Orang Tengah Dipercayai Punca Ikan Temenung Mahal


ORANG ramai berpusu-pusu untuk mendapatkan ikan kembong yang dijual di sebuah gerai di pelantar ikan Kampung Seberang Kota di Kuala Kedah. - Foto BERNAMA

SUNGAI PETANI - Peranan orang tengah yang cenderung mengambil untung lebih dipercayai antara punca menyumbang kepada harga ikan temenung di Kedah yang melambung sehingga RM20 sekilogram.

Beberapa nelayan di Kampung Sungai Muda, dekat Kota Kuala Muda, di sini yang ditemui berkata memang faktor cuaca menyebabkan ikan temenung sukar diperoleh kerana nelayan tidak dapat keluar ke laut, namun faktor harga turut dipengaruhi orang tengah.

Alias Ismail, 48, berkata jika ikan kurang sekali pun, paling mahal nelayan di pasar bisik Kuala Muda akan jual kira-kira RM16 sekilogram dan harganya boleh turun antara RM4 hingga RM6 sekilogram jika hasil banyak.

"Hari ini contohnya ikan temenung yang kami peroleh tidak sampai 10 kilogram (kg), jadi harga yang ditolak kepada orang tengah atau peraih ialah RM16 sekilogram...terpulang kepada orang tengah untuk menetapkan harga yang dijual di pasaran.

"Adakalanya harga ikan temenung dijual orang tengah lebih tinggi, sedangkan mereka beli dari nelayan dengan harga yang murah...alasan mereka kos minyak dan lain-lain.

"Sebelum ini ada peniaga yang menjual ikan termenung RM16 sekilogram, sedangkan mereka beli dari nelayan hanya RM5 hingga RM7 sahaja," katanya.

Alias mengakui sejak beberapa minggu ini cuaca tidak menentu, angin kuat dan laut bergelora menyebabkan dia dan nelayan lain tidak boleh pergi lebih jauh untuk mencari ikan disebabkan ikan temenung tiada di kawasan pesisir pantai.

Selain itu, katanya kegiatan pukat jerut dan sorong juga antara punca kekurangan ikan temenung kerana ia menjadi ancaman kepada nelayan pukat hanyut apabila mengaut segala hasil dari ikan kecil hingga besar.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Muda, Mohd Kamal Abidin, mengakui ada segelintir orang tengah mengambil kesempatan menjual ikan temenung dengan harga lebih susulan faktor kekurangan ikan terbabit.

"Kita faham mereka mengambil kira kos minyak kenderaan datang ke sini, tetapi ada segelintir darinya mengambil untung terlalu lebih...sebelum ini ikan temenung banyak di sini, tetapi golongan ini tetapi ambil untung yang lebih," katanya.

Sementara itu tinjauan di kawasan berkenaan mendapati hanya beberapa bot nelayan sahaja membawa pulang ikan temenung, namun jumlahnya sedikit iaitu antara 10 hingga 20 kg sahaja menyebabkan harga yang ditolak kepada orang tengah antara RM15.50 hingga RM16 sekilogram.

BH melaporkan harga pasaran ikan kembung di Kedah melonjak sehingga mencecah RM20 sekilogram sejak bulan lalu berikutan kekurangan hasil tangkapan dan cuaca yang tidak menentu. - BH Online

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post