MADA Sasar Nilai Jualan Tahunan RM160 juta Bagi Industri Asas Tani

Image result for mada kedah

ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyasarkan nilai jualan tahunan sebanyak RM160 juta tahun ini bagi industri asas tani, peningkatan 10 peratus berbanding 2017.

Pengerusinya, Datuk Othman Aziz, berkata sasaran itu boleh dicapai melalui pelbagai inisiatif, termasuk membangunkan 100 usahawan muda dalam pelbagai bidang termasuk perusahaan produk tradisional.

"Sepanjang tahun lalu, kita berjaya memperoleh sebanyak RM145 juta pulangan membabitkan pelbagai bidang termasuk pengilangan dan pembuatan kuih-muih tradisional.

"Tahun ini kita sasarkan ia mampu meningkat 10 peratus lagi dengan pelaksanaan Program Usahawan Tani membabitkan 2,551 petani selain ingin melatih 100 usahawan muda dengan pendapatan kasar sebanyak RM5,000 seorang," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Amanat Tahun Baharu MADA, di sini.

Pada masa sama, Othman berkata pihaknya meminta kira-kira 9,000 petani di Kedah dan Perlis berdaftar dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Sehingga kini, beliau berkata, kira-kira 48,000 daripada 57,000 petani dalam kawasan MADA sudah berdaftar bagi memastikan mereka mendapat pelbagai faedah, termasuk dari aspek kebajikan dan bantuan.

"Masih ada kira-kira 9,000 daripada keseluruhan 57,000 petani yang masih belum menjadi ahli PPK, sedangkan mereka akan memperoleh banyak kelebihan jika berbuat demikian. Kalau boleh menjelang 2020, semua petani menjadi ahli PPK.

"Kita juga menyasarkan untuk menambah keahlian seramai 7,500 dalam kalangan petani muda supaya kita boleh membantu mereka dalam mengendalikan sawah bendang," katanya.

Selain itu, beliau berkata MADA juga menyasarkan sebanyak 50,000 hektar bendang mampu ditransformasikan menjadi kawasan estet padi supaya diuruskan secara berkelompok.

Katanya, lebih ramai petani digalakkan supaya terbabit dalam projek estet ini berikutan ia mampu meningkatkan hasil tanaman padi sehingga 200 kilogram (kg) sehektar.

"Sehingga kini kita sudah mempunyai 40,000 hektar estet padi dengan sasaran tambahan 5,000 hektar setiap tahun, " katanya. - BH Online

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post