SADA Dan ADUN Bekerjasama Hadapi Gangguan Air Sepanjang Musim Perayaan


Beberapa Adun di negeri ini telah mengambil inisiatif sendiri dengan menyediakan lori bagi menyalurkan bekalan air sekiranya berlaku gangguan bekalan air sepanjang musim perayaan nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Negeri Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, langkah ini bagi membantu Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada) menyalurkan air di kawasan mereka.

"Sehingga kini, 173 kawasan atau kampung disenaraikan mengalami gangguan air yang kritikal atau sepanjang masa. Jadi, dengan bantuan daripada lori yang disediakan Adun, kita harap penyaluran air dapat dilakukan dengan lebih effisien.


"Ini juga akan dapat menampung 127 lori tangki air pelbagai jenis termasuk Jumboo yang disediakan Sada dalam menghadapi krisis air pada hari raya berbanding 97 lori tangki pada tahun lalu," katanya kepada pemberita selepas Taklimat Kontigensi Air Sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2017 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.


Selain itu, pihak Sada turut menyediakan lima langkah proaktif dalam menangani masalah penggunaan air yang dijangka berlaku pada musim perayaan ketika musim kemarau.

"Antaranya ialah sistem agihan semula di kawasan lain yang bersempadan dengan kawasan bermasalah, menakung tangki simpanan air pada waktu malam, merendahkan paip aliran masuk ke tangki simpanan, agihan air melalui lori tangki Sada dan memasang pam-pam penggalak (booster pump) di kawasan kritikal," jelasnya.




Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif , Datuk Abd Ghani Zainuddin berkata, cuti pegawainya dibekukan sepanjang musim perayaan ini bagi memastikan sekiranya gangguan air terjadi dapat diatasi segera.

"Ia melibatkan hampir 20 peratus pegawai di peringkat eksekutif dan operasi. Mereka akan memantau dan memastikan semua operasi dan pengagihan air dilakukan seperti yang dirancang sekiranya ia berlaku," jelasnya.

Kerajaan akan membuka pusat aduan setempat di kawasan yang sering mengalami masalah bekalan air terputus dengan menempatkan kakitangan Syarikat Air Kedah Bhd (SADA) bagi menyelia pengagihan air selain menerima aduan orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, pusat itu akan dibuka di dewan orang ramai, sekolah atau di masjid untuk memudahkan pemimpin masyarakat setempat dan SADA mengenalpasti masalah pengagihan air..

"Selain itu SADA akan menambah lori tangki untuk menghantar bekalan di kawasan yang terputus air di samping membuat agihan semula dengan mengambil air di kawasan lain sebagai 'backup supply'," kata Badrul Hisham pada sidang akhbar selepas taklimat SADA kepada Ahli Dewan Undangan Negeri di Wisma Darulaman di sini, semalam.

Kata beliau, sebanyak 173 buah kampung dikenalpasti kawasan 'kritikal' di mana kawasan itu sering kali mengalami masalah ketiadaan air bukan sahaja di musim perayaan dan ia akan diberi keutamaan.

Beliau juga meminta pihak masjid menghubungi kaiktangan SADA jika rumah-rumah ibadat di kawasan masing-masing mengalami gangguan bekalan selain membuat takungan pada malam hari bagi digunakan pada hari berikutnya.

"Saya yakin dengan lima langkah yang diambil itu akan dapat memastikan penduduk yang menghadapi bekalan air pada musim perayaan tahun lepas dapat diatasi sebaik mungkin dengan penambah baikkan yang dilakukan pada tahun ini, " kata Badrul Hisham lagi.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Datuk Datuk Abd Ghani Zainuddin menyatakan, sebagai langkah awal SADA akan memeriksa dan membaiki paip-paip yang rosak sebelum hari raya ini.

Mengenai kualiti air, beliau menyatakan, pihak SADA sentiasa memantaunya tetapi ia tidak dapat dielakkan semasa musim hujan dan disebabkan paip pecahan.

Bagaimanapun 'air keruh' yang ditularkan dalam FB dan dilaporkan dalam media semalam disebabkan paip pecah dan pembaikkannya telah dimaklumkan lebih awal.

Oleh kerana pemulihan kualiti air mengambil masa, air keruh yang ditunjukkan di dalam FB itu mungkin diambil semasa proses pembersihan sedang dilaksanakan, kata beliau lagi .

"Sebagai syarikat yang berniaga, kami tidak akan berkompromi dengan kualiti air dan mahu bekalan air diperolehi oleh para pengguna secara berterusan walaupun ia diberi secara percuma," kata Ghani.

Tambahnya, waktu operasi penghantaran air menggunakan lori adalah dari 8 pagi hingga 12 tengah malam manakala pusat dan "Pondok Aduan" beroperasi dari 10 pagi hingga 10 malam termasuk pada hari raya.

Dalam masa sama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Baling, Datuk Azmi Che Husain berkata, beliau telah menyediakan 100 tong air kepada rakyatnya sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan gangguan air menjelang perayaan kelak.

Pengagihan secara berperingkat tersebut diadakan sebagai langkah awal dan dikhaskan kepada seluruh rakyat di kawasan Bayu, Baling, pengagihan tersebut dijangka selesai pada 15 Jun akan datang.

"Ini adalah langkah awal memandangkan akan meningkatnya jumlah pengunaan air di kawasan ini yang mana ramai anak perantau akan pulang ke kampung halaman pada hari raya nanti.

"Kita sudah meminta kerjasama dengan Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) untuk membekalkan air ke tong-tong tersebut sekiranya berlaku gangguan air.

"Pun begitu, kita mengharapkan perkara tersebut tidak terjadi seperti mana yang dialami penduduk kawasan ini pada raya tahun lepas," katanya.



SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post