#PAU2017 : Kisah Mak Long Timah Berpesan Kepada Abg Din Dan Ikan Termenung Mahal Gamatkan Dewan


Kisah Mak Long Timah yang dibawa oleh perwakilan UMNO Kedah, Dato' Mohd Yusof Ismail berhubung ikan temenung yang hari ini harganya mahal menggamatkan Dewan Merdeka setelah ianya dijawab spontan oleh Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin yang juga Pengerusi FAMA.

Dalam loghat Kedah, Dato' Mohd Yusof menyampaikan pesanan daripada Mak Long Timah kepada Tan Sri Badruddin yang hari ini dianggap telah menjadi ‘orang besar’.

“Maklong Timah habaq kat saya…hang tolong pesan sat kat abang Din tu. La ni dia jadi orang besaq…dulu aku la dok pesan kat dia. Habaq kat abang Din agar pesan kat Datuk Seri Presiden, ikan temenung la ni mahai sampai RM20.00 sekilo….

“Dia kata Mak long tak dak duit nak beli. Kalau boleh habaq kat abang Din sebagai Pengerusi FAMA pakatlah dengan LKIM, bukalah peti ais bagi besaq sikit buatlah ikan sejuk beku bagi banyak.

“Dia kata ada musim-musim tu ikan banyak sekilo RM2.00 dan RM3.00 sahaja. Habaq kat depa buat peti ais bagi banyak bubuh ikan tu masa beli murah dan masa ikan mahal bawa la keluar boleh jual. Jadi dia kata Mak Long boleh la beli,” katanya.

Lalu dijawab spontan oleh Tan Sri Badruddin dalam loghat Kedah…

“Haq tu la aku habaq kat depa…dan sememangnya pun perkara berkenaan kerjasama dengan LKIM,” katanya sambil mendapat tepukan gemuruh para perwakilan yang berada di dalam Dewan Merdeka pada sesi perbahasan usul ekonomi, di sini, hari ini.

Tan Sri Badruddin yang juga Pengerusi FAMA turut memaklumkan peruntukan telah diberikan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Mohd Najib untuk menstabilkan perkara berkenaan dan insya-Allah 1 Januari depan akan dilancarkan.

Meneruskan ucapannya, Dato' Mohd Yusof menyifatkan langkah yang diambil oleh kerajaan mengenai Proton merupakan langkah terbaik apabila terus membuka ruang pekerjaan kepada kakitangan syarikat tersebut.

“Walaupun perkara ini ‘diviralkan‘ oleh pembangkang dengan mendakwa kononnya kerajaan hari ini menjual Proton kepada China dan macam-macam yang ditulis namun segala-galanya tidak benar sama sekali.

“Kalau tidak ada satu pendekatan yang bijaksana kemungkinan Proton akan ditutup…sama ada kita nak tutup atau mengambil sedikit daripada keuntungannya dan kita boleh memastikan para pekerja dapat meneruskan kehidupan mereka. Keputusan kerajaan dalam soal berkenaan amat tepat sekali,” kata Dato' Mohd Yusof Ismail.

SHARE THIS

Author: