#Buntu Cari RM200,000 Untuk Pembedahan Adik


JERLUN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun memerlukan bantuan kewangan untuk menjalani pembedahan di China bagi merawat penyakit bengkak hati yang dihidapinya sejak kecil.

Abdul Razak Al Siddiq, mengidap penyakit kronik itu ketika berusia dua hari selepas demam kuningnya meningkat mendadak dan kini terpaksa menyediakan RM200,000 untuk menjalani pembedahan itu atas nasihat doktor.

Dengan pendapatan ibunya, Zaini Che Ross, 41, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Alor Setar, mustahil bagi keluarganya untuk menampung kos berkenaan, apatah lagi belanja bulanan untuk ubat dan rawatan sahaja sudah mencecah RM700.

Bagi Zaini, harapannya dan suami, Roslan Hamzah, 50, agar dapat sekurang-kurangnya memberi keselesaan kepada anak bongsu mereka itu.

"Saya akui sukar. Kami mengharap supaya Adik (nama panggilan Abdul Razak) dapat jalani pembedahan, tetapi ia nampak mustahil.

"Bukan tidak pernah merayu, tetapi tidak berhasil. Saya berharap kalau ada nak sumbang tilam untuk Adik pun kami sudah bersyukur. Kami cuma nak dia lebih selesa," katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong Tepi Sekolah, dekat Sanglang, di sini, hari ini.

Zaini berkata, walaupun terpaksa berulang-alik ke tempat kerja di Alor Setar sejauh 60 kilometer (km) setiap hari, dia terpaksa melaluinya dan suaminya tidak dapat bekerja kerana terpaksa menjaga Adik.

"Sejak dari lahir, dia (Roslan) yang jaga. Kalau tiada (Roslan) depan mata, Adik akan menangis. Kalau dibiarkan, demam nanti dan akan masuk hospital.

"Adik akan bermasalah bila demam dan batuk sebab perut Adik akan membesar dan jika ini berlaku, sekurang-kurangnya seminggu juga adik akan menerima rawatan," katanya.

Ditanya mengenai pembedahan di China, Zaini menjelaskan tiada hospital di negara ini yang boleh mengubati penyakit anaknya itu, walaupun Hospital Selayang boleh merawat tetapi tidak dapat memberi jaminan.

"Adik perlu berada di sana selama dua bulan untuk dipantau sebelum dan selepas pembedahan.

"Dengan pendapatan tidak menentu, tiga lagi anak masih bersekolah jadi ia adalah sesuatu yang sukar," katanya yang berterima kasih kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana membantu meringankan beban mereka sekeluarga.

Mereka yang ingin membantu boleh menghulurkan bantuan ke akaun BSN 02134-41-00009052-6 atas nama Zaini Che Ross.

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post