Hanya RCI Mampu Bongkar Kisah Sebenar Memali


ALOR SETAR - Pakatan pembangkang perlu berjanji merungkai kebenaran di sebalik tragedi Memali, dengan memastikan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk insiden berdarah itu diteruskan, sekiranya mereka ditakdir memegang tampuk pentadbiran negara.

Pengalisis politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar, berkata perkara itu penting sekiranya pakatan pembangkang benar-benar mahu menubuhkan sebuah kerajaan bersih selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), terutama selepas mengumumkan nama Tun Dr Mahathir Mohamad, yang didakwa sebagai individu penting di belakang insiden Memali, sebagai calon Perdana Menteri.

Beliau berkata, rakyat berupaya menilai sendiri ketelusan pakatan pembangkang termasuk Mahathir, melalui RCI Memali dan jika mereka gagal meneruskannya, ia jelas membuktikan bahawa bekas Perdana Menteri itu cuba menyembunyikan sesuatu.

"RCI ini harus diteruskan dan jangan ada kepentingan politik...kalau benar ia ditubuhkan untuk mencari kebenaran, maka tidak kisah siapa yang memegang tampuk pimpinan kelak suruhanjaya itu harus diteruskan.

"Kalau Mahathir benar-benar nak menubuhkan kerajaan yang bersih, maka beliau kena buat. Jika beliau gagal, maka rakyat boleh tahu ada perkara yang hendak disembunyikan," katanya kepada BH, di sini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, bahawa usaha menuntut keadilan bagi mangsa tragedi berdarah Memali melalui RCI akan terencat, malah mungkin tidak telus sekiranya Mahathir kembali diangkat sebagai Perdana Menteri.

Pada masa sama, Rusdi yang juga Pensyarah di Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), berkata pihaknya melihat penubuhan RCI adalah baik untuk mengetahui kebenaran berikutan selama ini tiada fakta jelas mengenai punca tragedi Memali.

Beliau berkata, semua maklumat hanyalah samar-samar menyebabkan rakyat tertanya-tanya siapa sebenarnya yang bertanggungjawab terhadap insiden berdarah yang mengorbankan 18 nyawa membabitkan 14 orang awam serta empat anggota polis pada 1985 itu.

"Sekarang ini kita tertanya-tanya peristiwa Memali itu berlaku disebabkan apa? Adakah berlaku disebabkan amanat Haji Hadi (Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang), arahan pihak berkuasa atau disebabkan Tun Dr Mahathir?" katanya.

Beliau juga menegaskan amat penting pelantikan dalam RCI dipastikan seseorang yang berkredibiliti, selain tidak mempunyai kepentingan politik bagi memastikan siasatan dibuat benar-benar telus dan cadangan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, supaya RCI itu dibuat selepas PRU-14 amat disokong.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pengajian Antarabangsa UUM, Dr Ummu Atiyah Ahmad Zakuan, berkata RCI mampu menjadi penutup kepada peristiwa berdarah itu, sekali gus memberi ketenangan buat waris yang kehilangan keluarga tersayang mereka lebih 30 tahun lalu.

Beliau berkata, pentingnya RCI Memali untuk mendedahkan punca berlakunya tragedi itu termasuk alasan Ibrahim Mahmud atau dikenali sebagai Ibrahim Libya, menjadi radikal, selain tindakan dibuat dalam menahan orang awam.

"Mangsa dan keluarga mempunyai hak untuk mengetahui kebenaran di sebalik tragedi itu kerana mereka sudah menunggu lebih daripada tiga dekad untuk mendengarnya.

"Setiap orang yang dituduh melakukan jenayah patut mendapat pendengaran yang adil. Dalam kes ini mangsa dan keluarga mereka mempunyai hak untuk mendengar alasan di sebalik tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa dalam menangkap Ibrahim dan penduduk kampung," katanya ketika dihubungi.

Pada masa sama, Ummu Atiyah menyokong sekiranya penubuhan RCI dipercepat kerana kebanyakan saksi masih hidup sekali gus boleh memudahkan siasatan dilakukan. -Portal BH Online


SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post