Pemuda UMNO Kedah Cabar Mukhriz Umum BR1M Sebagai Dedak


Pergerakan Pemuda UMNO Kedah semalam mencabar Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mengumum pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai dedak.

Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pada masa yang sama Mukhriz harus menyokong kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang pernah menganggap pemberian BR1M itu adalah satu dedak kepada rakyat.

“Bagi Pemuda UMNO Kedah, kenyataan Mukhriz sebelum ini yang menyatakan bahawa pakej pembangunan diisytiharkan oleh Perdana Menteri kepada rakyat Langkawi adalah dedak sama sekali tidak boleh diterima dan rakyat seharusnya menghukum keceluparan dan ketidakmatangan pemimpin tersebut.

“Namun Pemuda UMNO yakin Mukhriz tidak akan ada keberanian untuk menyahut cabaran ini kerana takut hilang undi atau bimbang popularitinya merosot,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, hakikatnya BR1M diterima baik oleh rakyat dan ia banyak membantu golongan yang kurang berkemampuan dan memerlukan.

Kata beliau, pihaknya juga mohon agar rakyat memahami dan menyokong inisiatif ekonomi yang dibawa oleh kerajaan.

“Pergerakan Pemuda UMNO Kedah berpandangan inisiatif ekonomi yang diilhamkan oleh Perdana Menteri adalah yang terbaik dan perlu difahami oleh semua.

“Polemik ‘dedak’ dan ‘beli undi’ ini adalah semata-mata modal politik murahan parti pembangkang yang mahu terus menerus meracuni minda dan fikiran pengundi,” katanya. - UTUSAN Online

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post