Kerajaan Negeri Tiada Kaitan Karnival Kerjaya Berbayar
ALOR SETAR: Karnival Kerjaya Zon Utara Jobsifu.com 2017 di hotel di sini semalam anjuran pihak swasta dan tiada kaitan dengan Kerajaan Negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia Negeri, YB Dato' Norsabrina Mohd Noor, berkata karnival terbabit dianjurkan pihak swasta tanpa sebarang campur tangan dari kerajaan negeri Kedah.
Katanya, Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah menerima jemputan untuk hadir ke program berkenaan tetapi beliau memutuskan untuk tidak hadir atas alasan tertentu.
"Difahamkan berlaku sedikit kekecohan membabitkan yuran yang dikenakan oleh pihak penganjur, namun sehingga kini saya belum menerima makluman rasmi mengenainya.
"Saya mewakili kerajaan negeri rasa kesal dengan apa yang berlaku dan pihak penganjur perlu lebih lebih sensitif dan bertanggungjawab dengan isu berkaitan.
"Jangan wujudkan masalah dan menimbulkan kemarahan mana-mana pihak, khususnya kepada individu yang menjadi kumpulan sasar program ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Semalam, orang ramai terutama golongan muda melahirkan rasa kecewa dengan karnival kerjaya yang mengenakan bayaran sehingga membebankan pengunjung.
Perkara itu tersebar luas dalam laman sosial sehingga ada yang mengaitkan karnival terbabit dianjurkan kerajaan negeri. - BH Online