Program Ikrar Bebas Rasuah Bersama Ajensi Kerajaan Dan GLC


Program Ikrar Bebas Rasuah bersama Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan serta GLC Negeri dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertempat di Dewan MPSP Sungai Petani.


Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad (kanan) menerima dokumen ikrar daripada Timbalan Setiausaha (Pengurusan) Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Zahari Ismail (dua, kiri) sambil disaksikan oleh YAB Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Diraja Ahmad Bashah Md Hanipah pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah Agensi Awam dan Pihak Berkuasa Tempatan hari ini.

Kedah menjadi negeri yang pertama menganjurkan program tersebut. Di Majlis tersebut, YAB MB Kedah, Dato' Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah,Menteri Besar pertama menjadi sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH).

MB Kedah menyeru dan mewajibkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri seramai 7 ribu lebih menjadi sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH).



"Penyertaan ini adalah untuk membuktikan sokongan serta komitmen yang padu dari kepimpinan dan seluruh warga kerja negeri ini akan sentiasa bersama pihak SPRM bagi terus berjuang melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

"Saya tidak akan berkompromi sekiranya ada dalam kalangan pegawai-pegawai negeri ini yang terlibat rasuah dan salah guna kuasa,"katanya, dalam ucapannya pada Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Perdana Bersama Agensi Awam dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), di Dewan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), di sini, hari ini.

Pada majlis itu, lebih 1,500 penjawat awam dan PBT melafaz dan menandatangai IBR di hadapan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Turut bersama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pengurusan), Datuk Zahari Ismail dan Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad.

Beliau turut menyeru semua pegawai kerajaan, ahli-ahli majlis kerajaan tempatan dan agensi-agensi yang terlibat pada majlis itu untuk bersama-sama membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa.

"Semoga kita semua dapat berkhidmat dengan lebih cemerlang dalam menyampaikan khidmat bakti kepada masyarakat tanpa terlibat dengan sebarang perbuatan tidak berintegriti dan rasuah," katanya.




















Majlis IBR diadakan sempena Sambutan Jubli Emas Ulangtahun ke-50 SPRM dan Kembara Jelajah Anti Rasuah 2017 (Kejar '17) peringkat negeri.

Selain itu, turut diadakan 'Integrity Fun Ride', pertandingan melukis Mural bertemakan Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah yang akan disertai oleh pelajar dan ahli Sekretariat Pencegahan Rasuah dari pelbagai Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Pada malamnya pula, diadakan Ceramah Perdana yang bertajuk 'Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah' yang disampaikan oleh Pendakwah bebas terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias di Dewan Kenangan MPSPK.












SHARE THIS

Author:

Previous Post
Next Post