Masalah Air Selesai, Penduduk Taman Seri Marina Ucap Terima Kasih Pada SADA.



ALOR SETAR - Penduduk Taman Seri Marina Fasa 1, 2 dan 3 mengucapkan ribuan terima kasih kepada Syarikat Air Darul Aman (Sada) yang mengambil langkah proaktif menyelesaikan masalah air di kawasan mereka, baru-baru ini.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Seri Marina, Mohd Anuar Affindi Abd Aziz berkata, pada 23 November lepas, pihak Sada mengadakan suatu mesyuarat bersama penduduk untuk mencapai kata sepakat dalam isu berkenaan.

“Dalam mesyuarat terbabit, pihak Sada yang diwakili Pegawai Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat Sada, Rofedi Sulaiman bersetuju untuk menghantar lori tangki berkapasiti 10,000 gelen ke kawasan kami.

“Air daripada lori tangki berkenaan dimasukkan ke dalam tangki Taman Seri Marina Fasa 1 supaya penduduk di sini mendapat agihan air yang sama,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun, sistem bekalan air di kawasan mereka telah pulih sepenuhnya 28 November lalu dan pihak Sada telah memberhentikan penghantaran air ke situ.

“Bekalan air sudah pulih sepenuhnya dan kerja-kerja membaiki paip bocor di kawasan Fasa 1 juga sudah siap sepenuhnya.

“Saya mewakili penduduk di sini, sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak, terutamanya Sada yang peka dengan masalah kami.

“Penduduk juga sudah tidak merungut malah gembira dapat menjalankan aktiviti harian seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Sada, Datuk Abdul Ghani Zainuddin berkata, tindakan menangani masalah air di kawasan terbabit diambil segera oleh Sada setelah menerima aduan.

“Sada mengambil keputusan membekalkan air dengan lori tangki dan menempatkan tangki statik di beberapa lokasi yang dipersetujui oleh ketua komuniti.

“Bahagian teknikal pula membuat penyelarasan agihan di rangkaian paip utama dan paip agihan dalam taman tersebut,” katanya.

Menurutnya, oleh kerana tangki sedutan di perumahan tersebut berada pada paras rendah berikutan aliran air masuk tidak mencukupi, Sada bertindak memasukkan air ke dalam tangki tersebut dengan menggunakan lori tangki berkapasiti 10,000 gelen.

“Sekarang aliran air masuk ke tangki dari paip utama bertambah baik dan kebanyakan pengguna menerima bekalan dengan sempurna.

“Bagaimanapun Sada masih mengawasi situasi bekalan di kawasan perumahan terbabit dari masa ke semasa,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, kira-kira 450 keluarga dari Taman Seri Marina, Fasa 1, 2, dan 3 mengeluh apabila kawasan mereka terputus bekalan air selama 15 hari.

Keadaan makin tertekan apabila air bersih yang dibekalkan Sada tidak mencukupi sehingga mereka mendapat bantuan air tambahan dari salah seorang kerabat diraja Kedah, Tengku Zahari Tengku Mahmood.-sinar

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post