Lebih 10 Pusat Hiburan Diarah Tutup Di Kedah


ALOR SETAR - Lebih 10 pusat hiburan di Kedah sudah diarah tutup sepanjang tahun ini selepas dikesan melanggar syarat lesen yang ditetapkan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan dan Sumber Air serta Tenaga negeri, YB Dato' Badrol Hisham Hashim, berkata kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam soal terbabit dalam usaha mengekang aktiviti jenayah dengan kerjasama pihak berkuasa.

Katanya bagi tujuan itu, kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas disertai polis, pihak berkuasa tempatan (PBT), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Jawatankuasa itu dipengerusikan saya sendiri dan sekiranya ada di antara pengusaha yang beroperasi lebih masa, kita mengarahkan TNB dan SADA memotong bekalan elektrik dan air.

"Setakat ini beberapa pusat hiburan sudah diambil tindakan terbabit kerana masih degil walaupun amaran dikeluarkan. Kebanyakkan pusat hiburan yang dibatalkan lesen dan beroperasi lebih masa ini adalah di Sungai Petani, Alor Setar dan Kulim," katanya.

Image result for Lebih 10 Pusat Hiburan Diarah Tutup Di Kedah

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra dan Penyampaian Pakaian Seragam Operasi Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Dewan Serbaguna Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, petang ini.

Badrol Hisham berkata tindakan itu membuktikan kerajaan negeri serius menangani isu jenayah yang membabitkan pusat hiburan terutama sindiket judi haram.

"Menerusi beberapa operasi bersepadu, lebih 200 mesin judi dirampas pihak berkuasa dan menahan berpuluh suspek yang disyaki terbabit dalam jenayah.

"Operasi seperti ini kita akan teruskan secara berkala dan tidak akan berhenti sekerat jalan sahaja.

"Bandar besar di negeri ini kita akan pantau agar aktiviti jenayah di pusat hiburan dapat dikekang. Di sini juga saya ingin tegaskan bahawa kerajaan sudah tidak mengeluarkan lesen pusat hiburan sejak YAB Dato' Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah dilantik menjadi Menteri Besar," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan kepada KDN agar anggota RELA dapat menjadi 'mata dan telinga' kerajaan dalam menyalurkan maklumat terhadap penyalahgunaan dadah.

Katanya anggota berkenaan turut dicadangkan membuat pemantauan di kawasan kuala, kampung dan kawasan taman berikutan penyalahgunan dadah semakin membimbangkan di kawasan terbabit, sekali gus menyumbang berlakunya jenayah lain sehingga membuatkan masyarakat kurang rasa selamat. - BH Online

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post