Kerajaan Negeri Sedia Terima Cadangan Lebih Banyak Syarikat Urus Feri


ALOR SETAR - Kerajaan negeri sedia menerima cadangan syarikat yang berhasrat mengusahakan pengangkutan feri penumpang, menghubungkan Langkawi dan tanah besar di Kedah dan Perlis.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain, berkata cadangan itu bagi memastikan perkhidmatan disediakan kepada rakyat terus ditambah baik.

Katanya, kerajaan negeri tidak mengamalkan dasar tertutup dan bersedia membuka ruang berkenaan demi menggalakkan persaingan sihat.

Beliau berkata, ada syarikat yang menyatakan hasrat untuk mengusahakan pengangkutan itu, namun masih belum beroperasi.

"Sesiapa sahaja yang berkemampuan untuk menjalankan perniagaan itu dialu-alukan dan kita tidak mengehadkan kepada pengusaha sedia ada sahaja.

"Kita mahu wujudkan persaingan yang sihat untuk bersama-sama memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang. Bagi kerajaan negeri, kita akan menyemak kembali cara untuk menggalakkan pengusaha feri memberi perkhidmatan yang terbaik kepada penumpang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas desakan penumpang yang mahukan pengurusan feri Langkawi dibuka kepada lebih banyak syarikat untuk menggalakkan persaingan demi perkhidmatan yang lebih baik, selepas caj tambahan RM3 dikenakan secara tiba-tiba, bermula 1 Januari lalu.

Pengenalan caj itu yang tidak dimaklumkan kepada kerajaan negeri, bagaimanapun dihentikan selepas mendapat rungutan banyak pihak.

Mengenai isu caj tambahan itu, Tajul Urus berkata, kerajaan negeri menganggap soal berkaitan kenaikan harga tambang feri ke Langkawi itu selesai selepas pengusaha feri menarik balik caj perkhidmatan RM3 bagi pembelian di kaunter.

"Saya difahamkan Jabatan Laut Malaysia dan pengusaha feri ada mesyuarat semalam, namun saya belum mendapat maklumat terperinci mengenai keputusan mesyuarat itu.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri mengganggap perkara ini selesai selepas saya berhubung sendiri dengan Pengarah Laut Wilayah Utara, Kapten Abdul Samad Shaik Osman, agar caj perkhidmatan itu ditarik balik," katanya. - BH Online

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post