Harga Getah Melonjak RM4.80,Pusat Belian Getah Di Pokok Sena Jadi Tumpuan



POKOK SENA – Peningkatan harga getah di pasaran bukan sahaja melegakan puluhan ribu pekebun kecil tetapi turut menguntungkan pembeli getah berlesen yang terdapat di setiap daerah.

Tinjauan di pusat belian getah di Kampung Bendang Mukim Lesong, di sini mendapati, pemilik premis, Mohd Saidi Saad, 46, sibuk membeli getah skrap dari pekebun yang datang sejak awal pagi.

Saidi berkata, sejak premis itu beroperasi 20 tahun lalu, kenaikan harga getah kali ini adalah yang kedua selepas tahun 2010 yang ketika itu mencecah RM7 sekilogram.

Berikutan itu, pusat beliannya kini menjadi tumpuan sehingga pembelian getah skrap bagi bulan ini meningkat sekali ganda.




Sebelum ini, pembelian getah skrap hanya sekitar tiga hingga empat tan seminggu, namun selepas kenaikan harga getah sehingga mencecah RM4.80 sekilogram sekarang, jumlah pembelian mencecah kepada tujuh hingga lapan tan, katanya.

Saidi menambah, bagi membolehkan hasil getah di beli sebanyak mungkin dari pekebun, beliau mengambil inisiatif mengupah beberapa orang pelajar yang masih bercuti untuk mengangkut getah-getah skrap dari kebun ke pusat beliannya.

“Ada penoreh tidak mempunyai kenderaan dan yang telah berumur dan tidak mampu mengangkut guni getah yang berat itu, jadi saya mengupah anak-anak buah ini untuk membawa hasil ini agar ia tidak dibiarkan tanpa dijual,” katanya.




Dalam pada itu, seorang pekebun getah, Omar Manaf, 50, dari Kampung Budi di sini, berkata, beliau sangat bersyukur kesempitan hidup yang dialami sebelum ini dapat dikurangkan.

Jika sebelum ini, beliau hanya mampu meraih sekitar RM200 seminggu untuk 100 kilogram getah skrap yang dijual, namun pada hari ini, hasilnya mencecah RM400 yang tentunya memberi rahmat buatnya dan keluarga.

“Saya berharap harga getah ini akan terus melambung tinggi supaya hasil yang lebih ini dapat dimanfaatkan untuk membeli keperluan hidup lain dan menampung perbelanjaan keluarga ketika tibanya musim hujan,” katanya.-Bernama

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post