Penganjuran Ekspo Muafakat Kedah Mendapat Maklum Balas Yang Positif Dari Pengunjung


Penganjuran Ekspo Muafakat Kedah adalah platform di mana pelbagai agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dapat menonjolkan perkhidmatan yang ditawarkan kepada masyarakat.

Pembantu hal ehwal agama Islam, Umi Kalsom Zainol, 33 menyifatkan penganjuran ekspo seumpama itu dapat memberikan suatu wadah kepada masyarakat untuk melihat sendiri perkhidmatan yang ditawarkan oleh setiap agensi yang menyertai ekspo berkenaan.

"Saya merasakan adalah bagus penganjuran ekspo seperti ini diadakan kerana masyarakat dapat bertemu dengan agensi yang terbabit dan menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan di ekspo ini.

"Selain itu juga, ia adalah platform kepada kami untuk mendapat maklumbalas daripada masyarakat terhadap pandangan mengenai perkhidmatan yang ditawarkan kepada mereka," katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau yang bertugas di Bahagian Undang-undang Keluarga Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah selama lapan tahun berkata, di samping memberikan perkhidmatan yang ditawarkan masyarakat juga berpeluang memperoleh maklumat berguna daripada agensi terbabit.

Ekspo yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Kedah itu bermula sejak Sabtu sehingga 3 Mac dan ia adalah ekspo terbesar yang pernah dianjurkan oleh kerajaan negeri.

Malah, pengunjung juga turut berpeluang untuk memenangi hadiah dua buah rumah selain 100 hadiah lain seperti kereta, motosikal, barangan elektronik dan sebagainya.

Sumber : BH Online

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post