"Suara Hati Kedah" Ruang Rakyat Luahkan Aspirasi & Beri Pandangan


Ekspo Muafakat Kedah di perkarangan Stadium Darulaman hingga Sabtu ini turut menyediakan ruang kepada rakyat meluahkan aspirasi dan memberikan pandangan tambah baik perkhidmatan kerajaan.

Ruangan itu terdapat di Kluster Tiga 'Suara Hati Kedah' di ekspo berkenaan yang memasuki hari ketiga hari ini.

Ruangan itu adalah antara inisiatif kerajaan negeri untuk memberi ruang kepada rakyat meluahkan aspirasi mereka untuk merencana pembangunan negeri Kedah.


Selain meluahkan suara hati dengan menampal mesej di dinding yang disediakan, rakyat turut boleh menilai perkhidmatan kerajaan negeri dengan meletakkan bola ping pong di kotak disediakan membabitkan tujuh aspek.

Tujuh aspek berkenaan ialah peningkatan keselamatan; perumahan mampu milik; penambahbaikan kos sara hidup, kemudahan awam dan infrastruktur, pembangunan usahawan, memartabatkan institusi keagamaan dan perkhidmatan kesihatan yang efisyen.

Sukarelawan di kluster itu, Nor Fathihah Mohd Saman, 25, berkata sejak tiga hari lalu, banyak maklum balas disuarakan rakyat Kedah khususnya golongan muda di situ.

Tidak kurang juga, aspirasi mereka bagi menambah baik pentadbiran kerajaan khususnya dalam aspek kos sara hidup.


"Setiap hari memang ramai (pengunjung) sampai penuh dinding dan setiap malam kita akan kutip semua mesej untuk dibuat rumusan berhubung kehendak rakyat.

"Kebiasaannya kita dapat lihat ramai rakyat memberi idea untuk Kedah lebih bertambah baik dari segi pentandbiran dan infrastruktur asas, selain bantuan yang diberikan antaranya Bantuan Rakyat Kedah (BARAKAH) dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)," katanya ketika ditemui di tapak ekspo.

Pengunjung, Muhammad Ashraf Husni, 23, yang tidak melepaskan peluang menampal mesej di dinding meminta supaya kerajaan terus memperkasakan bidang pendidikan.

Ujarnya, kerajaan telah mengambil langkah tepat dengan memberi perhatian kepada pendidikan dengan memberi peruntukan besar saban tahun bagi membantu rakyat meningkatkan taraf hidup.

"Saya juga berkongsi harapan supaya bantuan untuk pelajar meneruskan pengajian ke peringkat universiti terus diperkasakan.

"Saya berharap langkah ini akan memberi peluang kepada lebih ramai generasi muda, termasuk dari keluarga miskin, untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi dan seterusnya mengubah nasib mereka," katanya.


Ekspo Muafakat Kedah, yang terbesar pernah dianjurkan kerajaan negeri, berlangsung sehingga Sabtu ini.

Kerajaan negeri Kedah menawarkan lebih 100 hadiah cabutan bertuah termasuk hadiah utama berupa dua unit rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) bernilai lebih RM100,000.

Para pengunjung juga berpeluang memenangi tiga buah kereta, setiap satu dari jenama Haval, PERODUA Bezza dan PERODUA Myvi serta lima buah motosikal jenis Modenas serta hadiah-hadiah menarik yang lain.
Sumber : BH Online


SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post