OIC: Malaysia Hadiri Mesyuarat Bincang Serangan Yaman

SUNGAI PETANI - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan menghadiri mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membincangkan berhubung isu serangan Yaman ke atas Arab Saudi, Ahad ini.

Beliau berkata, mesyuarat itu yang turut dihadiri semua negara anggota OIC dijadual diadakan di Jeddah, Arab Saudi.

Katanya, beliau juga akan menghadiri mesyuarat sama di Riyadh, Arab Saudi pada Isnin berhubung pencerobohan di Makkah dan Madinah.

NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyampaikan peruntukkan kepada Adun Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain (dua kanan) bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) selepas melancarkan Rapat UMUM BN Kedah di Padang Awam Taman Ria Jaya Sungai Petani. 

"Kita akan bersama-sama Arab Saudi dalam kedua-dua isu ini kerana kita sudah jelaskan pendirian Malaysia berhubung dua perkara ini.

"Justeru saya akan berada di Jeddah dan Riyadh untuk membawa perkara ini, " katanya pada sidang media selepas melancarkan Jentera Barisan Nasional (BN) Kedah, di sini.

Pada masa sama, Hishammuddin berkata, Malaysia tidak menghantar bantuan tentera untuk berperang di Yaman namun bersedia menghantar pasukan membantu dari aspek kemanusiaan atau usaha membaik-pulih negara itu.

"Jadi saya harap tiada pihak yang cuba untuk memutar belit kehadiran saya (mesyuarat OIC) kerana saya sudah menjawab mengenai pendirian Malaysia sebelum ini, " katanya.

Beberapa siri serangan ke atas Arab Saudi oleh pemberontak Yaman bermula pada Julai lalu dengan serangan terbaharu pada bulan lalu di mana Pasukan pertahanan udara Arab Saudi memintas peluru berpandu balistik yang dibedil ke arah Riyadh.

Malaysia sebelum ini menyatakan pendirian akan bekerjasama dengan Arab Saudi untuk mempertahankan kesucian dan kestabilan kota suci Makkah dan Madinah daripada serangan pengganas. - BH Online

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post