Projek Aman Laut : Kerajaan Negeri Pantau, Arah GLC Dapatkan Kelulusan EIA - MB Kedah


Kerajaan Negeri Kedah akur dengan arahan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk menghentikan sementara projek Aman Laut sehingga mendapat kelulusan dari agensi berkenaan untuk meneruskan projek berimpak tinggi tersebut.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah, Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang masalah untuk menerima baik arahan tersebut dan kini menyerahkan kepada GLC bertanggungjawab untuk berbincang dengan JAS bagi meneruskan projek berkenaan.

"Kalau mereka minta projek itu berhenti, kita berhentilah. Kita sedia mengikut arahan itu. Tapi kita akan minta GLC yang terbabit berbincanglah dengan JAS, kita minta mereka merayu pada JAS," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan sejurus selepas menyempurnakan Program Ziarah Kasih Ramadhan Yayasan Tabung Haji (TH) bagi Parlimen Alor Setar di kediaman rasmi Menteri Besar di Sri Mentaloon yang turut dihadiri oleh Pengerusi TH, Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim.



Mengulas lanjut, Menteri Besar berkata, projek berkenaan dikendalikan oleh sebuah GLC Kerajaan Negeri iaitu Permodalan Kedah Berhad (PKB) dengan usahasama Property Builder KK Sdn Bhd sebagai pemaju, dan bukan kerajaan negeri.

Namun begitu, Kerajaan Negeri tetap bertanggungjawab memastikan kelancaran projek berkenaan tidak menjejaskan alam sekitar dan pemaju perlu berusaha mendapatkan kelulusan bagi projek bernilai RM1.2 bilion itu.

"Projek itu membabitkan GLC Kerajaan Negeri, bukan dengan Kerajaan Negeri secara langsung.

"Tapi, kita akan pantau projek itu. Hari ini pun menteri akan datang berjumpa dengan kita," tegas beliau, memandang serius mengenai projek yang mendapat jolokan "Dubai Kedah" itu.

JAS sebelum ini meminta supaya projek Aman Laut di Kuala Kedah itu dihentikan buat sementara waktu sehingga mendapat kelulusan EIA dari agensi terbabit.

Kerajaan Negeri dalam reaksi balasnya telah segera meminta pihak pemaju untuk menghentikan projek berkenaan buat sementara waktu dan menggesa supaya mereka berusaha berbincang serta mendapatkan kelulusan yang diperlukan sebelum meneruskan semula projek itu.


Menurut Ahmad Bashah lagi, GLC terbabit telah mengikut prosedur dengan mengemukakan permohonan EIA bagi projek berkenaan sejak awal lagi, namun ia belum mendapat kelulusan dari agensi berkenaan untuk melaksanakan projek tersebut.

Namun begitu katanya, pihak pemaju sebelum ini telah memulakan projek berkenaan mengikut jadual ekoran mendapat kelulusan dari pihak Majlis Bandaraya Alor Setar.

"Bukan tak lulus, ia belum mendapat kelulusan dari JAS.

"Mereka (GLC) mulakan projek itu sebab sudah mendapat kelulusan dari Majlis Bandaraya Alor Setar. Tapi bila JAS kata projek itu perlukan kelulusan EIA dan perlu dihentikan sementara, maka mereka perlu akurlah dengan arahan itu," jelas beliau lagi.

Menurut sumber dalaman, kawasan yang dikatakan memerlukan kelulusan EIA dari JAS itu tidak melibatkan tapak projek secara langsung, namun hanya membabitkan kawasan yang keluar masuk ke lokasi projek berkenaan.

Turut difahamkan, pihak pemaju sedang berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan kelulusan EIA dari JAS bagi meneruskan projek yang bakal memberi manfaat kepada sektor pelancongan, ekonomi rakyat dan pembangunan negeri itu. 

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post