Jangkaan 50,000 pekerja akan dibuang adalah salah

“Meskipun ada berlaku pemberhentian pekerja, namun kami perlu tekankan bahawa kebanyakan pekerja yang diberhentikan telah diambil bekerja semula oleh syarikat baharu dan sedia ada ketika syarikat-syarikat itu berkembang untuk memenuhi peningkatan permintaan. 

“Sebagai contoh, peratusan besar pekerja yang dihentikan daripada syarikat seperti Seagate, Hitachi Global Storage Technology dan Rubicon di Pulau Pinang telah diserap oleh firma-firma lain yang mengembangkan operasi mereka seperti Keysight, Inari, HP, Osram and Infineon,” kata Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Dari 2014 hingga 2016, projek pembuatan baharu yang dilaksanakan telah mewujudkan lebih 153,000 pekerjaan dan tambahan 32,700 pekerjaan dalam sektor pembuatan akan diwujudkan daripada pelaburan yang diperoleh dalam tempoh Januari-September 2017.

Mustapa berkata sejumlah besar pelaburan baharu dan pengembangan yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat pada tahun lepas seperti  Broadcom dan Osram di Pulau Pinang, Konica Minolta di Melaka, Infineon di Kedah, Roland dan IKEA di Selangor, serta BMW di Johor, telah mewujudkan lebih banyak pekerjaan di negara ini.

“Kadar pengangguran kita ketika ini sekitar 3.3 peratus merupakan yang terendah di rantau ini dan dijangka kekal stabil. Eksport dan aliran pelaburan kukuh berterusan akan menjana lebih banyak peluang pekerjaan dalam negara,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan perbincangan mengenai isu-isu kos menjalankan perniagaan dan peluang pekerjaan di Mesyuarat Kabinet dan mesyuarat Majlis Ekonomi minggu lepas, diikuti sesi dialog dengan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan 21 anggotanya pada 8 Januari.- Bernama


SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post