Tuanku Sultan Kedah Rasmi Sambutan 15 Tahun KKL



LANGKAWI: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan mencemar duli merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke-15 Kereta Kabel Langkawi (KKL) di Oriental Village, Teluk Burau di sini, hari ini.

Terdahulu keberangkatan baginda yang ditemani Sultanah Kedah, Tengku Maliha Tengku Ariff pada jam 10 pagi disambut Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad; Pegawai Daerah Langkawi, Isahak Murat dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Datuk Azizan Noordin.

Ia turut disertai kira-kira 500 penduduk tempatan dan pelancong asing.

Turut berkenan berangkat, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bersama Raja Puan Muda Kedah, Zaheeda Mohamad Ariff.

Sempena perasmian itu, Sultan Sallehuddin turut berkenaan menandatangani plak dan memotong riben pada gondola khas sebagai gimik perasmian.

Nawawi ketika berucap berkata, sepanjang beroperasi selama 15 tahun, KKL mencatat jumlah pengunjung seramai 11.5 juta orang, sekali gus menggambarkan masa depan yang cerah bagi produk pelancongan itu untuk berkembang maju.

"Berdasarkan rekod, jumlah pengunjung ke KKL ketika memulakan operasinya pada 2002 hanya sekitar 353,000 orang dan meningkat kepada 1.28 juta pada tahun ini, malah pada tahun hadapan pihak pengurusan mensasarkan 1.5 juta pengunjung.

"Pada masa sama, KKL yang dibina oleh syarikat Austria, Doppelmayr diuruskan Panorama Langkawi Sdn Bhd (Panorama Langkawi) yang juga anak syarikat LADA memenangi lebih 10 anugerah kebangsaan dan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, antara anugerah itu termasuk Malaysia Power Brand 2016/2017, Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA), Langkawi Tourism Award 2014/2015, The Longest Fee Span Mono-Cable Car, The First Stand Alone 360 darjah Panorama Screen Dome Theatre, The Biggest 3D Mural dan The Biggest Indoor Projection Mapping untuk Muzium 3D Art In Paradise Langkawi (Muzium 3D).

"Kita juga berbangga kerana KKL kini muncul antara 10 perkhidmatan kereta kabel terbaik dunia dan sentiasa menjadi sebutan pengunjung tempatan dan luar negara," katanya. - BH Online

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post