Mahathir Cipta Isu Sampah Baru Untuk Tutup Skandal Forex


Tuduhan dilakukan Tun Mahathir kononnya kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak mengalami kerugian sehingga RM160 bilion, hanyalah semata-mata taktik Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu untuk menyelamatkan dirinya daripada dipertanggungjawabkan berhubung skandal urus niaga mata wang asing (forex) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal 1990-an yang menyebabkan negara kehilangan RM31.5 bilion.

Ketua Pemuda UMNO negeri, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, tindakan Pengerusi Pakatan Harapan diketuai DAP itu dilihat cuba mengalih perhatian rakyat terhadap isu sebenar iaitu perbuatan menyembunyikan fakta kerugian daripada Kabinet pada waktu itu.


"Kami tegaskan bahawa penurunan rizab kerajaan pada waktu tertentu bukanlah disebabkan kecuaian atau ketidakcekapan sesebuah kerajaan mengurus ekonomi sebaliknya perkara itu menjurus kepada keadaan dan faktor mata wang selain keadaan ekonomi dunia.

"Sebagai Menteri Kewangan, Mahathir sepatutnya mengetahui yang penyusutan dan pertambahan rizab bergantung kepada lebihan dagangan antarabangsa serta pengaliran masuk modal ke dalam negara. Secara dasarnya ia boleh bertambah atau menguncup bersandarkan keluar dan masuknya mata wang dolar Amerika,” katanya dalam satu kenyataan kepada portal berita.

Mengulas lanjut katanya, tindakan dilakukan Mahathir itu seolah-olah sengaja mahu melempar ‘umpan’ persepsi supaya disahut oleh rakyat.

"Beliau seolah-olah ketandusan idea untuk terus mencipta tohmahan dan fitnah terbaru terhadap kepemimpinan negara. Dalam hal ini, beliau tampak amat yakin mampu mencipta dan mewujudkan polemik baharu bagi meracuni pemikiran rakyat,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, pihak berkuasa terutamanya polis perlu memanggil pihak bertanggungjawab dalam skandal forex tersebut untuk segera dibawa ke muka pengadilan.

"Buat rakyat, mereka perlu tahu akan kebenaran bahawa ada pemimpin sebelum ini yang tidak maksum dan sempurna. Hakikatnya kehilangan lebih RM31 bilion merupakan kerugian yang amat besar dan rakyat perlu tahu siapa bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perkara itu,” tegas Shaiful Hazizy.

SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post