Masaalah Bekalan Air Di Felda Bukit Tembaga Selesai



Kuala Nerang - Rabonah Hasim, 54, kini mampu tersenyum menjelang Ramadan yang bakal disusuli dengan Aidilfitri tahun ini.

Tidak seperti 20 tahun sebelum ini, Robanah sentiasa runsing memikirkan masalah bekalan air yang tidak menentu di Felda Bukit Tembaga apabila menjelang musim perayaan dan cuti sekolah.

Bagaimanapun, segalanya sudah berubah apabila projek Loji Rawatan Air (LRA) Pokok Sena dengan kos RM68 juta siap dibina pada November lalu dan lebih 100 penduduk di sini mendapat bekalan air sepenuhnya tanpa gangguan.

LRA Pokok Sena yang dibangunkan Kerajaan Persekutuan di atas tapak berkeluasan 2.2 hektar di Kebun 500 itu mempunyai kapasiti penghasilan 30 juta liter air sehari.

Rabonah adalah antara 63,000 penduduk sekitar daerah Pokok Sena, utara Pendang dan selatan Padang Terap, kini mendapat nikmat hasil inisiatif kerajaan negeri menunaikan janji menyelesaikan masalah bekalan air di Kedah, dengan bantuan kerajaan Persekutuan.

"Jika dulu air di sini boleh dikatakan tidak menentu dan kadangkala sehari langsung tiada air menyebabkan kami terpaksa menggunakan tong menadah air untuk mandi, membasuh dan sebagainya.

"Sejak loji itu siap saya tidak lagi perlu bersusah payah menadah air dan bersyukur serta berterima kasih dengan kerajaan yang prihatin dengan masalah rakyat."

"Makcik tak sabar tunggu anak cucu pulang menyambut Hari Raya tahun ini dalam keadaan yang jauh lebih selesa berbanding 20 tahun lalu," katanya sambil tersenyum lebar ketika ditemui di rumahnya di kampung Felda Bukit Tembaga, di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Jahara Bahari, 59, turut lega apabila deritanya terpaksa bergantung kepada air telaga setiap kali gangguan bekalan airselama dua dekad, telah berakhir.

"Ketika itu memang ada lori SADA menghantar bekalan air, namun sebab makcik tidak memiliki tong yang besar, agak sukar untuk menadah air yang banyak dan terpaksa bergantung kepada air telaga.

"Namun kini, semuanya sudah berakhir dan Alhamdulillah rintihan kami selama ini didengari kerajaan yang menyelesaikan masalah rakyat," katanya.

Hussein Ismail, 70, yang tinggal di Felda Bukit Tembaga sejak kecil, turut berkongsi kegembiraan sama.

"Dulu terpaksa menggunakan air telaga dan menadah air di dalam tong kerana bekalan air paip tidak menentu tetapi kini tidak perlu lagi.

"Rasa sempurna hidup ini sejak bekalan air sentiasa ada di rumah dan terima kasih sekali lagi kepada kerajaan yang membantu rakyat," katanya.

Sumber : BH Online

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post