkan peningkatan secara keseluruhan sebanyak 1.82 peratus berbanding tahun 2016.
"Ini dibuat dengan mengambil kira prestasi kutipan semasa dan tahun-tahun sebelumnya. Ditambah dengan prinsip realistik dan rasional," ujar Ahmad Bashah.
Menurutnya, sasaran itu mampu dicapai dengan daya usaha, produktiviti dan kesungguhan jabatan negeri dalam menguatkuasakan undang-undang.
"Selain kecekapan pengurusan kutipan hasil supaya tidak berlaku ketirisan yang nyata. Setakat ini, prestasi hasil negeri menunjukkan peningkatan yang ketara sebanyak 9.07 peratus atau perbezaan sebanyak RM37 juta berbanding tahun lepas.
"Sasaran kutipan hasil sehingga 70 peratus menjelang akhir tahun ini mampu dicapai dari jumlah anggaran Bajet tahun lalu," katanya lagi.
Menurutnya, peningkatan perolehan hasil adalah kesan dari penguatkuasaan dan semakan hasil tanah dan kutipan premium tanah.
Berkat usaha semua pihak, perolehan hasil sehingga akhir tahun 2016 dan unjuran untuk tahun 2017 dapat mencapai sasaran yang ditetapkan, katanya.
Beberapa segmen perolehan hasil negeri perlu disemak bagi mengelakkan ketirisan hasil yang berterusan. Untuk itu, semakan ke atas Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1997 diteruskan. Pada masa yang sama, Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menguatkuasakan Akta Duti Hiburan 1953 juga ditambahbaik.
"Berasaskan anggaran semasa, jika kesemua SOP diikuti dan semakan semula dilakukan ke atas kadar cukai hiburan dan lesen hiburan, Kerajaan Negeri optimis hasilnya dijangka melebihi anggaran yang dibajetkan pada tahun 2017.
"Lantas, kesemua Pejabat Daerah perlu meneliti aturan penguatkuasaan, cukai semasa serta kaedah kutipan ke atas semua pusat-pusat hiburan yang beroperasi. Langkah ini penting untuk mengelakkan wujudnya penipuan dan ketirisan dalam kutipan hasil yang sepatutnya," katanya.
Bajet 2017 memperuntukkan sebanyak RM 810,232,362 untuk perbelanjaan mengurus dan mencadangkan daripada jumlah itu, sebanyak RM 177,936,795 diperuntukkan sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan bertujuan menampung defisit pembangunan.
Selain melengkapi usaha kerajaan melaksanakan pelbagai projek pembangunan yang sudah dirangka, jumlah ini adalah berdasarkan kemampuan semasa kewangan kerajaan negeri.

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post