UMNO Kedah Teliti Nama Calon Wanita Untuk PRU14



ALOR SETAR - UMNO negeri sedang meneliti nama daripada kalangan wanita UMNO untuk diketengahkan bagi bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Pengerusinya, YAB Dato' Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah berkata buat masa ini, nama-nama berkenaan telah diterima untuk dipertimbangkan sebelum ianya dibawa ke peringkat tertinggi parti untuk diputuskan.

Katanya, tidak menjadi kesalahan untuk meletakkan calon wanita bertanding di mana-mana kawasan pilihan raya jika calon yang mewakili parti Barisan Nasional (BN) itu boleh memenangkan parti pada PRU14 nanti.



"Memang kita sedang analisa satu persatu senarai nama ini kerana kita nak senarai yang kita letak ini orang yang mampu menjalankan tugas dan boleh diterima oleh pengundi dan masyarakat di kawasan masing-masing," katanya kepada pemberita pada Majlis Anugerah Wanita Cemerlang Sempena Hari Wanita 2017 di Wisma Negeri di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, seramai 31 wanita termasuk dua exco kerajaan negeri menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh isteri Menteri Besar, Y.Bhg Datin Seri DiRaja Hizam Awang Ahmad.

Mereka ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Kebajikan Masyarakat Datuk Suraya Yaacob serta Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, dan Sumber Tenaga Manusia Datuk Norsabrina Mohd Noor.



Selain itu, pelayar wanita pertama Malaysia di Sukan Olimpik, Nur Shazrin Mohamad Latif dan pemain bola jaring yang memenangi emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Izyan Syazana Wazir; Pengarah Pendidikan negeri Datuk Azuyah Hassan serta bekas Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Datuk Munirah Abdullah Bajanuddin turut mendapat pengiktirafan tersebut.



Antara penerima lain ialah Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam negeri Datuk Sepiah Isa, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Yayasan Sultanah Bahiyah Datin Ramizan Ibrahim, Penasihat Undang-Undang negeri Datuk Nor Azura Mohamed Zohdi dan Timbalan Dekan Fakulti Perubatan, Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar.






  




Anugerah Wanita Cemerlang itu bertujuan menghargai peranan dan sumbangan kaum wanita dalam aspek politik, ekonomi, sukan, undang-undang, pendidikan dan latihan, agama, media serta pembuat keputusan.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata kerajaan negeri akan terus membuka ruang dan peluang kepada kaum wanita dalam usaha mempertingkatkan tahap sosio ekonomi mereka.

#MuafakatKedah
#HariWanita2017



SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post