KAPASITI TRAFIK INTERNET DI LANGKAWI AKAN DIPERTINGKATKAN - DATO' NORSABRINA


ALOR SETAR : Kerajaan negeri Kedah akan terus memberi tumpuan kepada usaha menaik taraf fasiliti komunikasi dan jalur lebar di Langkawi bagi memperkasa hasrat menjadikan destinasi pelancongan itu sebagai sebuah pulau digital.

Pengerusi Jawatankuasa Sains,Inovasi dan Teknologi Maklumat,Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia Kedah, YB Dato' Norsabrina Mohd Nor, berkata usaha itu meliputi penyediaan infrastruktur menyeluruh untuk menyokong keupayaan kapasiti trafik di Langkawi.

Menjawab soalan lisan Nor Saidi Nanyan (BN-Kuah), Beliau berkata,sejak komitmen Projek Digital Langkawi digerakkan pada 2013,pelbagai fasiliti disediakan,termasuk penyediaan 10 menara telekomunikasi baharu di Langkawi.

"Sebanyak RM124 juta diperuntukkan bagi tujuan itu,antaranya penyediaan kabel dasar laut berkelajuan tinggi yang dinaik taraf daripada 40 gigabit sesaat (Gbps) kepada 90 gigabit sesaat (Gbps) serta pemasangan 152 kilometer (km) kabel gentian oleh penyediaan perkhidmatan,Celcom untuk meningkatkan kelajuan dan liputan".

Penyediaan Infrastruktur -"Berikutan usaha ini, kapasiti trafik internet di pulau pelancongan itu kini mampu mencapai 2.1 terabit," katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke13, disini semalam.

Menjawab soalan tambahan Nor Saidi berhubung realiti Projek Digital Langkawi, Norsabrina berkata, kelebihan penyediaan infrasruktur terbabit dizahirkan berdasarkan peningkatan penduduk Langkawi melalui pemerkasaan e-keusahawanan dan e-rezeki.

"Data ini cukup penting dan ia turut disokong pertambahan langganan kepada pakej internet kompetitif daripada pihak telco kepada penduduk Langkawi.

"Berdasarkan kajian, penggunaan internet di Langkawi paling tinggi direkodkan di Kuah yang mana kami percaya ia ada kaitan dengan demografi pekerjaan di kawasan itu yang dipenuhi sektor swasta dan usahawan, manakala paling rendah di Ayer Hangat," katanya.

Mengenai status Langkawi sebagai pulau bebas karbon pula, Norsabrina berkata, pihaknya bersama Kementerian Tenaga,Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) sedang menjalankan satu kajian dengan menjadikan Pulau Jeju di Korea Selatan sebagai tanda arus perbandingan.

"KeTTHA juga sudah adakan bengkel khusus untuk tujuan itu dengan pembabitan semua pemegang taruh yang meliputi pelbagai agensi kerajaan negeri untuk memastikan hasrat itu tercapai" katanya.



SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post