Perkeso terima 175 permohonan bantuan hilang pekerjaan

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerima 175 permohonan bantuan interim Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) setakat semalam, daripada individu yang hilang pekerjaan tahun ini sejak pelaksanaan sistem itu berkuat kuasa 1 Jan lepas.


Ketua Pegawai Eksekutif SIP Datuk Mohd Sahar Darusman berkata pekerja yang kehilangan pekerjaan layak menerima faedah berbentuk elaun tunai berjumlah RM600 sebulan bagi tempoh maksimum tiga bulan di bawah SIP.

SIP bertujuan membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan terdiri daripada dua komponen iaitu bantuan kewangan sementara tiga hingga enam bulan dan bantuan carian pekerjaan serta latihan.

Antara bantuan kepada pencarum ialah Elaun Mencari Pekerjaan, Elaun Bekerja Semula Awal, Elaun Latihan dan Elaun Pendapatan Berkurangan (untuk pekerja yang mempunyai lebih daripada satu majikan).

Rang Undang-Undang SIP diluluskan Dewan Negara pada Disember tahun lepas.

Sementara itu, Mohd Sahar berkata Perkeso menyasarkan caruman sebanyak RM479.5 juta melalui program SIP bagi tahun ini, daripada 6.6 juta pekerja dan 430,000 majikan yang telah berdaftar di bawah agensi itu. - Bernama


SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post