GERAK JIWA RAKYAT KEDAH BERSAMA BN


MINGGU lalu, satu majlis khas perasmian Jentera Pilihan Raya Negeri Kedah diadakan di Sungai Petani. Kehadiran ahli cukup luar biasa. Ini diakui sendiri oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang merasmikannya, sekali gus menyampaikan ucap utama.

Kita sedia maklum, kekuatan istimewa Hishammuddin adalah kemampuan memberikan ucapan yang bersahaja tetapi mampu membangkitkan semangat yang cukup hangat. Ucap utama tidak meleret namun berjaya menyampaikan pesan pemimpin utama, Datuk Seri Najib Tun Razak - bahawa UMNO dan BN Kedah perlu mempertahan kejayaan dalam PRU akan datang.

Kepada penulis, kekuatan utama UMNO dan BN Kedah mutakhir ini turut berkait dengan tingkah kepimpinan Menteri Besar sedia ada. Sebagai seorang pemimpin yang cukup berpengalaman, YAB Dato' Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah sebenarnya telah menggunakan ruang dan peluang yang ada untuk mengembalikan pentadbiran dan kepimpinan Kedah di landasannya yang tepat.

Sokongan kepemimpinan­ UMNO dan BN negeri kepada Menteri Besar dilihat cukup terurus dan terpimpin. Seluruh jentera UMNO maklum dan faham bahawa tugas mereka perlu dilaksanakan dengan cukup rapi dan teliti.

Agenda ‘Muafakat Kedah’ kini menerjah jauh ke dalam minda dan hati pengundi. Agenda yang jelas, mudah dan berpaksikan rakyat mendapat respon yang cukup luar biasa. Titik sentuh (touch points) Belanjawan Kedah 2018 masih menjadi cakap-cakap positif baik di kedai-kedai kopi, mahupun di masjid dan surau. Inilah asas utama kekuatan jentera BN negeri mutakhir ini.

Lebih menarik lagi, apabila pengumuman Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri seakan cukup selari dengan aspirasi negeri. Banyak perkara positif yang dibentangkan Perdana Menteri memberikan kesan langsung kepada usaha kita menawan hati pengundi.

Antara agenda yang disebutkan di dalam Bajet 2018 (Persekutuan) dan didapati sangat bermanfaat kepada Kedah adalah seperti berikut:

* Pusat Rawatan Kanser Sungai Petani

* Naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi

* Insentif khas pesawah selama tiga bulan (melibatkan lebih 60,000 pesawah di negeri Kedah)

* Menaiktaraf sekolah pondok dan maahaf tahfiz
n Special Border Economic Zone (Bukit Kayu Hitam)

* Memajukan perkhidmatan kardiologi dan kardiotorasik di Hospital Sultanah Bahiyyah

Semua ini, pada hemat dan pandangan penulis, membawa sentimen dan kata hati positif dalam kalangan rakyat. Semua inisiatif Kerajaan Pusat ini akhirnya di­suai jalin dengan usaha bersungguh di peringkat negeri. ‘Agenda Peduli Rakyat’ yang menjadi buah fikiran Menteri Besar akan terus dilaksanakan dengan komitmen yang tinggi oleh jentera pentadbiran negeri.

Perhatian dan fokus kepada generasi muda tidak pernah dihentikan. Usaha menambah ruang akses generasi muda kepada ekonomi diperluas. Tanpa memperlekeh generasi muda yang terlibat dalam perniagaan, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sejumlah hampir RM1 juta untuk penyediaan tapak food truck di Jitra, Sungai Petani, Kulim dan Alor Setar.

Program Tuisyen BARAKAH diteruskan di seluruh DUN di Kedah. Program Internship Mahasiswa Anak Negeri (IMAN) juga terus dilaksana. Briged Sukarelawan Muafakat Kedah diwujudkan di setiap kawasan Parlimen. Insentif kemasukan anak Kedah ke IPTA juga turut dijayakan secara konsisten.

Kesemua ini membulatkan gerak jiwa dan kata hati positif dalam kalangan rakyat di Kedah. Inilah antara punca mengapa acara yang dianjurkan oleh kerajaan negeri dan jentera UMNO/BN di Kedah sentiasa sahaja mendapat perhatian dan sokongan rakyat.

Bagi penulis, jentera kerajaan dan parti di Kedah sudah berada di landasan yang cukup tepat. Retak dan lekang kecil sesama sendiri mesti dikendali dengan baik dan tidak mendatangkan luka kepada hati rakyat. Keinginan dan aspirasi rakyat wajar disesuaikan wajah dan citarasa parti.

Berdasarkan kepada semangat jentera parti dan ‘sikap positif rakyat’ kepada kepimpinan kerajaan dan parti di Kedah, penulis menjangkakan kita dapat kembali menjadi kerajaan dengan jumlah sokongan yang meningkat. Majoriti daripada pengundi di Kedah yang berjumlah hampir 1.2 juta orang - akan memberikan kepercayaan kepada UMNO dan BN.

Negeri tidak terbangun dengan ego peribadi dan kejayaan pentadbiran lampau. Rakyat tidak terbela dengan retorik politik kosong dan dendam kesumat. Kepedulian kepada rakyat bukan boleh dibuat-buat. Kecekapan memimpin bukan berasaskan kepada inti sari fitnah yang dibisikkan ke telinga pengundi.

Di Kedah, cara kepemimpinan Ahmad Bashah kelihatan cukup sesuai dan serasi dengan rakyat. Keinginan dan kemahuan rakyat, dicerakin menjadi agenda negeri yang tersusun kemas. Saat ini, semua jentera, di seluruh 672 Pusat Daerah Mengundi perlu bijaksana menyulam sokongan dan dukungan rakyat kepada BN.

#MuafakatKedah

DATUK SHAIFUL HAZIZY ZAINOL ABIDIN
Ketua Pemuda UMNO Kedah.

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post