ALOR SETAR - YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyifatkan bajet yang dibentangkan Pakatan Harapan sebagai bajet sandiwara atau kelentong (tipu) yang tidak realistik dilaksanakan.
Sebaliknya Najib berkata, Bajet 2018 yang dibentangkan kerajaan baru-baru ini adalah mempunyai visi tinggi untuk membawa Malaysia sebagai 20 negara terbaik dunia.
“Kerana kita (Barisan Nasional) tahu mentadbir dan ada kekuatan bukan seperti pembangkang yang bentangkan bajet sandiwara, kelentong (tipu) kerana mereka kata nak mansuh tol lebuh raya sedangkan di utara dan selatan sahaja akan libatkan kos RM40 bilion mana nak dapat?
(Bukan bajet 'sandiwara' dibentangkan Pakatan Harapan)
“Saya tidak boleh nak tadbir dengan menjanjikan sesuatu yang tidak masuk akal. Kalau kita janjikan sesuatu kita mesti tunaikan, saya sebagai Perdana Menteri harus tunaikan.
“Kalau mansuh PTPTN pula akan libatkan RM40 bilion, mana mereka (pembangkang) nak dapat?” katanya pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Kedah di Pekarangan Stadium Sultan Abdul Halim Suka Menanti di sini hari ini. Hadir sama, YAB Menteri Besar, Dato' Seri DiRaja Ahmad Bashah Md. Hanipah.