Kerajaan Negeri Selesaikan Bil Perubatan Mohd Radzi Di Hospital Amerika

Kerajaan negeri membantu melunaskan sepenuhnya kos perubatan penjawat awam Kedah, Mohd Radzi Abd Hadi, 56, yang mencecah hampir RM1 juta ketika menjalani rawatan di Hospital Dignity, California selepas mengalami serangan jantung di Amerika Syarikat, 9 Disember lalu.


Akan tetapi, Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, hasil perbincangan antara kerajaan negeri dengan Wisma Putra dan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Amerika Syarikat, pihak hospital bersetuju menurunkan jumlah bayaran daripada RM800,000 (ASD 196,062.02) kepada RM141,000 (ASD 35,000).

“Pembayaran itu hendaklah dilunaskan sebelum 17 Januari, kerajaan negeri telah membuat pemindahan wang sebanyak RM141,000 untuk langsaikan kos rawatan diskaun itu kepada hospital, semalam (16 Januari),” katanya.

Menurutnya, perbincangan melibatkan kerajaan antara kerajaan agar masalah dialami keluarga itu dapat segera diselesaikan.

“Kita minta bantuan Wisma Putra melalui Pejabat Konsulat Jeneral sehingga berjaya peroleh diskaun sehingga 87 peratus. Pihak Konsulat Jeneral turut maklumkan keluarga pesakit akan lunaskan bayaran kos rawatan doktor pakar dengan menggunakan dana terkumpul hasil sumbangan orang ramai,” katanya.

Setakat 15 Januari, jumlah keseluruhan dana terkumpul adalah RM169,515, manakala bil hospital mencecah RM800,000, tidak termasuk bayaran doktor pakar berjumlah RM375,000 (ASD100,000) menyebabkan jumlah keseluruhan mencecah RM1juta.

“Walaupun kerajaan negeri gunakan kos yang tinggi, yang penting kita bertanggung jawab untuk bawa pulang rakyat kita. Ini isu kemanusiaan dan tidak wajar dipolitikkan,” katanya.

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post