Takungan Baharu Selesai Isu Bekalan Air Bukit Enggang



SIK - Isu tiga tandak atau kolam takungan atas bukit dibina sebagai sumber bekalan air haram penduduk yang tercemar susulan pembalakan di Hutan Simpan Bukit Enggang, di sini, selesai dengan pembinaan tandak air baharu di Bukit Padang, di sini.

Dengan pembinaan kemudahan baharu hasil peruntukan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah itu, lebih 400 penduduk Kampung Paya Terendam, kini menerima bekalan air yang lebih bersih.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Paya Terendam, Abdul Karim Ahmad, mengakui bekalan air tandak baharu itu dapat dinikmati dengan lebih baik berbanding air tandak yang pernah digunakan sejak 1980-an.



"Sebelum ini kami akui tiga tandak air yang dibina di Bukit Enggang tidak mendapat kelulusan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) menyebabkan ia terdedah kepada pencemaran akibat aktiviti pembalakan.

"Saya mewakili penduduk kampung kesal kerana ada pihak lain cuba mengambil kesempatan, kononnya menyuarakan isi hati kami yang didakwa terjejas akibat aktiviti pembalakan.

"Sebenarnya, kami cuba selesaikan isu ini menerusi saluran betul melalui perbincangan dengan wakil rakyat dan pembalak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika meninjau kawasan pembalakan di Hutan Simpan Bukit Enggang yang didakwa menjadi punca tandak air dibina secara haram oleh penduduk, tercemar.



Berdasarkan maklumat, aktiviti pembalakan membabitkan lebih 500 hektar tanah di kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang sejak pertengahan tahun lalu menyebabkan sumber air di tiga kampung berdekatan tercemar dengan sisa lumpur.

Kampung berkenaan ialah Kampung Balong Ayam, Kampung Durian Burung dan Kampung Paya Terendam.

Abdul Karim berkata, penduduk kampung mengadakan gotong-royong membina tandak baharu pada kedudukan kira-kira enam kilometer dari Hutan Simpan Bukit Enggang dan bekalan air dapat disalurkan kepada 90 rumah di kampung itu.

Penduduk, Abdul Halim Ghani, 43, berharap pihak berkepentingan tidak akan menggunakan nama penduduk kampung untuk terus memanipulasi isu mengenai bekalan air tercemar di kampung itu.

"Hanya penduduk kampung ini yang terjejas akibat pencemaran tiga tandak air di Bukit Enggang, sedangkan tandak air di Kampung Balong Ayam masih dalam keadaan baik.

"Lebih baik dapatkan maklum balas orang kampung terlebih dahulu sebelum membuat spekulasi mengenai isu ini," katanya.





Seorang lagi penduduk, Mohd Nordin Khamis, 48, berterima kasih kepada MBI kerana menyediakan bekalan air tandak baharu yang lebih bersih dan mampu mengalirkan air dengan lebih baik.

"Sebagai penduduk di sini, bekalan air tandak sangat penting kerana ia dapat mengurangkan penggunaan air yang dibekalkan Syarikat Air Darul Aman (SADA) seterusnya menjimatkan bil air," katanya.

Terdahulu, tinjauan bersama pegawai MBI, JPNK dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di kawasan pengumpulan balak Bukit Enggang, mendapati kerja pembalakan itu sudah dihentikan seperti arahan dikeluarkan dua bulan lalu.

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post