Tiga Lokasi Dikenal Pasti Bagi Pembinaan Menara Telekomunikasi Baharu Di Sik


SIK - Tiga kawasan telah dikenal pasti bagi membina tiga daripada lapan menara telekomunikasi yang baharu di daerah ini seperti yang diumumkan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari pada Ahad lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata lokasi itu terletak  di Kampung Perangin, Kampung Charuk Tenang dan Kampung Landai. 

Beliau berkata lima kawasan bagi pembinaan lima lagi menara telekomunikasi itu sedang dikaji bagi memastikan infrastruktur yang diwujudkan itu mampu memberi manfaat kepada penduduk setempat. 

"Kerajaan komited untuk memastikan setiap penduduk dapat mengakses internet pada telefon bimbit dan peralatan komunikasi lain...bukan sahaja di Sik,  malah di Baling,  Padang Terap dan Pendang kita juga beri perhatian," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Danglau di sini hari ini. Turut hadir Ketua Eksekutif  PKNK Abdul Rahman Abdullah. 

Seramai 150 murid tahun satu hingga enam menerima bantuan berupa wang tunai serta beg sekolah sumbangan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) menerusi projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) perbadanan itu. 

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Program Negaraku: Menghubung Menyatu (CTU) peringkat negeri di perkarangan Sekolah Kebangsaan Seri Ampang Muda  dekat sini Ahad lepas, Jailani berkata lapan menara telekomunikasi baharu akan dibina di daerah ini.

Mohd Tajudin berkata kerajaan memperuntukkan RM16 juta untuk membina lapan menara telekomunikasi itu dengan kos permbinaan setiap satu dianggarkan RM2 juta.

"Pada masa ini terdapat 18 menara telekomunikasi di daerah ini," katanya.

Beliau berkata usaha kerajaan membina menara telekomunikasi ini diharap  dapat meningkatkan capaian internet lebih 85 peratus berbanding ketika ini sekitar 81.6 peratus di kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini. 

Sumber : Bernama

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post